Rabu, 25 Februari 2015

ZAINUN PALACE, RANTAU PANJANG....CUKUPLAH SEKALI.....



Cuti raya cina baru-baru ini hamba bawa keluarga hamba ke Kelantan untuk bercuti. Lagipun dah lama mereka tak ke Kelantan. Biasanya hamba menggunakan laluan Gua Musang dan seterusnya menginap di KB. Kali ini hamba terasa nak ubah selera, lalu ikut Grik dan tidur di Rantau Panjang.

Siksa juga laluan yang hamba pilih. Laluan di lebuhraya sebenarnya baik, cuma bila kira-kira 5 ke 6 kilometer menghampiri Terowong Menora ia mula bergerak umpama labi-labi. Sebelum itu ada juga pergerakan perlahan akibat pemandu ghairah melihat kemalangan yang telahpun dialihkan ke tepi jalan. Tengok kemalangan tu boleh tahan lagi, ini orang bergerak perlahan disebabkan ada penunggang motor yang berehat di tepi jalan....alahai, orang berehat pun nak menjenguk juga. Di lebuhraya timur barat masih ada kemalangan yang berlaku, kali ini melibatkan beberapa buah kereta. Ada yang terdampar di tengah jalan dengan bahagian hadapan kenderaan yang hancur dan ada juga sedia ada di dalam longkang. Dah masuk ke Jeli, jem lagi. Tiada sebarang kemalangan cuma pengguna bergerak perlahan melewati Bukit Bunga melihat kedai-kedai di tepi jalan.....memang stress...

Akhirnya sampai juga hamba ke hotel hampir menjelang waktu Maghrib. Agak mengejut serta mengecewakan apabila hamba dimaklumkan bahawa nama hamba tiada dalam senarai pelanggan yang menempah. Sedangkan hamba telah membuat tempahan dua minggu lebih awal bahkan menempah dengan individu yang namanya digunakan pada hotel ini, senang cerita tuan punya hotellah. Tetapi petugas kaunter, yang mendakwa beliau anak kepada Puan Z ini memaklumkan bahawa petugas pada hari berkenaan tidak menulis nama hamba walaupun telah dimaklumkan oleh Puan Z tadi. Terasa panas juga hati hamba. Maklumlah setelah memandu lama (hamba memandu seorang tanpa ganti) hamba tentunya ingin segera merehatkan diri, tetapi lain pula jadinya. Mujurnya ada sebuah bilik yang masih kosong tetapi saiznya agak kecil berbanding yang hamba tempah. Keluarga hamba ada 7 orang tentunya hamba inginkan bilik yang besar untuk keselesan anak-anak. Terpaksalah hamba ambil juga bilik itu serta meminta tilam tambahan (tentunya dengan bayaran tambahan).

Lepas pulang dari makan malam air paip pula tidak keluar. Maka pergilah hamba semula ke kaunter untuk mencari bantuan. Petugas yang ada meminta hamba tunggu sekejap sebelum beliau datang ke bilik. Bila merasakan dah terlalu lama hamba 'tunggu sekejap' hamba turun semula ke kaunter dan masih diberikan jawapan yang sama. Mujurlah kali kedua ini tidak terlalu lama masa yang diambil. Akhirnya masalah aliran air selesai. Maka empat anak hamba tidurlah di atas katil dan hamba, isteri serta yang bongsu tidurlah di atas tilam yang umpama daging burger itu.

Pendaftaran hotel yang cekap adalah perkara paling asas serta terpenting sekali dalam pengurusan hotel. Bayangkan sekiranya dalam hari yang menjelang malam itu hamba terpaksa mencari hotel yang lain sedangkan semasa musim cuti sebegitu hotel di sana sentiasa sahaja penuh. Pihak hotel tentunya akan lepas tangan dan tidak akan mempedulikan masalah kita. Alangkan dalam hal hamba inipun pihak hotel tidak mahu ambil tanggungjawab dan hanya menayangkan wajah terkulat-kulat sahaja apabila hamba mempersoalkan ketiadaan nama hamba dalam daftar senarai tetamu. Hamba rasa cukuplah sekali ini sahaja hamba menginap di sini. Layanan yang hamba terima tidak begitu memuaskan hati. Mujurlah hamba dapat bersabar pada hari berkenaan dan tidak mengeluarkan kata-kata kemarahan.

Anda nak menginap di sana.....? Terpulang, hamba tak menghalang!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...