Selasa, 17 Jun 2014

PARADISE SPA HOTEL PORT DICKSON, YANG TAK RASA SEPERTI DI PARADISE



Ini kali kedua hamba menggunakan perkhidmatan booking.com bagi mengenalpasti hotel yang sesuai dengan bajet hamba ketika berjalan. Kali pertama dahulu adalah di penghujung tahun lepas apabila hamba sekeluarga berjalan ke Pulau Pinang. Perkhidmatannya cukup mudap dan yang paling hamba suka adalah hamba tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran deposit atas perkhidmatan yang diberikan. Bayaran hanya dibuat selepas menginap di hotel yang dipilih.

Berjalan ke Port Dickson beberapa hari yang lalu hamba menempah Paradise Spa Hotel dengan harga RM163.79. Mulanya hamba ingatkan itu merupakan harga bersih memandangkan sewaktu mendapatkan hotel di Pulau Pinang dahulu harga yang hamba bayar adalah sama seperti apa yang booking.com tawarkan. Rupanya hotel yang ini belum lagi termasuk cukai sebanyak 16% menjadikan harganya kini RM190. Hamba tidak menyalahkan booking.com, tetapi merasakan pihak hotel sengaja meletakkan harga sebelum cukai bagi memikat pelanggan. Hamba rasa seperti diperdaya.

Tak apalah. Hamba jangkakan dengan harga RM190 hamba sekeluarga akan mendapat bilik yang selesa sama seperti hotel lain yang menawarkan harga yang serupa. Tapi sangkaan hamba meleset. Biliknya agak sempit dan kecil. Rasanya hotel yang menggunakan premis rumah kedai pun boleh dapat harga serendah RM120 dengan keluasan yang sama.

Cuma mungkin yang boleh mengubat sedikit kelukaan ini adalah kerana hotel ini mempunyai kemudahan gym dan kolam renang. Walaupun peralatan gymnya tidak banyak tetapi cukuplah untuk hamba mengeluarkan peluh. Kolamnya juga tidak berapa besar namun ini bukanlah satu masalah. Cuma hamba minta pihak hotel menguji kualiti airnya. Ada pakaian yang hamba pakai menjadi reput setelah mandi di situ. Dan ia menjadi koyak apabila dibasuh. Padahal pakaian berkenaan baru sahaja sebulan dua dibeli. Pakaian anak-anak juga luntur warnanya. Hamba merasakan bahan kimia yang digunakan di dalam air tersangat kuat dan boleh membahayakan kesihatan. Dua orang anak hamba muntah-muntah pada malamnya. Hamba tidak tahu sama ada ia kerana air kolam tersebut tetapi pihak pengurusan hotel perlu menjalankan pemeriksaan.

Walau apapun hamba rasa ini kali terakhir hamba menginap di hotel tersebut. Banyak lagi hotel di PD ini yang lebih selesa....




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...