Rabu, 22 Oktober 2014

CERITA CINTA AHMAD AMMAR - Grup Penjejak Tamadun Dunia



Biarpun telah membeli buku ini beberapa bulan yang lalu, namun hanya beberapa hari ini sahajalah hamba berkesempatan membacanya sehingga khatam. Hamba yakin bahawa hamba seperti ramai orang lain yang tidak mengenali tokoh yang disebut di dalam buku ini. Tidak mengenalinya semasa beliau hidup dan hanya kenal selepas beliau tiada lagi di dunia ini. Nama beliau mula menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan kematian beliau mempunyai tanda-tanda seorang yang mati syahid serta diberikan kemuliaan untuk dikebumikan di permakaman Eyyub Sultan yang juga menempatkan makam sabahabat Nabi, Abu Ayyub Al Ansari.

Buku ini mengandungi sejumlah catatan yang ditulis khas bagi memperingati almarhum. Penerbit cukup bijak apabila meletakkan tulisan ibu Ammar iaitu Puan Nur Azlina Abdul Aziz sebagai pembuka kerana hamba merasakan tulisan beliau telah mencakupi kesemua perkara secara ringkas mengenai diri almarhum. Tulisannya juga memperlihatkan bahawa beliau seorang penulis yang baik memandangkan segalanya cukup tersusun tanpa menimbulkan kebosanan kepada pembaca. Selanjutnya ia diikuti oleh tulisan bapa, ahli keluarga serta sahabat dan orang yang pernah rapat dengan beliau.

Pastinya ramai yang telah membaca buku ini bersetuju bahawa walaupun almarhum kembali kepada Allah dalam usia yang terlalu muda, terlalu banyak perkara kebaikan yang telah dilakukannya sehinggakan hamba merasa malu dengan diri sendiri kerana merasakan banyak lompong yang telah hamba tinggalkan. Dididik dalam sebuah keluarga haraki, ia diperteguhkan lagi dengan laluan pendidikan serta pengalaman yang beliau tempuhi. Rata-rata penulis memuji akhlak, kesungguhan menuntut ilmu, kematangan dan pelbagai lagi perkara positif yang ditonjolkan almarhum. Mengambil pengajian yang jarang menjadi pilihan, di institusi yang tidak diiktiraf JPA, di negara yang mempunyai bahasa yang berlainan, ini semua menunjukkan penyerahan secara bulat kepada Allah dengan niat untuk mencari ilmu bagi tujuan dakwah bukan memikirkan apa karier atau pekerjaan yang akan dijalankan di masa hadapan. Sesungguhnya almarhum telah disediakan oleh keluarga beliau bagi menjadi seorang pendakwah yang hebat, dan ternyata ia benar kerana buku ini hamba rasakan seolah dakwah beliau setelah kematian.

Membaca kesemua tulisan, pembaca tidak akan dapat lari daripada menemui beberapa perkara yang sama disebut beberapa orang penulis, yang hamba lihat seakan satu seruan kepada orang lain untuk mencari serta menyelidik perkara berkenaan. Antaranya ialah Risalah Nur, Hayrat Vakfi, Said Badiuzzman Nursi, Osmanlica, GPTD dan lain-lain lagi. Harus hamba akui bahawa hamba sendiri tidak mengetahui banyak mengenai sejarah Khilafah Uthmaniah. Dalam pengajian di sekolah atau universiti dahulupun tidak banyak yang disentuh. Untuk mengetahui sejarah Khilafah ini harus menggalinya sendiri daripada sumber asli Turki yang kebanyakannya ditulis dalam tulisan jawi Osmanlica. Justeru kehadiran almarhum untuk mempelajari perkara ini sebenarnya bagi memudahkan orang seperti kita untuk menelusuri sejarah kegemilangan agama kita sendiri.

Dalam banyak-banyak tulisan ini hanya tulisan bertajuk 'Kehilangan Ammar Umpama Perginya Sebutir Permata Pemuda Islam' oleh Mohd Azli Mohd Ali yang hamba rasakan tidak begitu umphh. Ini kerana tulisan beliau banyak mengungkapkan kembali kata-kata Ustaz Hasrizal Jamil di dalam blognya. Dan kata-kata yang sama juga kita boleh baca di dalam tulisan Ustaz Hasrizal yang turut menyumbang di dalam buku ini. Ustaz Hasrizal juga turut menukilkan hal ini di dalam bukunya Menalar Makna Diri, Kembara Menjejak Imam Birgivi. Jadi hamba merasakan seolah penulis kehilangan seluruh kreativitinya kerana hanya menaqalkan kata-kata orang lain yang bagi hamba amat mudah  sekali pekerjaannya. Ia juga menjadi tidak asli berbanding penulis lain yang mempunyai kisah tersendiri yang boleh disampaikan.

Harapan hamba akan timbul lagi barisan pemuda berwawasan dan berpandangan jauh seperti Ahmad Ammar. Buku ini sewajarnya menjadi bacaan para pemuda pemudi Islam sebagai pencetus semangat untuk melindungi agama. Juga bacaan terbaik untuk ibu bapa yang boleh mencontohi serba sedikit pengalaman ayahanda dan bonda almarhum Ammar di dalam mendidik beliau.


2 ulasan:

  1. Salam buat saudara Hamba.saya juga turut membeli buku ini untuk anak.anak.Sememangnya buku ini patut dimiliki olelh semua keluarga Melayu terutama yang mempunyai anak anak remaja.Kalaulah cerita buku ini dapat disusun semula dan dimasuklan ke dalam antologi buku komsas sekolah mnenengah alangkah baik agar nanti akan lahir lebih ramai lagi !ahmad amar di negara kita..

    BalasPadam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...