Isnin, 24 Ogos 2015

WAHABI - KISAH-KISAH KEINSAFAN




Hamba pulang lewat dari pejabat pada suatu hari kerana sebelum itu menghadiri lawatan bersama KSU ke sebuah klinik di Sungai Lui. Ketika menekan jari untuk merakam waktu keluar, mata hamba terlihat beberapa buah buku yang kelihatan baru di atas meja tamu ruangan lobi. Ada lima buah buku pelbagai tajuk yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Hamba ambil 3 buah untuk dibaca.

Apabila disebut tentang Wahabi dan ajarannya, terus terang hamba sendiri tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam. Pengetahuan hamba hanya sedikit sahaja dan hamba tidak pernah pergi secara mendalam terhadap perkara yang sering diperselisihkan oleh goongan ini. Walaupun buku ini mengangkat tajuk kisah-kisah keinsafan, ia bukanlah sebuah buku cerita yang mengandungi beberapa kisah menarik. Mungkin penulis merujuk 'kisah' ini kepada dialog antara Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti dengan seorang pengikut anti mazhab dan dialog seorang pensyarah universiti dengan seorang pelajar. Hanya dua dialog yang ada dan bukanlah 'kisah-kisah' dalam bentuk jamak. Namun penyampaian dalam bentuk dialog ini adalah amat bermanfaat di dalam memberi kefahaman kepada pembaca.

Apabila hamba membaca buku ini dapat hamba simpulkan bahawa kita ini semuanya mempunyai ilmu yang sedikit. Namun kita semua selalu merasakan diri kita hebat. Baru mendapat sedikit pengetahuan sudah mula mahu berkepak membentangkan hujah menyangggah itu dan ini. Terutamanya apabila seseorang individu itu telah mula cenderung dan condong kepada sesuatu ajaran ataupun seseorang guru, maka hanya pandangan golongan itu sahaja yang diyakini serta diterima pakai manakala daripada pihak yang lain adalah tidak betul belaka. Kadangkala permasalahan yang kita sanggahi itu telahpun dibincangkan oleh ulama' silam sejak ratusan tahun yang dahulu. Adakah layak kita yang hanya duduk menghadiri kuliah beberapa kali, atau sekadar membaca beberapa helai teks sudah mahu mempertikaikan pandangan ulama' silam yang telah mengkaji keseluruhan dalil serta pandangan sebelum mengeluarkan sesuatu hukum? Hamba pasti anda pernah melihat individu berhujah seolah beliau lebih hebat daripada imam-imam mazhab contohnya ataupun menyangka beliau lebih hebat daripada sahabat seperti khalifah Umar yang pernah hidup sezaman dengan nabi dan menerima ilmu secara lansung daripada baginda.

Selain daripada dialog di atas terdapat satu bab yang membincangkan secara ringkas mengenai beberapa isu yang sering diperselisihkan oleh puak Wahabi seperti:-

- Mengqadha' solat yang ditinggalkan dengan sengaja;
- Mengangkat tangan ketika berdoa;
- Mengusap wajah selepas berdoa;
- Amalan bersalaman selepas solat;
- Penggunaan tasbih untuk berzikir;
- Menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran atau tahlil kepada si mati, dan lain-lain lagi.

Walau apapun, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah memutuskan bahawa Wahhabiah sebagai ajaran sesat tetapi berpandangan bahawa isu-isu yang dibawa oleh golongan ini boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.

Buku ini boleh didapatkan secara percuma.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...