Wednesday, June 11, 2014

NATASYA - JULIA - CINTA MADINAH ; Trilogi Abu Hasan Morad



Kebiasaannya hamba mengambil masa seminggu untuk menyudahkan sesebuah novel. Tempoh masa yang panjang ini adalah mengambilkira penggunaan masa bagi aktiviti lain terutamanya waktu bekerja. Selain itu masa yang ada kadangkala juga digunakan untuk keluarga ataupun hobi-hobi yang lain seperti fotografi.

Peluang bermusafir ke Kelantan kerana menjadi urusetia sebuah kursus pada minggu lepas merupakan satu peluang besar untuk hamba membaca. Ini kerana musafir hamba kali ini adalah menggunakan bas dan bukannya pesawat udara seperti selalu. Perjalanan yang mengambil masa yang panjang pastinya menjadi sia-sia andainya hamba tidak menggunakan waktu tersebut dengan sebaiknya. Lantaran itu hamba memilih trilogi ini untuk dibaca. Ini memandangkan ia bukan hanya mengandungi sebuah novel, bahkan tiga buah novel yang dicetak dalam satu jilid. Kesemua novel berkenaan berjaya hamba sudahkan dalam tempoh musafir. 

Trilogi Abu Hasan Morad ini mengandungi tiga buah novel iaitu Natasya, Julia dan Cinta Madinah. Gaya penulisan serta sasaran penulis adalah sesuai untuk golongan awal remaja. Lantaran itu hamba berasa sedikit longgar kerana telah lama tidak membaca novel jenis ini. Lebih-lebih lagi kebanyakan novel hamba adalah dari jenis adventure, misteri dan thriller dari jenis berat.


Natasya

Novel ini ditulis dengan menggunakan pengalaman penulisnya membuat liputan di Bosnia, mengiringi lawatan Menteri Pertahanan. Menggunakan watak Amir Husaini sebagai seorang wartawan muda yang pertama kali diberikan tugasan yang besar, pembaca akan dibawa mengenali tentang tugasan seorang wartawan serta keadaan Bosnia semasa cerita tersebut ditulis. Amir Husaini bukan sahaja perlu membuat liputan bahkan ditugaskan mencari seorang gadis bernama Natasya untuk dibawa pulang ke tanah air.

Walaupun menggunakan tajuk nama seorang gadis bernama Natasya, namun tumpuan keseluruhan cerita sebenarnya bukanlah pada nama berkenaan. Bahkan watak Natasya hanya sedikit sahaja muncul iaitu pada awal novel (itupun masih tidak tertumpu kepada wataknya) serta dua pucuk suratnya kepada Amir. Justeru pada hamba penggunaan nama seorang wanita tidak lebih daripada strategi perniagaan untuk menarik minat pembeli. Sepatutnya novel ini bertajuk Amir Husaini. Benar walaupun dalam novel ini ada kisah pencarian Natasya. namun cerita Amir adalah lebih banyak serta menguasai keseluruhan novel.

Sewaktu awal penerbangan, Amir telah diperkenalkan dengan kesemua wartawan yang turut membuat liputan. Watak penulis novel ini (Abu dari Karya One) turut diperkenalkan kepada Amir. Namun setakat itu sahajalah watak penulis dalam cerita ini. Selepas itu watak Amir hanya berinteraksi dengan watak-watak lain tanpa ada lagi sebarang interaksi dengan watak Abu. Agak pelik juga rasanya kerana watak Abu hilang begitu sahaja kerana interaksi Amir dengan para wartawan lain banyak berlaku serta di tempat-tempat yang berbeza. Bahkan semasa pembahagian bilik-bilik hotel jua nama Abu ini tidak lagi ditemui.


Julia

Julia dihantar oleh ibu bapanya ke Australia bagi mempelajari agama. Tindakan ini juga adalah melindungi diri Julia dari terus rosak akibat pergaulan bebas. Tempoh pengajian Julia tidak dihuraikan dengan panjang lebar kerana secara tiba-tiba dua tahun telah berlalu dan Julia kini merupakan seorang gadis baik yang berbeza daripada dahulu. Ketika itu Julia diuji apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia.

