Saturday, May 16, 2015

RAHSIA SIMBOL YAHUDI 2 - Ibnu Yaacob



Hamba mengambil buku ini kerana menyangkakan ia adalah sambungan kepada buku yang pernah hamba baca daripada penulis yang sama sebelum ini. Rupa-rupanya ia adalah edisi kemaskini sahaja dan bukannya penulisan yang baru. Justeru sepatutnya penulis dan penerbit mengekalkan saja tajuk dan gambar kulit yang lama dengan menambah perkataan edisi kemaskini. Tajuk di atas seolah-olah satu sambungan dengan isi kandungan baru yang berbeza dengan buku sebelumnya. Maaflah bagi hamba teknik sebegini adalah lebih kepada untuk melariskan barangan dagangan serta mengelirukan pembaca.

Secara ringkasnya Ibnu Yaacob cuba untuk membongkar beberapa simbol, isyarat tangan ataupun lambang yang dianggap mempunyai rahsia tersendiri yang hanya difahami oleh kelompok yang memperlihatkannya. Antara banyak yang diperlihatkan di dalam buku ini adalah isyarat tangan yang menurut Ibnu Yaacob adalah isyarat rahsia dari golongan yahudi khasnya puak freemason dan illuminati. Rupabentuk isyarat tangan ini dikatakan ada terkandung di dalam buku Richardson Monitor of Freemasonry yang menjadi rujukan puak itu sendiri. Lantas Ibnu Yaacob membawakan beberapa gambar sama ada ahli politik, pemuzik, pelakon serta beberapa individu yang dikatakan ada memperagakan isyarat berkenaan. Antara isyarat berkenaan termasuklah isyarat dua jari ke atas atau peace yang biasa kita lihat di mana-mana.

Namun hamba tidak menganggap kesemua individu dalam gambar berkenaan benar-benar sengaja mempamerkan atau memang mengetahui isyarat tangan yang disampaikan. Ini kerana terdapat gambar yang nampak seperti candid dan ada juga gambar yang mendapat sentuhan jurugambar professional yang mahukan pose yang menarik. Sebagai jurugambar, hamba sendiri apabila mahu mengambil gambar individu secara candid, akan menunggu waktu yang sesuai apabila individu berkenaan melakukan gaya atau berada dalam posisi yang menarik. Sementelahan lagi gambar-gambar yang dipetik oleh Ibnu Yaacob adalah gambar yang disiarkan di media yang pastinya editor akan memilih gambar yang paling menarik. Walau bagaimanapun hamba tidak menolak pandangan beliau berkemungkinan ada gambar yang memang mahu menyampaikan maksud yang tersendiri.

Ibnu Yaacob turut menamakan dua orang tokoh Muslim sebagai ahli freemason berpangkat tinggi iaitu Sheikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al Afghani. Hamba berharap agar beliau dapat memberikan penjelasan lengkap serta rujukan mana yang beliau pakai kerana menamakan kedua tokoh ini sebagai boneka yahudi boleh menjadi satu fitnah yang besar sekiranya beliau hanya mengambil keterangan pihak yang tidak berkredibiliti apatah lagi melalui dengar cakap sahaja. Tiada penghuraian diberikan di dalam buku ini yang mana ia boleh menjadikan umat Islam lebih keliru. Walaupun perkara ini banyak berlegar melalui blog-blog namun bagi hamba blog bukanlah satu hujjah atau pegangan yang kuat. Contohnya jikalau kita merujuk kepada wikipedia tentang Abduh, lebih buruk lagi apabila beliau dikaitkan dengan ajaran bahai!! 

Begitu juga apabila Ibnu Yaacob menghuraikan mengenai simbol nazi atau apa yang kita kenali dengan nama swastika. Penerangan Ibnu Yaacob terhadap lambang ini tidak lengkap apabila lebih mengehadkan ia daripada golongan nazi - gabungan perkataan N dan Z atau juga daripada lambang petir pada ShutzStaffel. Beliau perlu sedar bahawa lambang berkenaan terdapat juga dalam agama lain seperti hindu dan buddha serta telah wujud sejak ribuan tahun lagi. 

