Selasa, 3 Jun 2014

RONA-RONA CINTA DAMASCUS - Sheila Wani


Lama benar novel ini berada di rak buku hamba tanpa dibaca. Bukan buku ini sahaja, bahkan banyak lagi buku hamba yang tidak bersentuh. Antara puncanya ialah hamba membeli lebih banyak buku berbanding kemampuan hamba untuk membaca dalam setahun. Bukanlah hamba gila untuk membeli buku. Tetapi keadaan di negara kita ini apabila sesuatu buku itu telah lama di pasaran, atau ia kurang mendapat sambutan (walaupun isinya baik) ia tidak akan diulang cetak lagi. Justeru untuk mendapatkannya di pasaran adalah sukar. Kerana itu jikalau hamba ada lebihan wang hamba akan membeli sesebuah buku walaupun belum tahu bila hendak membacanya. Walau bagaimanapun bagi buku ini hamba mendapatnya secara percuma sahaja dalam satu seminar pada tahun 2011. Mungkin kerana ia bertemakan cinta maka hamba kurang berminat untuk membacanya dengan segera.

Hamba rasa buku ini hadir ketika dunia penulisan disemarakkan dengan karya-karya Habiburrahman El-Shirazy a.k.a. Kang Abik yang popular dengan novel Ayat-Ayat Cinta. Kehadiran karya Kang Abik yang membawakan persoalan cinta yang digarap sebaik mungkin mengikut landasan syariah cuba untuk diikuti oleh ramai penulis tempatan. Dan hamba rasa karya ini juga tidak ketinggalan.

Secara ringkasnya novel ini tertumpu kepada watak Manal Husna seorang gadis yang menyambung pelajaran di Syria. Dalam kehidupan sebagai seorang pelajar beliau tidak dapat lari daripada soal cinta. Terus terang hamba keletihan membaca novel ini dan berasa rimas dengan kisah cinta para ustaz dan ustazah yang belajar di Syria ini.

Permulaan novel berjalan dengan cukup pantas. Tahu-tahu baru sahaja membaca beberapa bab, mereka telahpun tamat tahun pertama pengajian. Walaupun latar masanya menjangkau setahun. konflik antara watak-watak tidak dihuraikan dengan baik. Dalam tempoh setahun itu watak Hafizah yang merupakan senior juga teman serumah cuba digambarkan sebagai seorang yang kurang sedikit adab pergaulannya. Namun gaya penulisan Sheila pada hamba lansung tidak menampakkan keburukan pada watak tersebut. Perlakuannya pada hamba biasa sahaja dan tidak menampakkan sebarang keburukan. Sewajarnya latar masa tahun yang pertama inilah diperincikan dengan sebaiknya konflik antara penghuni rumah Zahirah Qodimah bagi menambahkan lagi umphh cerita sebelum ke episod selanjutnya.

Secara tiba-tiba pada mukasurat 39 muncul nama watak Saiful. Hamba tertanya-tanya siapa gerangannya watak tersebut. Penulis membuatkan pembacanya meraba-raba. Hinggalah tiba pada mukasurat 148 barulah mula jelas kepada hamba siapa watak tersebut. Ia dijelaskan melalui flashback sewaktu watak utama masih lagi di Malaysia. Penulis terlalu lambat untuk menjelaskan siapa watak tersebut sehingga melebihi 100 mukasurat. Sewajarnya penjelasan mengenai watak tersebut dibuat segera agar tidak mengganggu pembacaan. Flashback yang terlalu lewat telah mengganggu mood pembacaan hamba.

Isu cinta terlalu sarat dalam novel ini sehingga kadangkala rasa menenggelamkan Syria sebagai tempat orang menuntut ilmu agama. Terasa seolah-olah watak utama serta beberapa lagi terlalu ingin sangat nak berteman dan berpasangan. Pelajaran baru sahaja bermula tetapi sudah dibebani dengan konflik cinta. Watak utamanya juga tidak kelihatan kuat di mata hamba, seolah mudah menerima orang lain tanpa pertimbangan yang lebih matang. Alasan takut terjerumus ke dalam dosa tidak boleh hamba terima kerana apa halnya dengan orang lain yang tidak sibuk nak mencari pasangan. Tidakkah mereka juga takut dengan dosa. Pada hamba orang lain itu mempunyai misi dan sedar dengan tanggungjawab yang harus dipikulnya. Kadangkala hamba rasa kisah cinta dalam novel ini lebih memberikan gambaran negatif tehadap mereka yang belajar agama di luar negara berbanding mereka yang menuntut di negara barat. Bukan sahaja pada watak utamanya, para ustaz yang kadangkala pada awalnya digambarkan berwibawa juga pada akhirnya kelihatan lembik dek penangan cinta. Pada satu peringkat Manal Husna dinasihatkan memakai purdah apabila para 'ustaz' ini kerap membicarakan hal dirinya. Cantik amatlah Manal Husna ini sehinggakan nafsu 'ustaz-ustaz' inipun cair dek keayuannya. Apalah yang mereka ini belajar di Syria...

Persatuan pelajar kadangkala nampak macam seperti terlalu mengongkong pelajar wanita. Walaupun tujuannya adalah baik, melindungi mereka daripada sebarang kemungkinan, ia tetap nampak mengongkong. Contohnya apabila hendak pulang ke tanahair tidak boleh bersendirian, perlu ada mas'ul (orang yang bertanggungjawab) yang turut bersama. Maknanya seseorang itu mungkin tidak boleh bermusafir pada tarikh yang dirancangkan sekiranya tiada pelajar lelaki lain yang turut pulang. Persatuan juga turut mempunyai beberapa peraturan buat pelajar wanita dan menjadi satu kesalahan apabila peraturan tersebut dilanggar. Entahlah, hamba masih seperti tadi, walaupun tujuannya cukup baik tetapi ia adalah satu kongkongan. Para pelajar ini perlu memikirkan cara yang lebih baik daripada ini.

Watak Saiful sekali lagi muncul beberapa bab sebelum novel ini sampai ke penghujungnya. Watak tersebut digambarkan cuba membalas dendam kepada Manal Husna dengan menggunakan khidmat bomoh. Demikian itu penulis cuba membayangkan bahawa gangguan oleh jin yang dideritai oleh Manal Husna adalah berpunca dari Saiful. Namun dalam novel ini disebutkan bahawa Husna telahpun mengalami gangguan semenjak berada di Syria lagi. Bahkan turut dinyatakan tindakan Saiful itu setelah beliau mengetahui bahawa Husna sedang pulang bercuti. Apa nasib Saiful, balasan serta tindakan terhadapnya setelah ibu bapa Husna mengetahui rahsia perbuatan tersebut juga tidak dinyatakan. Sebaiknya penulis menamatkan sesuatu yang telah beliau mulakan.

Mungkin ini novel pertama Sheila Wani, justeru ada banyak lompang yang berlaku. Namun hamba percaya penulis boleh melakukan yang lebih baik lagi di akan datang. Hamba tidak tahu sekiranya penulis mempunyai buah tangan lain selepas novel ini. Namun harapan hamba tulisan beliau semakin mantap kini dan terus menghasilkan tulisan yang boleh mendidik masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...