Selasa, 8 Julai 2014

AWAN ITU KALAU DAPAT DICAPAI, MAKA SAKTILAH HAMBA



Antara perkara yang tidak pernah hamba terfikir ketika zaman kanak-kanak serta persekolahan hamba ialah untuk menaiki kapal terbang. Kapal terbang bagi hamba ketika itu adalah pengangkutan untuk orang yang berduit, orang kaya, ataupun yang mengumpul sekian lama untuk ke tanah suci. Keluarga hambapun tidak pernah menaikinya, ke lapangan terbang pun tidak pernah. Hanya atok dan uwan yang pernah naik untuk ke Mekah. Lantaran itu menaiki kapal terbang tidak pernah ada dalam angan-angan hamba.



Impian yang tidak pernah ada itu tertunai apabila hamba mendapat peluang belajar di luar negara (Belajar di luar negara pun tidak pernah ada dalam impian hamba). Lebih hebat lagi perjalanan pertama ini diberikan keistimewaan menaiki kelas perniagaan. Maka kekenyangan yang amatlah hamba sepanjang perjalanan dari Subang ke Charles de Gaulle di Peranchis itu.



Apabila memasuki alam pekerjaan, peluang menaiki pengangkutan ini lebih luas lagi, terutamanya apabila menghadiri mesyuarat, kursus , lawatan dan sebagainya. Cuma akhir-akhir ini keterujaan itu tidak seperti dulu lagi. Kadang-kadang rasa takut menaiki pengangkutan udara ini. Kapal terbang bergegar sedikit sudah mula terasa risau, perasaan yang sama sekali tidak ada satu ketika dahulu. Apakah ini fitrah semulajadi? Wallahu aalam.



Kini kapal terbang sudah menjdai seperti bas. Lapangan terbang sentiasa penuh dengan manusia. Lebih-lebih lagi semenjak perkhidmatan penerbangan tambang murah diperkenalkan. Kalau dulu orang yang menaiki penerbangan akan berpakaian kemas. Hari ini dengan selipar jepun dan seluar katok pun orang naik dengan selamba sahaja. Nilai ekslusif itu sudah hilang. Lapangan terbang juga sudah jadi pusat membeli belah. Mungkin satu hari nanti akan ada pasar tani di dalamnya...







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...