Thursday, June 26, 2014

TEBINGAN SUNGAI GOLOK


Sewaktu turun dari bas di kawasan bebas cukai Rantau Panjang, CC hamba mengisyaratkan "sungai Golok kat belah sana", sambil tangannya menunjukkan ke satu arah yang hanya kelihatan bangunan-bangunan kedai. Mungkin sungainya di belakang kedai-kedai berkenaan. Walaupun telah berkali-kali ke destinasi ini tetapi hamba memang belum pernah melihat keadaan Sungai Golok dari sebelah Rantau Panjang ini.


Tetapi hamba tidak terus pergi sebaliknya menuju ke arah kawasan perniagaan. Sedang sibuk mencari barang-barang yang dihajati hamba terpisah daripada rakan-rakan yang lain. Usai membeli belah hamba terus kembali ke bas yang sedia menunggu. Ada setengah jam lagi masa sebelum bas meninggalkan kawasan tersebut. Hamba memutuskan untuk melihat keadaan Sungai Golok. 




Nampaknya wilayah Siam dekat benar dengan Rantau Panjang, baling batu pun boleh sampai. Hamba melihat ada sebuah jeti kecil dengan bot yang sedia untuk mengangkut penumpang ke seberang. Kamera yang sentiasa di tangan hamba halakan ke arah yang diingini. Dalam pada itub ada debaran di hati hamba khuatir sekiranya perlakuan hamba itu tidak disenangi oleh mereka di sekeliling.




Di kawasan jeti yang hamba tujui itu hamba dapat melihat ada beberapa lagi buah jeti berhampiran sama ada di sebelah Malaysia juga yang di sebelah Siam. Para penumpang kelihatan tidak putus-putus pada ketika itu. Mungkin kerana hari itu adalah Jumaat yang merupakan cuti umum bagi negeri Kelantan. Tiada sebarang kawalan keselamatan atau sebarang anggota keselamatan yang berada di situ. Penumpang bebas keluar masuk wilayah, merentasi sempadan antara kedua hala tanpa sebarang pemeriksaan. Mungkin kerana itu aktiviti penyeludupan mudah berlaku.



Selesai di jeti itu hamba beredar di jeti yang lain. Keadaannya serupa dengan jeti yang pertama. Baru sedas dua hamba memetik kamera hamba ditegur oleh seorang lelaki yang kelihatannya salah seorang pengenadali bot penambang di situ. "Maaflah be saya nok tanyo, abe ambik gamba ni nok buak gapo". Soalan itulah yang hamba khuatir dari tadi. Beliau juga bimbang dengan aktiviti hamba. Mujurlah hamba tidak lekas gelabah dan memberitahu hamba mengambil gambar sebagai suatu hobi dan suka-suka sahaja. Beliau memaklumkan bahawa dahulu ada wartawan sebuah televisyen merakam gambar di situ dan apabila tersiar tempat berkenaan menjadi perhatian pihak berkuasa menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan operasi.



Hamba tidak berniat hendak mengacau periuk nasi mereka. Tetapi aktiviti ini amatlah jelas melanggar undang-undang kerana membenarkan orang ramai keluar masuk sempadan tanpa sebarang kebenaran. Tidak dinafikan sekiranya sekatan diadakan mungkin menyukarkan beberapa pihak terutamanya mereka yang mempunyai aktiviti perniagaan atau pengunjung yang mempunyai saudara mara di negara sebelah sana. Walau apapun satu pendekatan yang lebih baik perlu difikirkan oleh pihak berkuasa. Kerana bebas seperti ini jugalah Ayah Pin amat mudah menyeberang tanpa perlu bimbang apa-apa.












No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...