Thursday, April 2, 2015

PATAH SAYAP TERBANG JUA - Abdul Samad Ismail

Allahyarham Abdul Samad Ismail atau Pak Samad merupakan satu nama besar dalam dunia kewartawanan. Sesiapa yang pernah menjadi anak didiknya pasti akan merasai betapa 'beratnya' asuhan beliau. Namun asuhan itulah yang telah berjaya melahirkan beberapa nama besar kemudiannya. Justeru bagi hamba apabila beliau menulis tentang kehidupan sebilangan wartawan yang hidup dalam zaman Jepun, itu bukanlah satu yang sukar buat beliau memandangkan beliau hidup dalam dunia itu serta menempuhi zaman berkenaan.

Para wartawan memainkan peranan yang besar dalam menanamkan semangat ingin bebas daripada penjajahan serta merdeka pada zaman dahulu. Tulisan mereka amat tajam serta membakar perasaan. Akhbar Utusan Melayu contohnya mempunyai peranan yang besar di dalam membakar semangat orang Melayu untuk berjuang menuntut kemerdekaan. Pengaruh akhbar ini bahkan digeruni oleh penjajah yang merasakan tulisan para wartawannya boleh mempengaruhi pemikiran rakyat ibarat api yang cepat membakar dedaun kering. Justeru, para wartawan di dalam novel ini, walaupun menulis untuk sebuah akhbar yang dikuasai Jepun dalam diam merasakan sesuatu yang tidak kena dengan peranan mereka yang hanya melagukan propaganda Jepun. Bukannya mudah untuk menulis sesuatu berita apatah lagi setiap yang akan tersiar akan ditapis terlebih dahulu oleh pihak Jepun (Suyama dalam kes ini). 

Latar tempat novel ini adalah di Singapura. Dapat hamba fahami bahawa walaupun dalam era peperangan, keadaan di Singapura tidaklah seteruk tempat-tempat lain di Malaya. Novel ini tidak terlalu menceritakan tentang kekejaman Jepun di Singapura kecuali pada beberapa watak seperti Winslow yang pernah di tahan Jepun serta perbuatan Jepun yang memukul orang-orang cina dengan sarung pedang mereka di New World. Bahkan dapat dilihat bahawa orang ramai kadangkala bebas berjalan walaupun pada malam hari tanpa bimbang diganggu Jepun. Mereka juga boleh menonton wayang, berjalan di tepi pantai serta berhibur di New World.

Penulis juga kerap menggambarkan betapa ketika itu orang Melayu (walaupun mempunyai semangat nasionalis) tidak merasa bersalah untuk pergi ke kelab, minum minuman keras serta menari bersama perempuan kabaret. Bahkan ada juga watak yang dengan bangga menceritakan perbuatan berkenaan kepada rakan-rakan mereka yang lain. Untuk hidup juga ada wanita yang menjual tubuh, kakitangan pejabat yang mencuri barangan di pejabat untuk dijual kembali dan sebagainya. Adakah ini realiti ketika itu atau satu sindiran juga kepada segelintir manusia hari ini yang ada melakukan perbuatan sedemikian.

Buku ini sebenarnya tidaklah seringan novel-novel cinta pada hari ini. Walaupun tidak berapa tebal, hamba dapat merasai bahawa pembacaannya sedikit berat. Bahkan hamba mengambil masa hampir tiga minggu untuk menyudahkannya - satu tempoh yang bagi hamba begitu lama sehingga merugikan masa hamba untuk membaca novel yang lain.

Novel ini bolehlah dianggap sesuatu yang klasik serta menjadi pencerita yang baik khususnya tentang suasana sebenar di zaman penjajahan. Walaupun sekadar fiksyen, hamba percaya hanya mereka yang pernah melalui zaman itu sahaja mampu untuk bercerita mengenainya....


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...