Ahad, 27 September 2015

HIJRAH & HIJAB : PERJALANAN TERINDAH DALAM HIDUP KAMI



Sebelum buku ini memulakan kisah-kisah mereka yang beralih untuk menutup kepala serta aurat mereka, ia dimulakan dengan beberapa artikel yang pada hamba amat menarik dan bermanfaat sekali. Ia terdiri mdaripada empat perkara iaitu Definisi Hijab, Inovasi Penghasilan Hijab, Kenapa Wanita Perlu Berhijab dan Hijab & Kesihatan. Walaupun dipersembahkan dalam bentuk yang ringkas, keempat-empat artikel berkenaan bagi hamba dapat memberikan gambaran akan kepentingan pemakaian hijab kepada wanita Muslim serta bagaimana bentuk hijab yang disyariatkan. Justeru apabila selesai membaca buku ini kita akan mendapati terdapat beberapa wanita yang kisah mereka dipaparkan dalam buku ini tidak menepati seratus peratus apa yang cuba disampaikan dalam artikel-artikel berkenaan.

Frasa 'tidak salah wanita menutup aurat untuk berfesyen' selalu berkumandang di dalam mana-mana penulisan fesyen atau rancangan tv yang melibatkan wanita yang menutup aurat. Secara literalnya ia bermaksud walaupun kita mengenakan tudung kita juga boleh bergaya dan memakai pakaian mengikut trend terkini. Bagi hamba kata-lata ini lebih banyak membawa salah faham kepada wanita Islam. Kerana itu kita dapati kebanyakan wanita Islam mendefinasikan menutup aurat itu adalah 'memakai tudung' sedangkan ia adalah lebih daripada itu. Dan hamba rasa semua wanita Islam tahu aurat itu adalah seluruh tubuh melainkan muka dan tapak tangan. Justeru apabila pereka fesyen menggunakan frasa di atas, mereka lebih banyak menghasilkan pakaian yang 'membalut' aurat dan bukan menutupnya. Kerana itu kita dapat melihat segelintir wanita yang mengenakan tudung tetapi memakai t'shirt berlengan pendek, pakaian yang sendat dan ketat sehingga jelas menampakkan bentuk tubuh serta warna-warna serta hiasan luaran yang boleh sahaja menarik minat dan perhatian lelaki yang bukan mahram. Hamba boleh menerima frasa di atas dengan syarat ia terpakai dalam lingkungan mereka yang ada hubungan mahram serta sesama wanita muslimah sahaja. Mengapa terhad kepada wanita muslimah sahaja dan bukan semua wanita? Ini kerana aurat muslimah dengan wanita bukan muslim adalah sama sahaja dengan aurat muslimah dengan lelaki ajnabi.

Dalam era awal 80'an dan zaman sebelumnya, tidak ramai wanita Muslim yang mengenakan pakaian menutup aurat. Pemakaian tudung hanya besifat sederhana apatah lagi mengenakan tudung labuh serta berjubah. Golongan yang menutup aurat ini juga kadangkala dilabelkan sebagai orang dakwah. Namun arus kebangkitan Islam yang mula bertiup selepas itu mula menunjukkan kemajuan apabila semakin ramai wanita yang mula mengenakan pakaian yang menutupi aurat. Sehinggakan pada hari ini kita dapat melihat majoriti wanita di sekolah, universiti dan pejabat-pejabat kerajaan mengenakan tudung kepala. Malangnya terdapat segelintir antara mereka hanya mengenakan tudung kerana tidak mahu menjadi minoriti, malu dengan rakan-rakan bertudung dan sebagainya. Mereka bukannya menutup aurat mereka atas rasa tanggungjawab pada agama. Kerana itu apabila tamat waktu persekolahan atau pejabat, tudung itu akan lerai daripada kepala mereka. Mereka yang menutup aurat atas nama fesyen inilah kadangkala nampak lebih banyak menjahanamkan imej baik wanita yang berhijab. Kalau dahulu pemakaian jubah dikaitkan dengan golongan dakwah atau para ustazah, kini pemakaiannya sudah meluas. Maka kaki-kaki fesyen ini menjenamakan semula jubah dengan memperkenalkan jubah yang sendat, berwarna-warni serta fabrik yang melekat pada tubuh badan.Hijab bukannya untuk menarik perhatian orang lain terutamanya lelaki ajnabi, hijab bukannya untuk memuaskan kehendak diri terutama apabila telinga terdengar pujian 'cantiknya pakaian kamu hari ini'.

