Selasa, 10 Jun 2014

PANTAI PUTERI, MELAKA



Tidak ada bezanya Pantai Puteri yang hamba kunjungi dua minggu lalu dengan tahun 2011 dahulu. Masih menjadi tumpuan para pengunjung untuk berehat, mandi manda serta beriadah. Bahkan ada seorang minah salleh tanpa segan silu berjemur dengan hanya memakai sotong sahaja.

Dan yang paling mendukacitakan adalah pantai berkenaan masih lagi belum begitu terjaga kebersihannya. Di pesisir pantai kelihatan begitu banyak sampah khususnya botol-botol air minuman dan plastik makanan. Tidak adil untuk menyalahkan petugas majlis daerah sahaja kerana para pengunjung turut sama mengotorkan pantai. Segelintir mereka yang berkelah barangkali tidak bersekolah atau sememangnya suka kepada kekotoran. Mereka tidak tahu untuk membuang sampah ke dalam tong. Atau jika tong tiada sekalipun, mereka perlu membawa pulang sampah berkenaan dan membuangnya pada tempat yang betul.


Bila tempat pelancongan kotor mulalah kita akan menyalahkan pihak berkuasa tempatan, membazir sahaja bayar cukai sedangkan kawasan masih kotor dan bermacam-macam lagi. Kita boleh menyumbang kepada kebersihan ini dengan membawa pulang sampah kita kembali. Para nelayan yang ke laut juga harus sudah mula sedar tentang kebersihan. Tempat pendaratan mereka juga ada sampah yang tidak dibuang. Hamba percaya antara puluhan botol di tepian pantai itu ada yang dibuang di tengah laut, lalu dibawa ombak ke pesisir.


Jika ini terus berlaku hamba khuatir satu hari nanti kesemua pantai peranginan akan menjadi kawasan milikan tertentu yang apabila hendak mengunjunginya kita terpaksa membayar. Bila percuma tidak dihargai, bila dah berbayar nanti tiada apa lagi yang nak dikesali.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...