Sunday, August 16, 2015

MAJALAH GILA-GILA EDISI KHAS #777



Kadangkala ada juga baiknya laman pesbuk ini. Melalui salah satu posting di sanalah hamba mendapat maklumat tentang pelancaran majalah Gila-Gila edisi khas nombor 777 yang telah berlansung di Galeri Petronas pada 31 Julai yang lalu bermula jam 4.30 petang. Namun untuk hamba ke sana ada sedikit kekangan memandangkan itu merupakan hari bekerja dan hamba pula bukannya bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Mujurlah adik ipar hamba memang bekerja di sana maka melalui beliaulah dapat hamba memperolehi majalah ini.

Rasanya inilah kali pertama Gila-Gila mengadakan satu edisi khas majalahnya yang dijual dalam bilangan yang terhad. Majalah nombor 777 ini dijual hanya di Galeri Petronas dan terhad dalam 1000 naskhah sahaja. Bagi naskhah #1 - #200, nombor sirinya ada tercatat pada muka hadapan majalah dan pembeliannya turut disertakan dengan sijil ketulenan. Manakala bagi bakinya #201 - #1000, tiada sebarang nombor siri tercatat pada majalah dan tiada juga sijil ketulenan dikeluarkan. Majalah yang mempunyai nombor siri dijual dengan harga RM150 manakala yang tidak bernombor dengan harga RM50.




Majalah ini tentunya menjadi buruan peminat humor dan komik di Malaysia terutamanya yang gemar menjadikan sesuatu isu istimewa itu sebagai collector's item. Hamba tidak membeli unit yang mahal kerana hamba hanya mahu membaca serta menyimpannya sahaja tanpa niat untuk menjualnya semula. Ada pembeli yang telah menjual edisi tanpa nombor sirinya dengan harga RM80 senaskhah di pasaran internet dan ada yang sanggup membelinya walaupun harganya telah naik RM30.

Edisi khas ini adalah umpama satu keluaran kenang-kenangan yang memaparkan karya-karya para kartunis yang pernah menyumbangkan karya mereka untuk majalah ini. Walaupun ada kartun baru yang dimuatkan tetapi maaflah ia kurang menarik perhatian hamba lebih-lebih lagi ia seolah mempromosikan penaja pameran Lagi-Lagi Gila-Gila iaitu Petronas. Selain itu ada juga kartun dan tulisan baru yang bertemakan Ramadhan dan hari raya yang bagi hamba tidak sesuai untuk edisi khas ini memandangkan edisi ini bukannya bagi tujuan hari raya. Bahkan terdapat juga beberapa kesilapan typo seperti nama samaran Bob Asri ditulis sebagai Zamriabu juga perkataan 'Perwira Mat Gila' yang sepatutnya ditulis Periwira, dengan huruh 'i' ditengahnya (ms. 18). (Hamba cukup ingat tentang ini kerana Rejabhad dalam satu siaran Periwira Mat Gila mencatatkan bahawa Mat Gila menganggap dirinya bukanlah seorang perwira justeru merasakan gelaran periwira adalah sesuai dengannya.



Walaupun terkilan tidak dapat menemui para kartunis Gila-Gila pada hari tersebut, hati sedikit terubat dengan tandatangan beberapa orang kartunis yang membuat sedikit coretan pada majalah berkenaan.

(Khabarnya Gila-Gila akan buat comeback tidak lama lagi apabila majalah Ujang telah menutup operasinya. Para kartunis otai akan bergabung semula untuk industri kartun tanahair melalui majalah ini. Berita ini pastinya akan membuatkan peminat kartun tanahair tidak sabar untuk menunggukan edisi Gila-Gila yang mutakhir nanti!!)

2 comments:

  1. Ternyata Encik Kenitra ni memang peminat no.1 kartun2 tempatan kita....sekarang, hanya tinggal majalah Gila2 sahaja berseorangan meneruskan kelansungan hidup majalah kartun tanahair....mag Ujang & Apo? udah pun tutup.....sedih :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. Minat, tapi bukanlah dalam kategori hardcore lagi. Semakin meningkat umur minat itu makin mengendur......

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...