Monday, February 23, 2015

IGAUAN MAUT - Ramlee Awang Murshid



Novel ini barangkali antara yang terawal di hasilkan oleh RAM.Dicetak buat pertama kali dalam tahun 1994 dan kali kedua pada tahun 2013 seterusnya ketiga pada 2014. Mungkin kerana ketika ia diterbitkan nama RAM belum mekar seperti sekarang maka buku itu setakat hidup pada cetakan pertamanya sahaja. Namun setelah nama RAM menjadi satu nama besar, novel yang dicetak kali kedua selepas 18 tahun ini menjadi hit semula khususnya buat penggemar RAM. Jelas nampak RAM telah sejak dulu bermula dengan genre thriller ini dan amat istiqamah dalam persembahannya.

Bagi yang telah biasa membaca karya-karya RAM terutamanya di bawah terbitan Karangkfraf, tentunya akan terasa kurangnya zouq apabila membaca novel ini. Walaupun novel ini pernah memenangi anugerah, tetapi pembaca setia RAM pasti akan merasakan sesuatu kelompangan yang sukar untuk dijelaskan. Terasa seperti RAM masih boleh menghuraikan banyak lagi perkara, mencipta banyak lagi plot serta unsur yang mendebarkan. Tetapi membaca novel ini seolah straight to the point  sahaja persembahannya. Bukanlah ini bermakna hamba hendak menyalahkan RAM, kita perlu terima hakikat ini adalah air tangan beliau 20 tahun yang lalu yang pastinya tidak sama dengan persembahan hari ini.

Peristiwa satu keluarga yang dibakar hidup-hidup sehingga menimbulkan rasa dendam kepada waris yang masih hidup amat menarik sekali. Pembaca pada awal-awal telah terpaksa berteka-teki tentang siapa waris tersebut. Pastinya ramai yang meneka Mizah orangnya memandangkan beliau bukan anak kandung Pak Kudu, ketua kumpulan yang membakar rumah tersebut. Ini keistimewaan RAM dalam karya-karyanya, selalu mengajak pembaca berteka-teki tentang watak-watak yang ada. Namun seperti yang hamba tuliskan di awal tadi, persembahan RAM lewat novel ini amat ringkas dan tidak banyak persoalan yang ditimbulkan, bahkan imbas kembali tentang kehidupan Lipin setelah beliau dipenjarakan tidak begitu menerujakan hamba. Bagi hamba apabila sudah diketahui siapa yang membakar rumah Pak Kudu dan kawan-kawannya serta pelakunya di masukkan ke penjara, apa yang berlaku selepas itu adalah umpama anti klimaks. Mainan perasaan Mizah terhadap Lipin pada bab-bab akhir tidak begitu menimbulkan keterujaan. Apapun hamba percaya penulisan bentuk begini sesuai dengan zaman ia dihasilkan iaitu sekitar 90an. Hari ini kehendak peminat RAM lebih kompleks lagi.... 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...