Wednesday, June 3, 2015

HIKAYAT RAJA BABI - Usup Abdul Kadir



Hamba percaya sebelum naskhah ini diterbitkan tidak ada sesiapa yang mengetahui akan adanya hikayat seperti ini di dalam dunia sastera orang Melayun dulu-dulu. Bahkan membaca tajuknya saja mungkin membuatkan kita tertanya-tanya mengapa sedemikian rupa tajuk yang dipilih, sudah tidak ada lagikah tajuk yang lebih sesuai.

Walau apapun kita wajar mengucapkan terima kasih kepada produksi FIXI kerana bersusah payah untuk menerbitkan buku ini. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk memindah alih naskhah dalam bentul asal manuskrip bertulisan Jawi lama serta berlenggok bahasa Melayu kurun ke-18. Saudara Arsyad Mokhtar bukan sahaja berjasa menulis semula buku ini ke tulisan rumi bahkan telah berusaha memberikan makna kepada sekian banyak perkataan lama yang hampir keseluruhannya tidak lagi digunakan oleh masyarakat moden hari ini. Pihak FIXI juga selain mencetak dan menjual buku ini turut bermurah hati memberikan naskhah percuma dalam bentuk e-book yang boleh dimuat turun di beberapa laman seperti Play Store. FIXI juga tidak memegang hakcipta karya ini dan membenarkan ia disalin, cetak, jual atau diperlakukan dengan apacara jua.

 Dikatakan ditulis oleh Usup Abdul Kadir seorang pedagang dari Semarang yang berketurunan India Muslim. Hamba boleh simpulkan bahawa bahasa yang digunakan nampak ketulenan bahasa Melayunya - tidak nampak Indonesia. Sekiranya benar Usup melulis sendiri hikayat ini, nampak bahawa beliau seorang yang berpelajaran kerana pada masa itu tidak ramai yang mampu menulis atau membaca. Kadang-kadang bosan juga membaca tulisan beliau apabila ditulis meleret-leret. Bayangkanlah kesemua nama anak raja, jin dan sebagainya hendak disebut satu persatu, asal usulnya, cara berlawannya dengan musuh juga yang kadangkala nampak lebih kurang sahaja cara berlawannya cuma mungkin senjatanya sahaja yang berbeza. Kalau kena pada geng baik, ditetak dan pecah perisai dan memecahkan baju zirah yang tujuh lapis tebalnya, kena senjata pada badan tak lut pula tu, bahkan keluar pula api memancar-mancar. Kalau berlaku benda yang sama pada geng jahat, semuanya habis putus pinggang atau anggota badannya.

Hikayat ini penuh dengan keajaiban yang 'melampau'. Justeru apabila membacanya pemikiran logik hendaklah diletak tepi dahulu kerana sememangnya buku ini tidak ada logiknya. Yalah, beranak saja keluar seekor babi, dah pandai berpantun dan berbicara. Perangainya pula terus seperti orang dewasa dah pandai berperang dan berkenan pada anak dara orang. Jadi sepanjang hamba membaca hikayat ini hamba sentiasa terbayang akan hikayat lama yang dipersembahkan secara lisan oleh tukang cerita seperti Tok Selampit dan Awang Batil, yang bercerita berhari-hari lamanya. Hikayat ini memang boleh dipersembahkan berhari-hari memandangkan tukang cerita perlu bercerita dengan meleret-leret mempersembahkan kehebatan setiap watak.

Saudara Arsyad Mokhtar pada beberapa perkataan dalam novel ini telah menggunakan imbuhan “ke” menggantikan imbuhan “ber”. Contohnya nujum bertujuh menjadi nujum ketujuh. Bagi hamba penggunaan "ber" adalah lebih tepat kerana yang dipanggil adalah kesemua tujuh orang berkenaan dan bukannya nujum yang nombor tujuh. Juga terdapat beberapa perkataan lain seperti puteri bertujuh yang menjadi puteri ketujuh. Usup Abdul Kadir lebih tepat lagi penggunaannya. Ada sejenis senjata yang Arsyad tulis sebagai semasyar. Hamba tidak tahu sama ada ejaan rumi ini tepat kerana hamba pernah membaca di hikayat lain bahawa senjata berkenaan ditulis syamsyir. Begitu juga dengan perkataan maharaja Dordan, Arsyad mengulas barangkali ia adalah negara Jordan. Berdasarkan tarikh hikayat ini ditulis hamba percaya bahawa negara Jordan masih lagi belum wujud kerana ketika itu ia lebih dikenali sebagai Syam. 

Hamba berpandangan bahawa manuskrip asal hikayat ini telah hilang separuh memandangkan kesudahan hikayat ini seperti tergantung. Ini kerana pada penghujung hikayat, raja babi telahpun bertukar menjadi manusia, berkahwin dengan seorang puteri yang dicemburui oleh saudara-saudaranya yang lain. Maka telah timbul plot untuk menjatuhkan puteri bongsu berkenaan dan apa yang terjadi selepas itu tidaklah diketahui.

Walaupun zaman penulisan novel ini, Islam telahpun berkembang pesat di kepulauan Melayu, namun kisah yang dipaparkan tidak nampak unsur berkenaan. Contohnya sultan yang bernikah dengan empat puluh orang dalam satu masa, kisah-kisah kuasa sakti penuh mistik yang ada unsur dewa-dewa dan sebagainya. Hikayat ini sesuai untuk bahan kajian sastera serta merupakan satu tinggalan sejarah lampau. Melaluinya dapat kita mengetahui akan corak pemikiran masyarakat pada zaman itu serta genre penceritaan yang menjadi kesukaan mereka.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...