Isnin, 29 Jun 2015

MENGENANG BALIK RAYA DULU-DULU.....



Sewaktu zaman hamba kanak-kanak, keluarga hamba tidak mempunyai kereta untuk pulang ke kampung. Jadi setiap kali balik raya terpaksalah menaiki bas. Bas dulu bukan macam hari ni, air cond pun tak ada, dah tu pulak bersesak-sesak. Bila keadaan sesak macam tu, sampai je bas di stesen, ada penumpang yang akan mencampakkan beg mereka dari tingkap untuk booking kerusi. Ada yang memanjat masuk dari tingkap yang terbuka, ada juga yang membuka pintu kecemasan di belakang bas. Masa ni orang bukan kira kita tua ke atau kanak-kanak lagi. Hamba yang ketika itu masih budak pun orang tak berikan tempat duduk, maka terpaksalah berdiri sepanjang perjalanan. Hamba masih ingat sewaktu keluarga hamba tinggal di Port Dickson, kami terpaksa keluar awal pagi, selepas subuh, untuk pulang ke Jelebu. Jelebu bukannya jauh sangat. Hari ini kalau naik kereta dalam dua jam boleh sampai ke Jelebu. Tapi dahulu perjalanan yang bermula di awal pagi itu hanya akan sampai lebih kurang jam tiga petang. Letih tak terkata. 

Stesen bas di Seremban bukanlah seselesa sekarang. Dahulu ia terletak di tapak berdirinya bangunan Wisma Arab Malaysian sekarang. Keadaannya dhaif dengan lopak-lopak yang besar serta berdebu. Tak boleh bayangkan kalau hujan lebat.  Manakala jalan menghala ke Jelebu pula terpaksa melalui Bukit Tangga yang ketika itu amat sempit sekali jalannya, bengkang bengkok seperti ular kena palu. Kedudukan jalannya pula betul-betul di tepi gaung. Orang yang duduk di tepi tingkap bas akan dapat melihat gaung dengan jelas dan debaran itu semakin kuat apabila bas membelok di selekoh yang tajam.

Hamba dah lama tak naik bas henti-henti untuk pulang ke Jelebu. Tak tahu sama ada orang masih berebut lagi atau tidak. Tapi hamba rasa perkhidmatan bas semakin sepi memandangkan ramai orang yang sudah berkenderaan sendiri....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...