Isnin, 12 Januari 2015

PEMBALASAN DENDAM DAN PENYALAHGUNAAN KUASA - Shaari Isa



Tajuk buku ini agak panjang. Tajuknya juga tidak begitu nampak sasteranya. Tetapi tajuk yang tidak berapa 'catchy' ini jugalah yang menarik perhatian hamba atas nilai sejarah yang terkandung di dalamnya. Saiznya agak besar dan tebal mukasuratnya umpama buku telefon. Sekali imbas kelihatan seperti buku teks universiti, ditambah pula dengan hiasan kulit hadapannya dengan peta topo Kota Kinabalu umpama sebuah buku geografi, hinggakan staff hamba sendiri menyangkakan hamba sedang membuat ulangkaji apabila dilihat membaca buku ini di pejabat. Tajuk buku ini sebenarnya mengambil bulat-bulat terjemahan asalnya daripada bahasa Inggeris iaitu Vendetta And Abuse Of Power dan buku ini diterjemahkan oleh Prof. Salleh Buang.

Di hadapan kulit buku ini tercatat kata-kata perjuangan menuntut keadilan di negeri di bawah bayu, dendam politik dan serangan peribadi ke atas Syed Kechik di Sabah (1975-2013). Terus terang sebelum membaca buku ini pengetahuan hamba ke atas tokoh yang bernama Syed Kechik ini amatlah terhad. Yang hamba tahu hanyalah bahawa beliau merupakan seorang tokoh perniagaan yang berjaya dan pernah terlibat dalam industri perfileman. Namun dengan membaca buku ini dapat hamba lihat betapa beliau salah seorang tokoh yang sumbangannya amat besar di dalam usaha ke arah perpaduan nasional. Sayangnya kerana dendam politik segala sumbangan beliau seolah terpadam daripada catatan sejarah tanah air, dilupakan bahkan dianggap satu ancaman ke atas sebuah negeri.

Buku ini adalah manifestasi kasih sayang seorang adik yang bernama Syed Salem ke atas abangnya Syed Kechik. Kerana kasih sayang dan pembelaan ke atas saudara yang teraniaya, Syed Salem terus berjuang walaupun perjuangan itu telah berusia lebih daripada 30 tahun. Tahun 1975 adalah tahun kelahiran hamba, justeru memandangkan usaha Syed Salem masih lagi berterusan dapatlah hamba bayangkan betapa gigihnya beliau serta masih tidak berputus asa apatah lagi mengenal erti jemu. 

Tokoh yang bernama Syed Kechik ini adalah umpama wira tak didendang, ataupun kalau didendangkan, didendangkan kadangkala dengan ritma yang palsu sehingga memburukkan personaliti beliau. Syed Kechik telah dihantar oleh YTM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan yang pertama ke Sabah pada tahun-tahun awal pembentukan Malaysia (atau selepas keluarnya Singapura dari Malaysia) untuk membantu negeri itu juga Sarawak dari segi politik, pentadbiran serta yang lebih penting lagi untuk tujuan perpaduan nasional, agar perjalanan jentera pertadbiran di kedua-dua negeri berkenaan selaras dengan kerajaan pusat. Menjadi orang kepercayaan Tun Datu Mustapha, segala pandangan Syed Kechik diambilkira, dipertimbangkan demi untuk memajukan negeri.

Namun menjadi adat dunia, sentiasa ada sahaja orang yang menaruh perasaan hasad dan dengki dengan kejayaan yang diperolehi oleh Syed Kechik. Pengaruh beliau yang besar ini dilihat oleh sesetengah ahli politik negeri sebagai membahayakan mereka walaupun Syed Kechik sendiri tidak ada minat untuk menyertai scene politik tempatan, bahkan beliau lebih berminat untuk menamatkan khidmatnya bagi menumpukan perhatian terhadap perniagaan serta kerja guamannya. Kerana khidmat baktinya, beliau telah dianugerahkan sejumlah kawasan balak. Selain itu beliau turut membeli sejumlah kawasan besar tanah yang dilihatnya mempunyai prospek besar dalam industri pelancongan. Perancangan telah dibuat dengan teliti sehingga memakan masa bertahun-tahun. Projek besar yang dikenali dengan nama Projek Zara ini nanti akan menjadi satu kawasan yang hebat sekaligus menaikkan nama Sabah terutamanya dalam kalendar pelancongan. Melihat kepada perancangan Projek Zara seperti yang dikepilkan di dalam buku ini hamba hamba lihat wawasan Syed Kechik adalah 30 tahun ke hadapan. Sekiranya projek berkenaan menjadi kenyataan ketika itu hamba pasti sektor pelancongan tanah air akan lebih banyak berkiblat ke Sabah berbanding dengan tanah semenanjung.

Namun panas mentari kadang-kadang tidak sampai ke petang. Tumbangnya kerajaan Tun Mustapaha umpama membuka laluan untuk kerajaan baru menjatuhkan Syed Kechik. Apatah lagi dalam manifesto mereka ketika pilihanraya adalah untuk mengusir keluar Syed Kechik dari Sabah! Melalui helah yang licik, semua tanah beliau dirampas tanpa sebarang pampasan dengan alasan atas kepentingan awam. Walaupun rampasan itu dilihat seolah kerajaan negeri ingin segera menggunakan tanah-tanah berkenaan, tetapi ia terbiar tidak diusahakan lebih 20 tahun. Walaupun undang-undang menetapkan bahawa tanah yang diambil itu perlu dibayar pampasannya, namun itu semua tidak terjadi. Dan itulah yang diperjuangkan oleh Syed Salem semenjak dulu sehingga kini, apatah lagi Syed Kechik sendiri telahpun kembali ke rahmatulLah pada tahun 2009.

Buku ini turut menyentuh mengenai perbicaraan yang dilalui oleh kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan Syarikat Zara) yang mana salah satunya memberikan cerita yang mengejutkan apabila dijalankan oleh hakim yang mempunyai kepentingan sehingga memberikan keputusan yang berat sebelah. Walaupun 3 orang Perdama Menteri pernah menasihati kerajaan negeri untuk segera menyelesaikan kes ini secara baik, namun ia seolah mencurah air ke daun keladi. Ia memberi gambaran kepada hamba bahawa ada orang yang tidak menghormati nakhodanya walaupun berada dalam satu kapal yang sama. Bukan sahaja pimpinan tertinggi tidak didengari cakapnya bahkan keputusan mahkamah juga dipandang sepi. Maka dimanakah lagi rakyat ingin mengadu. Alangkan orang hebat seperti Syed Kechik dan Syed Salem ini ditekan dengan sebegitu hebat, rakyat marhaen seperti kita ini apakah pula nasibnya jikalau perkara yang sama menimpa.

Sehingga buku ini diterbitkan, kesnya masih belum lagi selesai. Hamba anggap penulisan buku ini adalah satu tindakan yang berani oleh penulis memandangkan pihak yang terlibat adalah sebuah kerajaan negeri serta institusi mahkamah itu sendiri. Buku ini wajar dibaca oleh para pentadbir, ahli politik, pencinta sejarah, pengkaji undang-undang bahkan oleh keseluruhan rakyat Malaysia sendiri. Dalam hal ini pihak-pihak yang berkenaan hendaklah kembali kepada agama. Fikir-fikirkanlah mengenai hak seseorang hamba yang dihalang atau dinafikan pemilikannya. Apatah lagi orang berkenaan telahpun meninggal dunia tanpa sempat merasai perkara yang sepatut menjadi hak beliau. Perjalanan kita masih jauh wahai anak Adam. Selesaikanlah di sini untuk mengelakkan di tanya di sana nanti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...