Walaupun Ibnu Yaacob menganggap buku beliau ini sebagai pembuka jalan kepada orang lain untuk mengkaji dengan lebih mendalam lagi hamba lebih suka agar penulisan beliau dilakukan dengan lebih mendalam. Ini disebabkan bukan semua pembaca beliau akan melakukan kajian dengan lebih terperinci lagi. Justeru andaikata terdapat fakta yang mengelirukan, golongan yang tidak mengkaji ini akan terus menerima secara bulat-bulat sahaja dan sekiranya ini berlaku kecelaruan minda ummah akan bertambah parah.

Thursday, May 14, 2015

NUSAJAYA



Gambar yang hamba ambil tahun lepas ini hamba tunjukkan kepada sahabat hamba mr. Khalid dan beliau minta izin untuk mengeditnya sehingga jadilah seperti tona warna di atas.

#nusajaya

Wednesday, May 13, 2015

BELAKANG RUMAH STUDIO MAIN DI MAJLIS APC

Ayah hamba mengajar hamba cara menggunakan kamera sejak kecil lagi. Umur 11 tahun hamba ambil gambar rombongan sekolah ke Cameron Highland menggunakan kamera kompak dan jual kepada rakan dan guru. Itulah sekali hamba jual gambar dalam jumlah yang besar. Hamba mula menggunakan DSLR digital kalau tak silap dalam tahun 2006. Belajar secara kendiri dengan para sahabat terutamanya geng-geng Fotopages serta hadiri satu-dua kursus. Tapi hamba tak pernah ambil mana-mana job berbayar. Hamba cuma pernah ikut sahabat yang mengambil upah fotografi sambil hamba ikut menyibuk ambil sama. Gambar yang hamba ambil ada yang hamba berikan kepada jurugambar berkenaan. Ada juga yang bertanya - nak saya bayar ke - hmm hamba tak tau nak jawab. Soalan itu berat - cuma hamba rasa kalau dia nak beri, beri sahajalah tanpa perlu bertanya dan hamba akan terima dengan senang hati. Tapi bila soalan begitu keluar lebih baik hamba geleng kepala sahaja.

Hamba sendiri tidak tahu entah kenapa tahun ini tiba-tiba datang fikrah hamba untuk melakukan kerja ini secara berbayar. Hamba cuba dapatkan bantuan rakan sepejabat dan Alhamdulillah responnya juga positif. Maka pada tanggal 12 Mei yang lalu kamipun cuba membuka sebuah studio pacak di Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Universiti Multimedia. Sambutan yang agak baik sampai sakit pinggang hamba mengambil gambar. Kata sahabat hamba mr. Khalid, nanti keuntungan yang ada kita belanja sahabat yang datang menolong dan memberi sokongan. Terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu - ada yang tolong tulis resit, layan pelanggan serta bantu pelanggan bergaya depan kamera walaupun tidak diminta. Terima kasih juga buat kakitangan JKNS yang percaya dengan kami untuk mengambil gambar anda.

Belakang Rumah Studio tidak akan mengambil job perkahwinan. Tetapi kalau anda mahu lakukan penggambaran studio di rumah - kami sedia datang!!

Untuk pertanyaan sila hubungi saudara Khalid Rusli di talian 017 3452374











Saturday, May 9, 2015

LAMAN SENI 7

Hari ini sudah terdapat beberapa tempat yang dinamakan sebagai muzium 3D, menawarkan gambar-gambar menarik dalam bentuk 3D membolehkan pengunjung untuk merasai pengalaman seolah-olah menjadi sebahagian daripada gambar tersebut. Tetapi perlu dimaklumi bahawa rata-rata harga tiket yang dikenakan adalah mahal. Paling murah mungkin dalam lingkungan RM10 dan ada yang mengenakan sehingga RM30 sekepala. RM10 mungkin boleh dikatakan murah, tetapi bagaimana pula yang datang sekeluarga. Lagipun sekiranya anda pergi sendirian ke tempat sebegini tiada pula orang yang akan mengambilkan gambar anda. Jika menggunakan tripod mungkin sudut yang sesuai tidak akan dapat diperolehi.

