Sunday, September 7, 2014

MITOS - Ramlee Awang Murshid



Novel Mitos asalnya merupakan satu tulisan yang disiarkan secara bersiri di akhbar Berita Harian. Ketika siarannya di akhbar berkenaan hamba tidak mengikutinya dan hanya sempat membaca dalam satu keluaran sahaja. Cerita ini telahpun dibukukan dan diterbitkan oleh Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid (RAMFC). Malangnya buku ini tidak dipasarkan secara terbuka di kedai-kedai buku. Ia hanya boleh didapati secara dalam talian dengan pembelian melalui Facebook RAMFC. Rekabentuk buku ini nampak sederhana, tidak nampak gah seperti yang lazim direkabentuk oleh Karangkraf.Mata hamba juga kurang mesra dengan fontnya. 

Sejujurnya hamba kurang minat untuk membeli buku secara dalam talian ini. Ini kerana hamba kehilangan keterujaan membelek buku seperti yang lazim dilakukan apabila melawat sesebuah kedai buku ataupun pamerannya. Dan yang pastinya juga pembelian begini tidak memungkinkan hamba mendapat sebarang diskaun bahkan terpaksa membayar juga kos pengeposan. Walaupun usaha orang-orang kuat di sebalik RAMFC ini wajar mendapat pujian, mereka seharusnya memikirkan untuk memasarkan produk istimewa ini dengan lebih meluas lagi. Hamba percaya bukan semua peminat Ramlee ingin singgah/suka (like)/melawat laman muka buku RAMFC. Ramai yang masih suka dengan cara tradisional membeli buku seperti hamba. Walaupun pembelian di dalam talian adalah pantas namun keterujaannya tiada. Dalam hal kepantasan ini suka hamba untuk memberikan pujian kepada pihak yang menguruskan penghantaran buku ini kerana sebaik sahaja kiriman wang hamba diperakukan, esoknya produk tersebut telahpun sampai ke tangan hamba!!

Seperti biasa tulisan Ramlee ingin mempersembahkan sesuatu yang baru kepada peminat beliau. Mitos mengungkap kisah berkenaan manusia yang boleh bertukar kepada harimau (Bolehkah hamba gunakan istilah 'harimau jadian' kerana untuk werewolf kita menggunakan istilah serigala jadian?). Kumpulan manusia harimau yang terdiri daripada dua kelompok - pemburu dan pemangsa ini, dikatakan bermusuhan semenjak zaman dahulu lagi. Jurai mereka dikatakan berasal dari Jambi. Dalam Mitos ini dikatakan segolongan dua puak ini ada yang telah berhijrah ke Tanah Melayu dan perperangan antara mereka masih berlarutan di sini.

Ketegangan membaca kisah harimau jadian ini pada hamba lebih banyak dirasakan ketika kisah antara mereka berlansung di hutan Temerloh pada 1966 berbanding dengan yang berlaku pada latar masa hari ini. Pada latar masa hari ini konflik lebih banyak tertumpu kepada watak Haikal, Umairah dan seterusnya Haji Daud juga ibu dan bapa Umairah. Haikal pada awal novel ini digambarkan telah diculik dan dicampakkan ke Pulau Harimau berhampiran dengan Jambi. Walaupun akhirnya diketahui bahawa beliau diculik oleh dua abang Umairah, sebab yang membawa kepada penculikan itu, atau kisah yang berlaku di sebaliknya tidaklah diketahui. Pembaca mungkin mengetahui tentang perbalahan kedua puak ini, sebab musabab utama penculikan, apa yang membawa kepada penculikan Haikal adalah sesuatu yang majhul.

Rupanya Umairah juga adalah dari spesis manusia rimau ini juga. Cuma yang tak seronoknya sebelum itu watak beliau kelihatan sopan dan menampakkan tahap pendidikannya yang tinggi. Namun setelah melalui pengalaman bertukar kepada harimau watak beliau mula nampak brutal khususnya setelah mengetahui akan kisah pertikaian dua puak manusia harimau ini. 

Dalam pada Ramlee bercerita mengenai dua buah keluarga harimau jadian ini terselit juga kisah dua anggota polis yang terlibat menyiasat satu kes pembunuhan empat orang perompak oleh harimau jadian. Kisah ini umpama satu selitan sahaja kerana hingga ke akhirnya tidak nampak kaitan siasatan ini dengan keluarga harimau tadi. ASP Kamarul yang akhirnya mengaku membunuh kesemua perompak itu sebenarnya juga merupakan salah seorang/seekor harimau tersebut. Namun tidak diketahui dari jurai keluarga mana beliau datang kerana pertempuran pada tahun 1966 hanya meninggalkan 4 orang sahaja di Tanah Melayu iaitu Jingga/Daud, Cuandas, Kurnia/Adib dan Astirai/Asmiah. Atau mungkin terdapat ramai lagi harimau yang berada dalam masyarakat sepertimana watak Zamberi dan bapanya yang tiba-tiba sahaja muncul sewaktu Cuandas lari meninggalkan Daud.

Ramlee menamatkan cerita dengan meninggalkan persoalan kepada pembaca, sesuatu yang paling hamba benci apabila membaca novel. Tidak tahu apa yang berlaku akhirnya kepada watak ASP Kamarul dan pembantunya Zaheran, kesudahan pertempuran di hutan Temerloh pada 2013 serta siapa pasangan Haikal dan Umairah. Hamba tak larat nak berfikir dan berfantasi - ada banyak lagi buku yang hamba nak baca dan hadamkan wahai Encik Ramlee.

Buku Mitos ini bagi hamba amat nipis tidak seperti karya Ramlee yang lazimnya melebihi 500 mukasurat. Mungkin ia kerana ia asalnya tulisan di akhbar maka ia cuba disesuaikan dengan ruangan serta tempoh yang diberikan oleh akhbar tersebut kepada Ramlee. Ramlee memberikan gambaran akan mengembangkan lagi watak di dalam Mitos ini pada masa yang akan datang serta memperkemaskan lagi plot-plotnya. Semua peminat Ramlee juga mengharapkan hal yang sedemikian sambil sabar menunggu keluarnya sebuah lagi air tangan bermutu beliau.


5 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Saya berminat untuk membeli novel ini. Saudara mahu menjualnya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf cuma ada satu naskhah sahaja buat koleksi sendiri.

      Delete
  2. assalamualaikum en mizhar, sy mahu membaca cerita mitos dan pei pan kalo ada.. mohon encik bg pencerahan di mana sy boleh membacanya? klo encik sudi fotostatkan utk sy, sy sgt berbesar hati. Saya hanya ingin mengetahui jalan ceritanya sahaja bukan untuk dijadikan koleksi.. mohon pertolongan dari encik untuk hubungi sy. 019-6595075 (nursyahidda83@gmail.com). terima kasih

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum tuan, kalau tak keberatan boleh fotostat kan? email saya di czariss@gmail.com... terima kasih byk atas sokongan sesama peminat setia RAM.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hamba mohon maaf kerana tidak dapat fotostat buku tersebut kerana ia akan merosakkan tulang buku dan menjadikan buku terlipat. Hamba cadangkan agar saudara dapat merujuk terus kepada facbook RAMians sendiri.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...