Pemakaian tudung hari ini sering dikaitkan dengan kalimah hijrah. Ia membayangkan apabila seseorang bertudung telah berubah kepada keadaan yang lebih baik. Benar hamba setuju dengan itu tetapi bagi hamba skop hijrah itu lebih luas lagi. Tidak ada gunanya bertudung tetapi masih memakai pakaian dengan tujuan mahu menunjukkankecantikkan kepada orang lain. Walaupun tiada niat ke arah itu tetapi dari segi perlakuan ia adalah tidak wajar memandangkan kaedah fiqh menyatakan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Kita tidak mahu mendengar kata-kata masyarakat 'tengoklah dia tu, pakai tudung tapi keluar dengan lelaki, tudung pakai hari-hari solat tak pernah sekali, pakai tudung tapi nampak ketiak' dan macam-macam lagi. Hamba bukan mahu buat kelakar tapi hamba percaya kita pernah mendengar dialog seperti ini.

Ada lebih kurang 53 orang wanita yang kisah kenapa mereka 'berhijrah' dipaparkan di dalam buku ini termasuk beberapa wanita dari luar negara. Kebanyakannya adalah wanita yang ada nama atau dikenali dalam masyarakat. Ada kisah mereka yang benar-benar memberikan pengajaran sehingga pengenaan pakaian menutup aurat ini benar-benar memberikan satu pengertian dalam perjalanan hidup mereka. Ada juga yang hamba lihat pakaian mereka cukup menarik perhatian lelaki ajnabi dan ada yang menepati syariat. Di antara mereka ada yang pernah menjadi sahabat sepersekolahan hamba. Terkejut juga hamba membaca kisah beliau yang pernah membuka tudungnya apabila berada di luar negara kerana sifat prejudis serta tekanan masyarakat di sana yang anti Islam. Hamba terkejut kerana kami sekolah agama dan pemakaian tudung sudah lama sebati dengan hidup beliau. Walaupun beliau ada alasan tersendiri (dan hamba percaya pasti ada kaki-kaki yang akan menyokongnya) bagi hamba tindakan itu sekaligus menghentikan 'aliran pahala' yang sedang mengalir dengan deras kepadanya. 

Apabila pembaca melihat pula kisah-kisah penghijrahan wanita yang berada di luar negara tentu antara mereka akan kita dapat lihat perbezaan penghijrahan mereka. Ini kerana kebanyakan mereka bukannya berhijrah daripada tidak memakai tudung kepada bertudung, bahkan lebih daripada itu - mereka berhijrah daripada kegelapan kejahilan kepada sinar Islam yang menerangi kehidupan. Mereka lebih struggle, lebih mengkaji dan menghayati serta bersusah payah untuk mencari apa yang dinamakan iman. Justeru itu kebanyakan kita ini yang imannya - Alhamdulillah - diperolehi secara keturunan yang sudah sedia Islam sewajarnya semakin memperbaiki mutu iman itu memandangkan kita telah sedia memperolehinya tanpa susah payah sebagaimana orang lain.

Ada iktibar daripada buku ini. Iktibarnya adalah kita boleh menjadi lebih baik daripada kesemua wanita yang dipaparkan di dalam buku ini. Banyakkanlah belajar dan menuntut ilmu khusunya secara terus daripada tuan-tuan guru yang mursyid. Janganlah sekali-kali berguru dengan ustaz facebook, twitter, youtube dan sebagainya. Mereka yang ingin belajar daripada laman sedemikian haruslah terlebih dahulu mantap ilmunya, yang mana ilmu itu terlebih dahulu diperolehi dengan cara berguru, bertalaqqi dan sebagainya. Ini kerana dengan asas yang kuat sedemikian barulah kita akan tahu sama ada apa yang disampaikan oleh ustaz facebook, twitter, youtube itu benar ataupun palsu...

WalLahuaa'lam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...