Jadi sekiranya anda ingin merasainya secara percuma, anda boleh sahaja ke Laman Seni 7 Shah Alam yang terletak di lorong belakang kedai Seksyen 7. Agak kreatif juga untuk menjadikan lorong-lorong di belakang kedai ini sebagai tempat melahirkan karya seni. Jika tidak lorong belakang ini akan menjadi sepi, ditakuti serta berbau busuk sama ada dengan sampah ataupun najis manusia. 

Memandangkan semua lukisan ini berada di tempat yang terbuka maka ia mungkin akan cepat rosak. Seharusnya lukisan-lukisan ini sentiasa di ganti setiap suku tahun atau dua kali setahun. Selain memastikan bahan pameran yang sentiasa segar ia juga akan membuatkan pengunjung akan datang sekali lagi apabila mengetahui akan terdapat karya seni yang baru. Jika tidak nanti satu hari nanti ia akan menjadi lorong belakang yang sama sahaja seperti lorong-lorong busuk yang lain.
























Friday, May 8, 2015

LAT THE EARLY SERIES - Lat


Apabila buku ini mula menjengah pasaran sekitar tahun 2009 dahulu, hamba cuba mencarinya di kedai-kedai buku yang biasa dikunjungi, namun tidak pernah hamba ketemu. Pernah juga hamba layari websiti penerbitnya jikalau mereka ada menjual secara online tetapi tidak juga. Jadi hamba andaikan bahawa buku berkenaan telah tidak lagi dijual dan telah habis di pasaran. Harapan hamba akan ada yang menjualnya secara buku terpakai nanti.

Secara kebetulan hamba terjumpa buku ini di gerai NSTP sewaktu pesta buku KL beberapa minggu lalu. Setiap kali ke pesta buku berkenaan hamba tidak pernah bertemu dengan gerai NSTP. Rupanya gerai mereka ini bolehlah hamba katakan terletak di kawasan belakang (di pintu masuk berhampiran sebuah hotel) dan sememangnya tidak pernah hamba lalui. Mungkin kerana rezeki Allah maka terdetik hati untuk melalui kawasan berkenaan.

Melaihat harga buku berkenaan sebanyak RM127.20 membuatkan hamba terpaksa berfikir seketika memandangkan wang yang di bawa pada hari berkenaan tidak berapa banyak dan hamba pula masih lagi belum mengitari banyak lagi gerai-gerai pameran. Maka hamba beredar dahulu dari gerai NSTP sambil berjanji kepada penjual sekiranya ada lebihan duit hamba nanti, akan hamba datang semula ke gerai berkenaan. Tetapi hati hamba memang berat ke arah hendak membelinya. Walaupun hamba hanya peminat kecil kartunis ini tetapi hamba rasa hamba perlu memiliki naskhah ini. Di rumah hamba ada dua buah skrap book yang dipenuhi kartun beliau yang dahulunya tersiar setiap Isnin di NST. Kadangkala hamba beli NST hanya untuk menatap kartunnya sahaja tanpa menghiraukan lain-lain berita!


Dipendekkan cerita akhirnya hamba membeli juga buku berkenaan. Agak malang kerana buku ini tidak menawarkan sebarang potongan harga. Sudahlah tiada diskaun, dikenakan caj GST pula. Hamba tidak menyedarinya sehinggalah beberapa hari kemudian. Hairan juga batu jemala hamba kerana setahu hamba buku tidak dikenakan GST, bahkan kesemua gerai yang ada hamba beli buku mereka pada hari berkenaan lansung tidak mengenakan GST. Pada resit yang dicetak juga ada logo 'z' yang bermaksud tiada pengenaan cukai tersebut. Jadi adakah hamba tertipu atau hamba yang masih tidak faham-faham. Ada hamba buat aduan melalui web kastam tetapi tiada maklumbalas sehingga saat ini.



