Isnin, 22 Disember 2014

LEGOLAND, LAWATAN SEORANG MARHAEN



Walaupun idea nak ke Legoland telah timbul lama, tetapi hamba tidak buat persedian yang rapi sebenarnya. Hanya beberapa hari lagi nak pergi barulah hamba sibuk nak mencari hotel serta melihat harga tiket. Harga tiket ke sini sememangnya mahal. Buat rakyat seperti hamba harga yang ditawarkan adalah mahal dan di luar kemampuan kalau tidak majoritipun, kebanyakan orang. Mujurlah untuk tujuan tiket ini hamba telah mula mengumpul semenjak beberapa bulan yang lalu. Hanya bab belanja ini sahajalah yang hamba buat persediaan tidak seperti penginapan atau penempahan tiket.





Apabila hamba merujuk kepada blog-blog lain, antara tips yang mereka berikan adalah kita membuat perancangan dengan lebih awal. Antaranya ialah dengan mencari voucher ataupun kupon diskaun yang kadangkala diiklankan di akhbar atau mana-mana promosi barangan. Walaupun pengguna mykad boleh menikmati sedikit potongan, tetapi sekiranya ada kupon sebegini potongannya adalah lebih sedikit. Memandangkan hamba akan masuk bertujuh, maka kelihatannya RM yang akan keluar adalah besar juga, membolehkan hamba tukar telefon baru!!





Hamba cuba juga tanyakan rakan-rakan di fesbuk sekiranya mereka mempunyai kupon sebegitu yang tidak digunakan. Tiada respon yang hamba perolehi selain tanda 'like' yang bagi hamba tidak membantu lansung. Hamba tidak berputus asa. Hamba gunakan sebaiknya web carian di internet sehinggalah hamba bertemu dengan seorang yang mengiklankan kupon tersebut untuk dijual. Kupon yang beliau ada bernilai potongan sebanyak 30% dengan harga RM6 sekeping. Walaupun ada harga yang dikenakan, congakan hamba mendapati hamba masih lagi untung berbanding harga tiket yang sebenar. Lalu hamba hubungi beliau dan beliau berjanji untuk menyimpan untuk hamba sebnayak 6 keping dan hamba boleh mengambilnya di kawasan Legoland pada hari lawatan nanti.





Menggunakan khidmat laman booking.com, hamba tergerak untuk memilih Hotel Ariana @ Iskandar yang memberikan harga RM100 untuk bilik superior twin. Memandangkan laman tersebut menyatakan ruang biliknya agak luas, maka hamba tidak teragak-agak untuk menempah dua bilik tambahan pula sarapan pagi turut diberikan. Tapi sebenarnya hamba agak kecewa juga apabila mendapati akhirnya bilik yang dikatakan luas itu sebenarnya benar-benar sempit. Mujurlah hamba menempah dua bilik pada percutian kali ini berbanding sebuah pada percutian-percutian yang lalu. Kalau tidak siksa juga anak-anak hamba.




Seperti yang dijanjikan, hamba memperolehi kupon yang dijanjikan pada hari lawatan. Pemuda berkenaan merupakan kakitangan sambilan di situ membuatkan hamba menyangka pada mulanya bahawa kupon yang dijual adalah diperolehi daripada tempat beliau bekerja. Rupa-rupanya kupon itu beliau potong terus daripada akhbar. Tak apalah yang pentingnya kupon itu boleh digunakan. Satu yang agak siksa sebelum mula masuk adalah pelawat terpaksa berbaris panjang untuk membeli tiket. Hamba rasa sistem beratur taman tema ini boleh lagi diperbaiki. Hamba pernah melawat Universal Studio di Osaka dan hamba puji cara mereka mengatur kaunter tiket membuatkan hamba ketika itu tidak perlu beratur panjang.





Tidak perlu hamba hurai panjang mengenai permain-permainan yang ada di Legoland. Yang penting hamba menggunakan masa yang ada dengan sewajarnya. Pagi hamba masuk, dah gelap baru hamba keluar. Permainan yang ada bagi hamba biasa sahaja, lebih kurang macam yang ada di Genting Highland sahaja cuma beberapa permainan sahaja yang berbeza sedikit dengan yang di sana. Pesan hamba agar bakal pengunjung membawa baju hujan sendiri atau pakaian ganti memandangkan ada permainan yang oleh menyebabkan seluruh pakaian basah. Baju hujan yang dijual di dalam ini sudahlah nipis, harganya pula memang tidak masuk akal. Walaupun ada mesin pengering pakaian disediakan, pengunjung masih perlu membayar RM10 untuk sekali kegunaan, dan percayalah walaupun jumlah itu besar, ia tidak mampu untuk mengeringkan pakaian anda memandangkan waktu kegunaan yang amat singkat.





Sebelum masuk juga makanlah dengan sekenyangnya memandangkan harga makanan amatlah mahal, macam Yah@#$ meniaga sahaja rupanya. Makanan seperti burger boleh mencecah RM22!! Suka dinyatakan bahawa anda tidak dibenarkan membawa makanan dari luar dan beg anda berkemungkinan diperiksa sebelum masuk. Hamba tidak tahu mengapa perkara seperti makanan ini harus dijual sebegitu mahal. Tidakkah mereka kasihan dengan pengunjung. Sudahlah tiket masuk mahal, makanan juga begitu harganya. Dengan harga sebegitu berbanding yang sama di luar, mereka bukan lagi untuk 100% bahkan berpuluh kali ganda lagi. Kalaupun harga makanan dijual dengan harga yang berpatutan hamba rasa mereka masih boleh untung lagi. Atau adakah kerana target mereka adalah pengunjung luar negara maka pengunjung dalam negara harus dikorbankan?





Tapi begitulah nampaknya jikalau mahu melancong ke mana-mana taman tema pada hari ini, boleh hamba katakan tiada yang murah. Di Johor inipun ada beberapa lagi taman tema yang harga tiketnya tidak juga kalah dengan Legoland. Hamba percaya kebanyakan kita sendiri ke sini lebih kepada menunaikan keinginan anak-anak, selain sebagai pembakar semangat atau juga hadiah kerana berjaya di dalam pelajaran. Namun sampai bilakah kita terpaksa membayar harga yang mahal (Hamba percaya segelintir yang membaca para ini tentu akan berkata - kalau fikir mahal pergi sahajalah berkunjung ke dalam hutan!!). Alangkan hamba yang mampu pergi inipun terasa juga 'letih'nya, bagaimana pula bagi mereka yang tidak mampu, tidakkah mereka juga ada keinginan untuk ke tempat sebegini.




























Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...