Isnin, 4 Mei 2015

PUJA - Maria Kajiwa



Ini bukannya novel pertama penulis ini, tetapi inilah kali pertama hamba membaca tulisan beliau. Secara kebetulan novel ini dijual dalam satu set yang mengandungi tiga buah buku di mana dua buah lagi hamba berikan kepada anak hamba dan yang ini hamba ambil untuk bacaan sendiri. Itupun setelah beberapa bulan terbiar baru hamba mengambilnya untuk dibaca.

Cover buku ini datang bersama sebuah cap yang tertulis 'gerenti best!' Buat hamba sendiri, kata-kata indah di hadapan novel belum tentu membayangkan akan isi kandungannya, lebih-lebih lagi seperti yang dinyatakan tadi hamba tidak pernah lagi membaca karya penulis ini. Namun menguliti dari muka ke muka, pembacaan hamba lancar dan hamba akhirnya boleh bersetuju dengan kata-kata jaminan di muka novel tersebut. 
Buku dimulakan dengan kisah penghijrahan sekumpulan manusia dari Pagar Ruyung. Namun ayat pemulanya telah membuatkan hamba tersenyum di hati, "Kat sini ke Abang Waki"....Hamba rasa perkataan 'kat' kependekan daripada dekat ini hanya orang di zaman kita sahaja yang menggunakannya. Orang yang hidup 400 tahun lalu, apatah lagi bukan berasal dari Tanah Melayu mungkin tidak menggunakannya. Sewajarnya apabila penulis mengkisahkan tentang kumpulan manusia dari Pagar Ruyung yang membuka Kampung Silak Tua ini, sedikit sebanyak dialek mereka iaitu dialek Minangkabau perlu digunakan untuk menambahkan lagi zouk cerita.

Dikatakan penghijrahan mereka ini adalah kerana pergolakan yang berlaku di istana Mahkota Alam  antara pengikut Hamzah Fansuri dan Nuruddin Ar Raniri. Hamba tidak tahu apa kena mengena antara pergolakan yang berlaku di Acheh dengan orang di Pagar Ruyung ini sedangkan orang Pagar Ruyung ada pemerintah dan kerajaan mereka yang tersendiri. Apakah besar benar peranan mereka di dalam pergolakan tersebut sehingga terpaksa belayar menyeberangi lautan untuk melarikan diri tidaklah pula dikisahkan oleh penulis.

Usaha membuka penempatan baru terganggu oleh satu peristiwa aneh. Waki pemimpin kumpulan ini akhirnya terpaksa memeterai satu perjanjian dengan puaka tempat tersebut di mana pada setiap perlantikan ketua kampung yang baru, tiga nyawa ditagih. Adat ini berterusan ratusan tahun lamanya sehinggalah ke zaman moden. Walaupun jawatan ketua kampung boleh digilirkan melalui keluarga pengasas kampung Silak, namun  pemegang adatnya hanyalah waris daripada Waki. Hanya mereka sahajalah yang mengetahui tentang kehendak puaka tersebut. Keghairahan mendapatkan harta yang banyak melalui pewarisan jawatan ketua kampung menyebabkan keluarga yang lain tidak sedar bahawa mereka turut terlibat dalam kerja-kerja syirik. Hanya leluhur Alang Budiman sahaja yang tidak mahukan jawatan tersebut lantaran telah mengetahui rahsia busuk Waki. Justeru, keturunan tersebut sejak zaman berzaman berusaha untuk mengakhiri kerja-kerja syirik tersebut.

Maria Kajiwa memusatkan penceritaan pada masa ini iaitu usaha oleh waris Alang Budiman yang masih ada hari ini untuk menamatkan segala warisan puaka berkenaan. Menggunakan watak Azim aka Jimmy, seorang gangster yang secara tiba-tiba pulang ke kampung setelah mengetahui akan kematian ayahnya amat menarik sekali. Jimmy yang telah 15 tahun tidak pulang hanya berhasrat untuk berada di kampung Silak tua beberapa hari sahaja tetapi akhirnya berada di sana untuk beberapa ketika dan bersama-sama berpadu tenaga membanteras gejala syirik berkenaan. Ia juga menjadi titik tolak untuk beliau insaf serta meninggalkan kerjaya lamanya.

Maria amat bijak untuk memainkan perasaan pembaca sewaktu Azzim berada bersama keluarganya. Perasaan bersalah kerana lama meninggalkan keluarga, melihat keluarga dalam kedaan dhaif - rumah yang usang, baju sekolah adik yang tidak berganti, adik lelaki yang terpaksa mengorbankan zaman remaja untuk bekerja setelah kematian ayah, perasaan tersebut dapat dirasakan bersama oleh pembaca. Maria juga tidak terburu-buru untuk menamatkan cerita. Jalan penceritaan dijalin dengan baik agar semua persoalan yang bersarang diminda pembaca dapat dijawab satu persatu dengan baik. Amatlah mencabar untuk menulis sebuah kisah yang hanya berjalan dalam beberapa hari sahaja tetapi dengan penuh ketelitian dan penyelesaian yang masuk akal.

Dalam novel ini ayah Azim telah dibunuh yang mana akhirnya diketahui bahawa beliau dibunuh oleh Tang, rakan dalam kumpulannya sendiri. Hamba menjangkakan akan ada adegan pergaduhan kemuncak antara kedua lelaki ini memandangkan keduanya mempunya kemahiran muay thai. Sayangnya itu tidak berlaku apabila Tang mati dalam kejadian runtuhan bangunan Batu Silak. Sewajarnya itu antara adegan yang boleh menjadi kemuncak novel ini. 

Manjoy yang menjadi teman rapat Jimmy dikatakan sebenarnya seorang pembelot dan double cross beliau secara diam-diam. Manjoy dikatakan bergabung bersama Tang ingin menerajui kumpulan. Bagaimanapun Manjoy sama seperti Tang mati di dalam bangunan tersebut. Cuma sesuatu yang hamba musykil, sekiranya beliau seorang pembelot, Maria tidak perlu menampilkan adegan Manjoy gelabah apabila melihat barangan rompakan tiada di tempat yang sepatutnya, sedangkan barangan tersebut Manjoy yang menyembunyikannya. Lagipun bukan ada orang lain yang melihat. Hamba yakin anda sendiripun apabila telah meletakkan sesuatu barangan di sebuah tempat, tidak akan pergi ke tempat lain dan buat muka terkejut di sana seolah barang tersebut telah hilang, walaupun ketika itu anda hanya bersendirian tanpa dilihat orang lain..

Walau apapun komen di atas, novel ini masih menarik untuk dibaca dan hamba percaya Maria boleh mengisi kekosongan jiwa pembaca peminat genre sebegini. Nampaknya lepas ini tiada keraguan untuk hamba membeli tulisan Maria!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...