Tuesday, June 9, 2015

JEMBALANG - Ramlee Awang Murshid, Jessy Mojuru, Riduan Judin, Zharulnizam Shah Z.A.



Kita biasa menemui antologi puisi ataupun cerpen, tetapi antologi novel jarang penerbit yang buat. Mengambil nama jembalang sebagai tajuk, walau bagaimanapun ia bukan merupakan tajuk tulisan bagi mana-mana penulis yang ada di dalam himpunan ini. Antara kesemua penulis yang ada, hamba pernah membaca tulisan kesemua mereka kecuali Riduan Judin. Antara tiga penulis yang pernah hamba baca ini pula hanya Ramlee dan Zharulnizam sahaja yang menepati selera pembacaan hamba. Memasukkan Ramlee sebagai salah seorang penyumbang hamba rasakan sebagai satu tarikan sahaja bagi melariskan jualan. Ini memandangkan Ramlee mempunyai nama yang kuat dalam dunia penulisan novel.


Runcing 2 - Zharulnizam Shah Z.A.

Mengikuti pembacaan cerita ini amat menarik pada mulanya. Pelbagai persoalan timbul sepanjang pembacaan dan hati semakin kuat ingin mengetahui jawapannya. Tetapi secara tiba-tiba cerita ini tamat begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian. Apa ni Alaf 21? Adakah ini satu strategi pemasaran agar pembaca pergi mencari Runcing 3 pula (andainya ada). Ataupun editor sendiri tidak pernah membaca naskhah ini tanpa mengetahui ia tidak sempurna lantas memberikan endorsement. Atau juga penghujung cerita ini hilang semasa proses percetakan. Apapun alasannya membaca perkataan tamat pada mukasurat 141 penghujung cerita ini membuatkan hamba terkapai-kapai - terasa nak mencarut pun ada juga. Tolonglah ini bukannya drama sinetron. Sudahlah hamba cukup kecewa kerana novel Sunan : Nanggroe Sang Kembara juga tidak habis dulu, kini perkara yang sama berlaku kepada novel ini. Kurang-kurang novel sunan bertulis juga perkataan bersambung, cerita Runcing ini terus tamat tanpa sebarang penyelesaian. Sesungguhnya hamba amat berduka.


Bidadari Pencabut Nyawa - Riduan Judin

Penulis ini baru kali pertama hamba menikmati tulisannya. Cerita yang ingin dibawa beliau nampak menarik pada awal pembacaan hamba tetapi hati ini bagaikan tidak ditarik-tarik untuk mengetahui kesudahannya. maksud hamba persoalan yang ada tidak cukup kuat untuk menarik perhatian hamba untuk bersegera menerokai persembahan Riduan. Tetapi hamba percaya di masa akan datang persembahan Riduan akan lebih mantap lagi.


Penunggu Rumah Pasung - Jessy Mojuru

Sebagaimana kelirunya watak Que dan Rini dalam cerita ini, begitulah juga kelirunya hamba untuk memahami jalan cerita serta persembahan Jessy. Cerita ini sebenarnya cukup mudah mengenai beberapa anak muda yang terperangkap di dalam dunia lain dan berusaha mencari jalan untuk kembali semula ke dunia nyata. Tapi maaflah, hamba bosan! Cerita ini terlalu banyak dialognya sehinggakan kadang-kadang ada cerita yang berulang-ulang walaupun dengan dialog yang berbeza.....bosan sampai hamba tak tahu nak komen apa lagi.....


Tetamu Siang - Ramlee Awang Murshid

Barangkali boleh hamba katakan bahawa karangan Ramlee adalah penyelamat bagi antologi ini. Satu yang hamba suka mengenai cerita ini adalah ia tidak begitu ketara seramnya tetapi debarannya itu yang hebat. Seperti novel-novel beliau yang lain, hamba turut berteka teki mengenai watak-watak yang ada di dalamnya dan kali ini tekaan hamba tidak mengena lansung.

Di permulaan cerita Ramlee membawa kisah tentang sebuah kampung yang cuba dikuasai oleh seorang dukun pendusta bernana Liau Gantua. Pengaruh beliau yang kuat telah berjaya mengusir seorang imam kampung bernama Salleh bersama keluarganya. Boleh hamba teka di sini Salleh akan kembali semula untuk menegakkan kebenaran.

Kemudian Ramlee beralih pula kepada kisah di sebuah kampung yang bernama Buana Senandung yang diganggu oleh satu makhluk yang hanya membuat kemunculan pada siang hari sahaja. Makhluk itu telah membunuh penduduk kampung dengan membelah serta mengeluarkan jantung mereka. Mayat juga akhirnya dibakar. Seterusnya Ramlee mengisahkan usaha penduduk kampung yang diketuai oleh tok ketua mereka. Di sinilah kehebatan Ramlee 'memperdaya' minda pembacanya. Cara persembahannya tentang desa Buana Senandung ini seolah-olah mereka ini adalah daripada golongan yang baik. Rupanya Ramlee cuba menggambarkan keadaan mereka dari sudut pandangan jembalang itu sendiri. Rupanya kesemua mereka adalah makhluk daripada alam ghaib dan yang membunuh mereka adalah protagonis cerita ini. Hamba suka dengan permainan Ramlee kali ini.

Dalam usaha Salleh dan anaknya Adi membanteras makhluk halus yang durjana ini, Salleh telah terkorban dan seekor pontianak telah terlepas. Lalu kisah yang mengambil latar masa pada kurun ke 19 ini beralih pula ke kurun 21. Di kurun 21 pontianak berkenaan akhirnya berjaya juga dibunuh oleh keturunan Adi. Cerita di kurun baru ini pendek sahaja. Novel ini akan lebih menarik sekiranya ruang masa antara kedua kurun tersebut diisi dengan usaha keturunan Adi untuk menghapuskan pontianak sehingga mengambil masa yang begitu lama. Alaf 21 sepatutnya menjadikan bahagian Ramlee ini sebagai sebuah novel lain yang boleh berdiri dengan sendirinya tanpa perlu bergandingan dengan penulis lain. Cerita ini boleh sahaja dipanjangkan melebihi 700 mukasurat sepertimana novel-novel Ramlee yang lain. Justeru membaca cerita ini yang +-200 mukasurat sahaja tidak memberikan kepuasan yang maksimum.


2 comments:

  1. Terima kasih banyak-banyak tuan, Bidadari Pencabut Nyawa merupakan karya kedua saya selepas Petaka Nyawa. InsyaAllah, ogos 2015 ini akan terbit Penjara Mati.Sudi kiranya untuk dapatkan juga naskah ini... :) Link: http://riduanjudin.blogspot.com/

    ReplyDelete
    Replies
    1. Teruima kasih saudara Riduan, harap tak berkecil hati dengan komen saya.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...