Buku ini banyak memaparkan antara karya-karya awal Dato' Lat bersama NSTP yang mana ada yang pernah hamba baca ketika kecil dahulu. Turut dipaparkan adalah beberapa surat daripada peminat, sama ada yang memberikan cadangan, pujian ataupun kritikan. Terdapat juga beberapa gambar ekslusif beliau dan yang paling mahal tentunya bersama dengan motosikal AJS yang dibelinya dengan harga RM40.00!! Sayangnya gambar-gambar berkenaan tidak banyak sedangkan ekspektasi awal hamba buku ini adalah biografi beliau yang banyak memaparkan gambar serta cerita berkaitan riwayat hidupnya.

Buku ini adalah satu khazanah yang berharga khususnya buat peminat Dato' Lat. Sementelahan tidak banyak kartunis negara kita yang berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa. Karya Dato' Lat kaya dengan perihal kehidupan rakyat Malaysia. Kehidupan beliau di kampung adalah refleks masyarakat kita. Gaya lukisannya adalah asli, cara beliau sendiri tanpa terikut-ikut dengan cara luar. Gaya lukisan yang banyak memaparkan pakaian ala tahun 60an beliau amat istimewa walaupun lukisan menggambarkan masyarakat pada hari ini. Kampung Boy ini telah menjadi begitu ekslusif dan berada di tempatnya yang tersendiri.

Buku ini sebenarnya mahal pada pandangan hamba, apatah lagi ia hanya mengulangi karya-karya yang pernah tersiar dan bukannya karya baharu. Kita akui bahawa nama Dato Lat adalah besar, tetapi tidak bermakna karya beliau harus dijual terlalu tinggi sehinggga tidak semua golongan mampu memilikinya. Sekarang ini khabarnya lukisan beliau di akhbar NST pada setiap Isnin juga telah tiada. Khabarnya beliau mahu berehat dan akan hanya menghantar karya sekali sekala sahaja. 



Hamba harap pihak kastam dapat komen pertanyaan hamba di atas!!

Thursday, May 7, 2015

BELAKANG RUMAH STUDIO

Sempena dengan satu majlis yang akan dianjurkan oleh jabatan pada minggu hadapan, hamba dan sahabat En. Khalid Rusli telah merancang untuk mengadakan satu 'studio pacak' di lokasi majlis tersebut. Projek yang kami namakan 'Belakang Rumah Studio' ini akan menyediakan khidmat fotografi dengan harga yang berpatutan. Kalau orang bertanya kenapa harga kami murah sangat jawapan hamba mudah sahaja, kami berdua bukannya jurugambar professional yang ada kelulusan khas dalam bidang berkenaan. Bakat kami diasah secara kendiri sahaja, justeru adalah tidak wajar kami mengenakan bayaran yang terlalu tinggi.

Jadi sempena pengenalan projek ini anak-anak buah hamba di opis telah 'didera' untuk menjadi model bagi menjayakan satu sesi fotografi ringkas. Insya Allah jika projek ini berjaya, Belakang Rumah Studio akan menyediakan perkhidmatan photoshoot di rumah pelanggan pula.













Tuesday, May 5, 2015

69 JAM DI NERAKA ZIONIS - Noorazman Mohd Samsuddin


Peristiwa pengepungan ke atas kapal Mavi Marmara masih lagi segar dalam ingatan hamba, apatah lagi ia baru sahaja berlaku pada beberapa tahun yang lalu. Kapal yang membawa sukarelawan serta barang bantuan untuk rakyat Palestin tersebut telah diserang oleh komando israel seolah-olah mereka yang berada di dalamnya adalah sekumpulan tentera elit juga serta membawa bahan senjata api. Buku ini bukan sekadar sebuah kisah pengalaman tetapi ia adalah tentang keberanian sukarelawan misi ini yang bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk kematian, bahkan mereka menganggap kehidupan hanya dianggap sebagai satu 'bonus' sahaja selepas selesainya misi ini.

Misi penghantaran bantuan ke Palestin menggunakan jalan laut ini adalah julung kali diadakan berbanding sebelumnya yang hanya menggunakan jalan darat. Ia disertai oleh beberapa buah NGO antarabangsa yang para pesertanya bukan sahaja terdiri daripada orang Islam tetapi termasuk bukan Islam yang cintakan keamanan serta benci kepada keganasan. Bantuan secara flotila (konvoi kapal) ini rupanya menggerunkan pihak israel yang telahpun memberikan ancaman sebelum misi ini bermula lagi. Namun para sukarelawan ini tidak sedikitpun gentar bahkan semakin membuak semangat mereka untuk berkati kepada rakyat Palestin.

