Selasa, 7 Oktober 2014

MENJELANG PEMBENTANGAN BAJET 2015



Masa balik kampung raya Haji haritu ayah hamba ada beritahu yang Jumaat minggu ni ada pembentangan bajet. Hamba ingatkan ayah hamba silap tarikh sebab bajet biasanya dibentangkan pada penghujung Oktober, nampaknya hamba sendiri yang silap. Pernah juga hamba pergi ke Parlimen mendengar pembentangan bajet dulu. Orang ramai, nak parking payah, jadi kalau nak pergi mutakhir ni hamba rasa berat sikit. Eloklah hamba dengar di radio sahaja sambil kunyak keropok.

Sejak PM sekarang ini mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau memberi peluang kepada rakyat untuk meluahkan pandangan serta cadangan yang boleh beliau teliti untuk tujuan penyediaan bajet ini. Sebagai rakyat hamba nampak itu satu perkara yang baik. Namun tidaklah hamba tahu berapa persenkah daripada semua pandangan yang dikemukakan itu akan diambilkira. Adakah PM sendiri yang membacanya secara lansung ataupun ia hanya dibaca oleh pegawai beliau. Andainya pegawai beliau yang membaca kesemuanya, maka hamba percaya banyak yang akan ditapis terlebih dahulu sebelum sampai ke tangan PM.

Hamba tidak mengharap apa-apa daripada bajet ini sebab dalam banyak hal hamba tidak begitu merasakan banyak kebaikan kepada hamba. Kehidupan tidak juga makin senang, perbelanjaan dapur semakin bertambah, barang semakin mahal, cukai yang tinggi tidak juga berkurang, duit mengalir umpama air - laju dan tiris. Beberapa hari yang lalupun petrol baru sahaja naik harga. Pada hari berkenaan hamba dalam perjalanan pulang dari Ipoh. Hamba memang berhenti untuk mengisi tangki yang semakin kering. Sememangnya kereta di stesen minyak agak banyak dan pembeli terpaksa beratur. Namun ketika itu hamba pun belum tahu bahawa harga petrol akan naik pada keesokannya. Jadi hamba isi seperti biasalah dan tidak sampai kepada had penuh. Rugi jugalah hamba kiranya kerana tidak membuat pengisian penuh. Hamba pun hairan dengan pihak kementerian, kenapa perlu tunggu (embargo) sehingga petang baru nak dibuat pengumuman. Salah apa kiranya diumumkan pada waktu pagi agar rakyat tidak kelam kabut beratur. Ustaz nak bagi ceramah di suraupun terbantut kerana nak isi minyak penuh dahulu.

Walaupun dikhabarkan bahawa harga petrol tidak dinaikkan, cuma subsidi sahaja yang dikurangkan, bagi rakyat harga petrol tetap naik. Rakyat tidak peduli dengan istilah atau bahasa yang disusun semula itu, yang pasti duit tetap dikeluarkan lebih daripada biasa. Tambah menyakitkan apabila kenaikan tersebut berlaku beberapa hari sahaja lagi menjelang Aidil Adha. Kalau hamba mengatakan pihak berkenaan tidak cerdik tentunya mereka akan marah, tapi hakikatnya begitulah. Boleh sahaja dilajakkan tarikhnya selepas sambutan raya, tetapi entahlah hamba tidak tahu muslihat disebaliknya. Yang pastinya rakyat berduka dan tauke petrol bergumbira. 

Hamba tidak tahu apa lagi perbelanjaan yang hamba perlu potong. Dari mula-mula masuk kerja dulupun hamba sudah sedia membawa bekal makanan dan minuman ke pejabat. Selalu juga tak makan tengahari kerana nak berjimat. Kereta pun pakai yang cc kecil - kenapa tak naik bas? Oh hamba boleh naik bas dan berkemungkinan hamba akan mengambil masa sehingga 3 jam menaiki pengangkutan awam tersebut dan sampai ke pejabat jam 10 pagi. Nak buat macam mana, hamba bukannya dibekalkan dengan kenderaan jabatan yang minyaknya juga ditanggung sepenuhnya. Hamba bawa kenderaan sendiripun selain hendak sampai ke pejabat sebelum waktunya, ia juga kenderaan anak-anak hamba ke sekolah. Itu juga penjimatan sebab 3 orang kalau naik van sekolah lagi banyak yang hamba kena keluarkan. Abih camno....

Bila hamba buka almari melihat pakaian yang digunakan ke pejabat, hamba tersedar bahawa pakaian hamba itu lama-lama belaka. Yang dah lebih 10 tahun pun ada. Walaupun lusuh hamba pakai juga hingga pernah hamba ditegur boss lama kerana baju yang lusuh. Kedekut sangatkah hamba, ya mungkin, hamba kedekut agar keluarga hamba ada lebihan untuk dibelanjakan. Tak apalah, ramai lagi orang yang pakaiannya lebih buruk daripada apa yang hamba miliki bahkan ada yang tidak berpakaian. Hamba masih bersyukur atas nikmat yang Allah beri.

Oklah dah tengahari rupanya. Saja nak maklum tengahari ni pun hamba tak beli nasi, hamba makan baki kuih raya puasa yang dua bulan lepas punya yang serdaknya ada sedikit lagi. Nak buat macam mana, anda naikkan harga bahananya kami yang rasa...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...