Tuesday, May 5, 2015

69 JAM DI NERAKA ZIONIS - Noorazman Mohd Samsuddin


Peristiwa pengepungan ke atas kapal Mavi Marmara masih lagi segar dalam ingatan hamba, apatah lagi ia baru sahaja berlaku pada beberapa tahun yang lalu. Kapal yang membawa sukarelawan serta barang bantuan untuk rakyat Palestin tersebut telah diserang oleh komando israel seolah-olah mereka yang berada di dalamnya adalah sekumpulan tentera elit juga serta membawa bahan senjata api. Buku ini bukan sekadar sebuah kisah pengalaman tetapi ia adalah tentang keberanian sukarelawan misi ini yang bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk kematian, bahkan mereka menganggap kehidupan hanya dianggap sebagai satu 'bonus' sahaja selepas selesainya misi ini.

Misi penghantaran bantuan ke Palestin menggunakan jalan laut ini adalah julung kali diadakan berbanding sebelumnya yang hanya menggunakan jalan darat. Ia disertai oleh beberapa buah NGO antarabangsa yang para pesertanya bukan sahaja terdiri daripada orang Islam tetapi termasuk bukan Islam yang cintakan keamanan serta benci kepada keganasan. Bantuan secara flotila (konvoi kapal) ini rupanya menggerunkan pihak israel yang telahpun memberikan ancaman sebelum misi ini bermula lagi. Namun para sukarelawan ini tidak sedikitpun gentar bahkan semakin membuak semangat mereka untuk berkati kepada rakyat Palestin.

Pihak israel ternyata tidak gentleman di dalam serangannya. Mereka menggunakan pasukan komando untuk berhadapan dengan sekumpulan manusia biasa yang bukannya mendapat latihan ketenteraan, menyerang sewaktu umat Islam sedang menunaikan ibadat Subuh mereka, menyerang dengan tujuan untuk membunuh, menembak dengan peluru hidup ke atas mereka yang tidak bersenjata. Lebih memilukan lagi apabila mereka menggunakan sejenis peluru yang apabila telah terbenam di tubuh mangsa, boleh meletup dan menyerakkan besi besinya di dalam tubuh mereka sehingga mendatangkan kecederaan yang lebih mudarat.

Walaupun tiada asas ketenteraan apatah lagi senjata, para sukarelawan ini amat bersemangat untuk mempertahankan kapal mereka. Arahan kepada mereka bukan untuk membunuh, hanya mencampakkan tentera ini kembali ke laut. Mereka menggunakan peralatan yang ada di sekitar mereka sahaja dalam usaha mempertahankan diri ini termasuklah bawang dan kentang! Ketika serangan ini juga penulis teringat tentang usaha memboikot barangan israel. Beliau nampak peluru yang bersimpang siur itu adalah hasil pembelian produk israel oleh orang Malaysia terutamanya melalui restoran-restoran makanan segera. Baginya orang Malaysia tidak akan mati jikalau tidak memakan makanan berkenaan, tetapi mereka yang di atas kapal itu boleh mati akibat makanan yang dibeli oleh rakyat Malaysia!! 

Kisah dan gambar yang ada di dalam buku ini adalah pengalaman yang amat berharga. Dan ini mungkin kali pertama rakyat negara ini berhadapan secara lansung dengan tentera israel. Cuma hamba merasakan penceritaan tidak dibuat secara terperinci. Bahagian terpenting buku ini tentunya adalah peristiwa semasa serangan tersebut. Apa yang hamba lihat penulis banyak menyampaikan kembali pengalaman sukarelawan lain, sedangkan yang patut banyak dipaparkan adalah pengalaman beliau sendiri serta 11 orang lagi rakyat Malaysia yang bersamanya. Apa perasaan beliau, bagaimana beliau menghadapi semua kesulitan ketika itu, rasa hati, emosi, kejadian yang berlaku mengikut urutan dan sebagainya. Pengalaman yang beliau ceritakan itu terlalu ringkas bagi hamba dan hamba percaya dalam tempoh 69 jam terlalu banyak yang boleh diceritakan - keadaan penjara, layanan terhadap tawanan, soal jawab secara detail dan sebagainya. Mungkin penulis boleh merujuk karya rakyat Malaysia yang pernah menjadi tahanan termasuk tahanan politik - Buku Dua Wajah : Tahanan Tanpa Bicara oleh Syed Husin Ali misalnya. 

Hamba angkat tabik pada sukarelawan yang terkorban syahid yang hamba lihat kebanyakan mereka merupakan rakyat Turki. Hamba tidak hairan bangsa ini memang berani sejak dahulu lagi. Bangsa mereka yang membuka Kostantinopel dan bangsa mereka yang mewarisi khilafah. Juga pada tahanan yang mendapat kecederaan yang teruk tetapi masih bersemangat waja. Amat zalim apabila tentera israel serta paramedik mereka menjalankan pembedahan terbuka untuk mengeluarkan peluru tanpa menggunakan bius.

Hamba menyeru agar penulis membuat semakan semula terhadap buku yang berharga ini dan membuat penambahbaikan serta kemaskini. Hamba percaya banyak lagi yang tidak dicatatkan. Penceritaan yang teratur disulami dengan sedikit emosi aklan membangkitkan lagi semangat pembaca seterusnya sama-sama menyahut seruan untuk berkhidmat buat agama dan bangsa.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...