Ketiadaan ibu dan bapa membuatkan hidup Julia berubah. Beliau perlu menjadi ketua keluarga serta menerajui perniagaan yang ditinggalkan oleh kedua orang tuanya. Turut dipaparkan beberapa konflik yang terpaksa dihadapi semasa mengendalikan perniagaan tersebut. Selain itu rakan Julia turut cuba memujuk Julia kembali untuk menyertai mereka. 

Bagi hamba konflik yang dihadapi oleh Julia inilah yang menjadi kekuatan serta tumpuan novel ini. Ia sewajarnya diolah dengan lebih mendalam bagi menunjukkan kepayahan permasalahan serta kegigihan serta kebijaksanaan di dalam menyelesaikan masalah. Contohnya apabila Encik Baharom orang harapan Julia yang paling berpengalaman dalam syarikat berhenti kerja, penulis boleh sahaja mereka masalah besar yang timbul akibat tindakan itu di mana masalah tersebut tiba satu persatu. Di sini penulis boleh memperlihatkan kehebatan Julia di dalam menangani permasalahan tersebut. Namun penyelesaiannya kadang-kadang nampak seperti mudah. Peranan Encik Baharom membantu Julia di awal pengelibatannya dalam perniagaan juga agak kurang ditonjolkan.


Cinta Madinah

Novel ini pernah dijadikan sebuah drama cereka yang hamba sendiri tidak pernah menonton keseluruhan ceritanya. Sama seperti dua novel di atas, kisahnya juga agak ringan tetapi adalah lebih baik berbanding keduanya.

Jalan ceritanya seperti filem Melayu atau hindustan dulu-dulu iaitu keluarga yang terpisah akhirnya bertemu kembali. Cuma cerita ini diperkuatkan dengan kecintaan Sheikh Hashim aka Shafie kepada bumi Madinah yang menyimpan jasad Rasulullah serta kepada tanah airnya yang diperlihatkan melalui usahanya membangunkan kebun Sayyidah yang mempunyai pelbagai tanaman yang berasal dari Tanah Melayu termasuk padi serta kesukaannya kepada syair, pantun dan sajak Melayu. Kisah kebun Sayyidah agak hebat sebenarnya kerana ia adalah taman kepada pelbagai tanaman dari bumi Melayu daripada buah-buahan dan ulam-ulaman. Bahkan penanaman padi di kawasan tanah Arab yang gersang itu juga menunjukkan kepentingan ilmu pengetahuan serta teknologi untuk menghasilkan sesuatu yang mustahil.

Sheikh Hashim menyedari bahawa anak muda yang bernama Safuan adalah merupakan anak kandungnya yang ditinggalkan sewaktu masih dalam kandungan lagi. Maklumat ini mungkin beliau dapati apabila cubab membantu Safuan mendapatkan kembali dokumen Safuan yang hilang. Sheikh Hashim turut menyedari bahawa pemuda tersebut seperti ada hati kepada anak perempuannya yang bernama Saidah. Sheikh Hashim tidak berterus terang dari awal mungkin kerana hubungannya dengan Safuan belum dapat dipastikan lagi. Justeru tindakan beliau menghantar Saidah ke Mekah untuk belajar Al-Quran adalah bijak kerana tidak mahu bibit-bibit yang telah ada menjadi api yang marak. Sheikh Hashim telah mengambil tindakan pencegahan awal secara berhemah.

Biasanya kisah pertemuan dua insan yang telah lama terpisah di dalam filem Melayu atau hindustan akan menjadi klimaks sesbuah cerita serta boleh menumpahkan air mata. Namun kesedihan itu tidak terasa kepada hamba di dalam babak di dalam novel ini. Sama ada penulis tidak mahu novel ini menjadi novel air mata atau beliau tidak berjaya untuk sampai ke situ.

Secara ringkasnya membaca ketiga-tiga novel ini sekaligus agak santai dan tidak memberatkan otak. Ceritanya mudah dan tidak menuntut pembaca untuk berfikir keras dalam merungkai sesuatu persoalan. Persoalan yang timbul kadangkala dapat dibaca kesudahan atau penyelesaiannnya. Ia sama seperti drama di tv yang kadangkala boleh diagak kesudahannya kerana cerita yang stereotype.

Tiga novel dalam tiga hari....ok lah tu!!


2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...