Sabtu, 10 Oktober 2015

AKU TAKKAN RELA DIPERHAMBAKAN - Shaari Isa



Satu yang menarik perhatian mengenai buku ini ia adalah berdasarkan kisah benar, berdasarkan pengalaman Encik Don bin Mat yang diceritakan pada ketika hidup. Ia bukannya seperti beberapa kisah benar lain yang diceritakan selepas kematian seseorang tokoh oleh orang-orang yang pernah rapat dengan mereka. Penceritaan secara terus oleh Encik Don kepada penulisnya Shaari Isa membolehkan kita mengetahui dengan lebih tepat tentang apa yang dikisahkan.

Pengalaman menjadi salah seorang buruh paksa landasan keretapi maut pada zaman Jepun merupakan satu pengalaman perit yang tidak ternilai harganya. Ia bukan sekadar perjuangan untuk mencari rezeki bahkan ia adalah perjuangan untuk hidup. Apatah lagi apabila tiba pada bab melarikan diri dari tahanan Jepun, ia adalah satu keberanian yang luar biasa. Ini kerana melarikan diri dari lokasi tahanan untuk pulang ke kampung halaman bukanlah satu jaminan untuk hidup, kadangkala melarikan diri juga terdedah kepada kematian sama ada oleh serangan Jepun sendiri ataupun kerana kebuluran.

Boleh dikatakan rata-rata rakyat Malaya pada zaman Jepun hidup dalam penderitaan. Encik Don yang bekerja sebagai buruh membuat jalan raya pada suatu hari telah diperdaya apabila beliau dan rakan-rakannya dibawa ke stesen keretapi Alor Star untuk menerima gaji. Sememangnya satu kepelikan apabila berada di Gurun perlu di bawa ke satu tempat yang jauh untuk menerima gaji, apatah lagi ia dibayar di tempat yang bukannya sebuah pejabat pembayaran upah.

Namun itulah harinya penderitaan beliau dan rakan-rakannya bermula. Dibawa dengan keretapi, berjalan kaki meredah hutan, melalui satu perjalanan yang panjang sehingga berhari-hari lamanya sehingga sampai ke tempat beliau akan 'bertugas'. Kebajikan pekerja amat diabaikan oleh Jepun. Para pekerja memakai pakaian yang sama semenjak mereka ditahan tanpa ditukar, makanan yang dimasak ala kadar tanpa mengambil kira aspek kebersihan beserta tempat kediaman yang begitu tidak selesa. Mana-mana pekerja yang sakit teruk ataupun mati akan ditinggalkan sahaja di dalam hutan untuk mengelakkan penyakit mereka berjangkit kepada yang lain atau dengan kata lain tiada lansung bantuan kesihatan disediakan.

Kerana tidak tahan dengan keadaan itu Encik Don bersama empat lagi orang sahabatnya telah berpakat untuk melarikan diri. Bukanlah suatu yang mudah untuk lari daripada kawalan Jepun. Kadangkala ketakutan mengatasi keberanian. Bermakna untuk melakukan hal ini mestilah betul-betul berani dan nekad. Akhirnya mereka berjaya melarikan diri dalam satu perjalanan menuju ke tempat kerja yang baharu setelah merancang sekian lama.

Perjalanan dari Thai menuju ke kampung halaman juga bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai penderitaan yang mereka alami sehingga pernah sahaja terfikir untuk menyerah diri kembali kepada Jepun. Mereka berjalan berhari-hari tanpa makanan. Mereka hidup dengan meminum apa sahaja sumber air yang dijumpai dalam perjalanan sama ada sungai, anak air, lopak dan sebagainya. Pernah juga dalam keadaan derita itu ada yang jatuh sakit. Mujurlah semangat setia kawan masih tinggi, walaupun masing-masing tidak berdaya tetap juga sama-sama sambil bergilir untuk memapah sahabat yang sakit. Hinggalah akhirnya mereka sampai ke sebuah kampung Thai barulah mereka merasai bantuan yang pertama.

Perjalanan selepas itu juga masih sukar kerana selepas kampung berkenaan dalam beberapa hari mereka tidak menemui sebarang kampung. Walaupun bertemu kampung, dalam hati mereka masih ada juga perasaan takut sekiranya ada penduduk yang menjadi talibarut Jepun. Mujurlah itu semua tidak berlaku.

Apabila kedudukan mereka semakin hampir ke sempadan Malaya barulah semakin banyak kampung yang mereka temui dan membolehkan mereka meminta bantuan. Semua kampung yang mereka singgah mereka mendapat bantuan yang sewajarnya daripada penduduk. Walaupun rata-ratanya orang Thai, mereka tetap sudi membantu termasuklah wat mereka. Sepucuk surat beserta tangkal yang diberikan oleh seorang sami siam memudahkan perjalanan mereka selepas itu apabila kampung yang disinggahi akan memberikan bantuan dengan menunjukkan surat tersebut.

Sehinggalah apabila tiba di Kedah apabila tiga daripada mereka (dua orang lagi memutuskan untuk tinggal di sebuah kampung yang mereka singgah) memutuskan untuk berpecah pulang ke kampung bagi mengelakkan ditahan Jepun. Encik Don memilih untuk pulang ke Gurun dengan keretapi. Walaupun bajunya amat daif dan compang camping, itu tidak merisaukan beliau memandangkan pada zaman itu penduduk lain juga begitu juga pakaiannya. Ini amat menginsafkan hamba. Derita benar pendudiuk tanah Melayu ketika itu akibat Jepun. Sudahlah mereka kejam, tiada pengimportan barangan pada tika itu menyebabkan Tanah Melayu ketiadaan  arangan makanan serta kain untuk dibuat pakaian. Hamba pernah mendengar cerita orang tua bahawa ada antara mereka yang membuat pakaian daripada kain guni beras.

Hinggalah sampai ke stesen keretapi Gurun apabila Encik Don terpaksa melalui kawalan Jepun lagi. Secara kebetulan beliau berjalan berhampiran seorang perempuan yang mengandung menyebabkan Jepun menyangka beliau merupakan suami kepada perempuan berkenaan. Walaupun telah pulang, Encik Don hanya bersembunyi di dalam rumah berbulan-bulan hinggalah apabila Jepun sudah mula kelihatan lemah di Tanah Melayu barulah beliau menzahirkan dirinya.

Hamba percaya keadaan sebenar pastinya lebih mengerikan berbanding dengan tulisan di dalam buku ini. Penulisan Shaari Isa tidak menampakkan sangat suasana ngeri ataupun saspen terutama di saat-saat melarikan diri. Buku ini sesuatu yang amat berfaedah untuk dibaca oleh anak bangsa. Kesenangan hidup kita pada hari ini adalah disebabkan pengorbanan oleh generasi dahulu yang ber\juang untuk kebebasan tanah air. Moga Allah memberikan ganjaran-Nya kepada semua pejuang tanah air.

2 ulasan:

  1. Salam ...saya berminat nk beli buku ni...kat mana saya blh beli?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mungkin saudara boleh rujuk dengan DBP. Buku inipun sudah agak lama dan berkemungkinan sukar didapati di pasaran.

      Padam

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...