Jumaat, 8 Mei 2015

LAT THE EARLY SERIES - Lat


Apabila buku ini mula menjengah pasaran sekitar tahun 2009 dahulu, hamba cuba mencarinya di kedai-kedai buku yang biasa dikunjungi, namun tidak pernah hamba ketemu. Pernah juga hamba layari websiti penerbitnya jikalau mereka ada menjual secara online tetapi tidak juga. Jadi hamba andaikan bahawa buku berkenaan telah tidak lagi dijual dan telah habis di pasaran. Harapan hamba akan ada yang menjualnya secara buku terpakai nanti.

Secara kebetulan hamba terjumpa buku ini di gerai NSTP sewaktu pesta buku KL beberapa minggu lalu. Setiap kali ke pesta buku berkenaan hamba tidak pernah bertemu dengan gerai NSTP. Rupanya gerai mereka ini bolehlah hamba katakan terletak di kawasan belakang (di pintu masuk berhampiran sebuah hotel) dan sememangnya tidak pernah hamba lalui. Mungkin kerana rezeki Allah maka terdetik hati untuk melalui kawasan berkenaan.

Melaihat harga buku berkenaan sebanyak RM127.20 membuatkan hamba terpaksa berfikir seketika memandangkan wang yang di bawa pada hari berkenaan tidak berapa banyak dan hamba pula masih lagi belum mengitari banyak lagi gerai-gerai pameran. Maka hamba beredar dahulu dari gerai NSTP sambil berjanji kepada penjual sekiranya ada lebihan duit hamba nanti, akan hamba datang semula ke gerai berkenaan. Tetapi hati hamba memang berat ke arah hendak membelinya. Walaupun hamba hanya peminat kecil kartunis ini tetapi hamba rasa hamba perlu memiliki naskhah ini. Di rumah hamba ada dua buah skrap book yang dipenuhi kartun beliau yang dahulunya tersiar setiap Isnin di NST. Kadangkala hamba beli NST hanya untuk menatap kartunnya sahaja tanpa menghiraukan lain-lain berita!


Dipendekkan cerita akhirnya hamba membeli juga buku berkenaan. Agak malang kerana buku ini tidak menawarkan sebarang potongan harga. Sudahlah tiada diskaun, dikenakan caj GST pula. Hamba tidak menyedarinya sehinggalah beberapa hari kemudian. Hairan juga batu jemala hamba kerana setahu hamba buku tidak dikenakan GST, bahkan kesemua gerai yang ada hamba beli buku mereka pada hari berkenaan lansung tidak mengenakan GST. Pada resit yang dicetak juga ada logo 'z' yang bermaksud tiada pengenaan cukai tersebut. Jadi adakah hamba tertipu atau hamba yang masih tidak faham-faham. Ada hamba buat aduan melalui web kastam tetapi tiada maklumbalas sehingga saat ini.



Buku ini banyak memaparkan antara karya-karya awal Dato' Lat bersama NSTP yang mana ada yang pernah hamba baca ketika kecil dahulu. Turut dipaparkan adalah beberapa surat daripada peminat, sama ada yang memberikan cadangan, pujian ataupun kritikan. Terdapat juga beberapa gambar ekslusif beliau dan yang paling mahal tentunya bersama dengan motosikal AJS yang dibelinya dengan harga RM40.00!! Sayangnya gambar-gambar berkenaan tidak banyak sedangkan ekspektasi awal hamba buku ini adalah biografi beliau yang banyak memaparkan gambar serta cerita berkaitan riwayat hidupnya.

Buku ini adalah satu khazanah yang berharga khususnya buat peminat Dato' Lat. Sementelahan tidak banyak kartunis negara kita yang berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa. Karya Dato' Lat kaya dengan perihal kehidupan rakyat Malaysia. Kehidupan beliau di kampung adalah refleks masyarakat kita. Gaya lukisannya adalah asli, cara beliau sendiri tanpa terikut-ikut dengan cara luar. Gaya lukisan yang banyak memaparkan pakaian ala tahun 60an beliau amat istimewa walaupun lukisan menggambarkan masyarakat pada hari ini. Kampung Boy ini telah menjadi begitu ekslusif dan berada di tempatnya yang tersendiri.

Buku ini sebenarnya mahal pada pandangan hamba, apatah lagi ia hanya mengulangi karya-karya yang pernah tersiar dan bukannya karya baharu. Kita akui bahawa nama Dato Lat adalah besar, tetapi tidak bermakna karya beliau harus dijual terlalu tinggi sehinggga tidak semua golongan mampu memilikinya. Sekarang ini khabarnya lukisan beliau di akhbar NST pada setiap Isnin juga telah tiada. Khabarnya beliau mahu berehat dan akan hanya menghantar karya sekali sekala sahaja. 



Hamba harap pihak kastam dapat komen pertanyaan hamba di atas!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...