Pihak israel ternyata tidak gentleman di dalam serangannya. Mereka menggunakan pasukan komando untuk berhadapan dengan sekumpulan manusia biasa yang bukannya mendapat latihan ketenteraan, menyerang sewaktu umat Islam sedang menunaikan ibadat Subuh mereka, menyerang dengan tujuan untuk membunuh, menembak dengan peluru hidup ke atas mereka yang tidak bersenjata. Lebih memilukan lagi apabila mereka menggunakan sejenis peluru yang apabila telah terbenam di tubuh mangsa, boleh meletup dan menyerakkan besi besinya di dalam tubuh mereka sehingga mendatangkan kecederaan yang lebih mudarat.

Walaupun tiada asas ketenteraan apatah lagi senjata, para sukarelawan ini amat bersemangat untuk mempertahankan kapal mereka. Arahan kepada mereka bukan untuk membunuh, hanya mencampakkan tentera ini kembali ke laut. Mereka menggunakan peralatan yang ada di sekitar mereka sahaja dalam usaha mempertahankan diri ini termasuklah bawang dan kentang! Ketika serangan ini juga penulis teringat tentang usaha memboikot barangan israel. Beliau nampak peluru yang bersimpang siur itu adalah hasil pembelian produk israel oleh orang Malaysia terutamanya melalui restoran-restoran makanan segera. Baginya orang Malaysia tidak akan mati jikalau tidak memakan makanan berkenaan, tetapi mereka yang di atas kapal itu boleh mati akibat makanan yang dibeli oleh rakyat Malaysia!! 

Kisah dan gambar yang ada di dalam buku ini adalah pengalaman yang amat berharga. Dan ini mungkin kali pertama rakyat negara ini berhadapan secara lansung dengan tentera israel. Cuma hamba merasakan penceritaan tidak dibuat secara terperinci. Bahagian terpenting buku ini tentunya adalah peristiwa semasa serangan tersebut. Apa yang hamba lihat penulis banyak menyampaikan kembali pengalaman sukarelawan lain, sedangkan yang patut banyak dipaparkan adalah pengalaman beliau sendiri serta 11 orang lagi rakyat Malaysia yang bersamanya. Apa perasaan beliau, bagaimana beliau menghadapi semua kesulitan ketika itu, rasa hati, emosi, kejadian yang berlaku mengikut urutan dan sebagainya. Pengalaman yang beliau ceritakan itu terlalu ringkas bagi hamba dan hamba percaya dalam tempoh 69 jam terlalu banyak yang boleh diceritakan - keadaan penjara, layanan terhadap tawanan, soal jawab secara detail dan sebagainya. Mungkin penulis boleh merujuk karya rakyat Malaysia yang pernah menjadi tahanan termasuk tahanan politik - Buku Dua Wajah : Tahanan Tanpa Bicara oleh Syed Husin Ali misalnya. 

Hamba angkat tabik pada sukarelawan yang terkorban syahid yang hamba lihat kebanyakan mereka merupakan rakyat Turki. Hamba tidak hairan bangsa ini memang berani sejak dahulu lagi. Bangsa mereka yang membuka Kostantinopel dan bangsa mereka yang mewarisi khilafah. Juga pada tahanan yang mendapat kecederaan yang teruk tetapi masih bersemangat waja. Amat zalim apabila tentera israel serta paramedik mereka menjalankan pembedahan terbuka untuk mengeluarkan peluru tanpa menggunakan bius.

Hamba menyeru agar penulis membuat semakan semula terhadap buku yang berharga ini dan membuat penambahbaikan serta kemaskini. Hamba percaya banyak lagi yang tidak dicatatkan. Penceritaan yang teratur disulami dengan sedikit emosi aklan membangkitkan lagi semangat pembaca seterusnya sama-sama menyahut seruan untuk berkhidmat buat agama dan bangsa.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...