Isnin, 23 Februari 2015

TOTAL RECALL - Arnold Schwarzenegger



Hamba tidak pandai berbahasa omputeh, merangkak rangkak kalau mebaca, apatah lagi hendak berbicara. Jika membaca pasti akan ada kamus di sisi buat merujuk kalimah yang tidak diketahui. Tapi tahun ini hamba berazam untuk membaca dan menyudahkan sebuah buku omputeh. Pilihan kali ini agak tebal iaitu 646 mukasurat. Yang dulu-dulu paling tebalpun buku omputeh yang pernah dibaca adalah sekitar +- 200 mukasurat sahaja. Alhamdulillah, walaupun kelajuan pembacaan hanyalah 20 mukasurat sejam, dapat juga hamba menyudahkannya dalam tempoh 15 hari. 

Sememangnya hamba agak teruja hendak memulakan pembacaan buku ini, bahkan semakin dibaca semakin bersemangat hendak ke mukasurat selanjutnya. Buku ini adalah kisah hidup seorang anak wayang yang penuh inspirasi. Arnold Schwarzenegger (AH) hanyalah seorang anak kampung yang hidup sederhana di sebuah kampung bernama Thal di Austria. Namun sejak kecil lagi dia telah berhasrat untuk pergi ke Amerika dan akhirnya berjaya melaksanakan impiannya melalui sukan bina badan. Mula membina otot sekitar usia 14 tahun, beliau menyertai pertandingan pertamanya Di Graz pada usia 16 tahun. Pada tahun 1967 beliau menjadi Mr. Universe dalam usia 20 tahun - Mr. Universe termuda dalam sejarah. Dan begitulah selanjutnya beliau terus menjadi juara beberapa kali.

Berada di Amerika sebagai seorang imigran membuatkan otak beliau lebih kreatif untuk mencari penghidupan. Beliau turut melakukan beberapa kerja lain seperti melakukan kerja-kerja renovasi dan lanskap rumah, menceburi bidang hartanah, menulis buku dan lain-lain lagi. AH bukanlah seorang yang terpelajar asalnya, namun beliau gigih berusaha untuk mempelajari dan memperbaiki bahasa Inggerisnya. Bukan sahaja menyertai kelas bahkan beliau turut mengupah seorang pakar bahasa untuk memperbaiki sebutan serta loghat Austrianya yang begitu pekat.

Salah satu cita-cita beliau adalah untuk menjadi seorang pelakon. lakonan pertama beliau dalam Hercules In New York tidak sempat ditayangkan apabila pengeluarnya bankrup sebaik sahaja filem itu siap. Hamba sempat menontonnya di You Tube dan boleh hamba katakan lakonan beliau adalah teruk dan produser cuma mahu menampilkan otot kekar beliau sahaja. Tetapi AH amat percaya bahawa dengan latihan yang berkali-kali akan membawa kesempurnaan. Dalam buku ini beliau turut menyiarkan satu gambar draf ucapannya di PBB di mana setiap kali beliau berlatih berucap beliau akan menulis satu garis di atas kertas ucapan tersebut di mana satu garis mewakili sekali latihan. Amat menakjubkan bahawa terdapat 55 garisan pada teks tersebut!! Ini bermakna beliau berlatih untuk berucap sebanyak 55 kali. Latihan ini asalnya adalah cara yang beliau gunakan dalam latihan bina badan di mana pada setiap set yang dilakukan satu garisan juga akan dibuat, tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kesempurnaan serta menaikkan semangat. Akhirnya impian beliau untuk menjadi pelakon aksi yang berjaya menjadi kenyataan lebih-lebih lagi melalui siri filem Terminator.

Berkahwin dengan Maria Shriver daripada keluarga Kennedy mendedahkan lagi persekitaran hidup beliau dengan politik dan kerja-kerja awam. Siapa sangka seorang imigran yang berasal dari sebuah kampung yang kecil akhirnya berjaya menjadi  Gabenor California, salah sebuah negeri termaju di Amerika. Mujurlah perlembagaan Amerika menetapkan bahawa hanya warganya yang lahir di bumi Amerika sahaja yang boleh menjadi presiden, kalau tidak tentunya AH akan menjadi salah seorang daripadanya.

AH bersikap jujur dalam buku ini apabila bercerita tentang hubungannya dengan seorang pembantu rumah mereka sehingga melahirkan anak yang juga membawa kepada keruntuhan rumahtangga beliau. Kejadian itu berlaku apabila Maria dan anak-anak mereka bercuti dan hanya mereka berdua sahaja yang berada di rumah. Inilah bahayanya yang hamba nampak apabila syaitan benar-benar menjadi orang ketiga. Namun AH ada menyatakan bahawa beliau hanya mahu kisah hidupnya menjadi inspirasi kepada orang ramai dan bukan beliau menjadi seorang contoh ikutan. Ya, mungkin usaha gigihnya wajar kita contohi manakala tabiat buruk beliau sekali-kali jangan kita ikuti.

Buku ini bersifat santai dan seronok dibaca. Ditulis dengan bersahaja seolah-olah sedang mendengar AH berbicara. Turut dipaparkan bbeerapa koleksi gambar AH yang bagi hamba lebih suka melihat gambar sewaktu permulaan kerjaya beliau. Buku ini hamba baca cuma untuk memperbaiki pengetahuan bahasa sahaja dan bukannya kerana hamba peminat beliau yang paling utama. Dan hamba rasa matlamat hamba itu telah tercapai dan buku ini menjadi pembakar semangat untuk membaca lebih bayak lagi buku dalam bahasa sedemikian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...