Saturday, October 17, 2015

LAMBAIAN SAYONARA UJANG DAN APO



Semuanya bermula daripada status kartunis Ubi di fesbuknya yang menyatakan bahawa syarikat yang menerbitkan kedua-dua majalah ini akan menutup operasinya. Status itu kemudiannya disalin dan tersebar terutamanya di kalangan penggemar kartun tanah air. Tiada pengumuman rasmi daripada syarikat terbabit. Namun yang pasti kedua-dua majalah berkenaan tidak lagi kelihatan di pasaran selepas terbitnya majalah seperti gambar di atas. Walaupun ada pertanyaan daripada penggemar majalah ini di laman fesbuk mereka ia tidak pernah dijawab oleh pihak pengurusan majalah berkenaan. Oleh itu tidaklah pasti sama ada kedua-dua majalah ini telah tamat penerbitannya ataupun hanya berhenti buat seketika. Yang pasti laman kartun dan jualbeli online mereka masih lagi hidup dan beroperasi.


Penjualan majalah humor sememangnya agak perlahan dalam 10 tahun terakhir ini. Yang tinggal kini hanyalah majalah Gila-Gila yang telah bertahan semenjak zaman penubuhannya pada 1978. Majalah ini juga perlahan penjualannya dan hanya terbit sakali dalam sebulan berbanding dua kali sebulan beberapa tahun yang lalu. Walaupun ada majalah lain seperti Gempak, hamba menganggap majalah ini lebih ke arah komik serius berbanding sebuah penerbitan humor. Begitu juga majalah komik Umin & Ipin, Boiboiboy dan The Amazing Awang Khenit, walaupun ada unsur humor ia adalah berdasarkan siri tv masing-masing dan terbit akibat populariti siri berkenaan di televisyen.

Penamatan majalah Ujang disambut dengan perasaan yang berbeza-beza oleh penggemar kartun tanah air. Ada yang kecewa dan ada yang gembira. Yang gembira ini adalah golongan yang menganggap majalah ini sepatutnya dikendalikan oleh 'Ujang' yang original iaitu saudara Ibrahim Anon. Akibat permasalahan dalaman Ujang telah 'tersingkir' dari majalah ini, diambil tindakan undang-undang dalam isu watak Din Beramboi sehingga diisyhtihar muflis oleh mahkamah. Tidak pasti sama ada beliau masih berstatus muflis atau tidak namun yang pasti tindakan berkenaan telah menjadikan beliau hidup menderita.

Ada khabar yang mengatakan barisan kartunis-kartunis otai majalah Ujang ini bersama Ujang itu sendiri akan bergabung kembali di dalam Gila-Gila. namun sehingga entry ini ditulis majalah Gila-Gila masih lagi dengan kartunis dan konsep lamanya. Tapi hamba percaya bahawa khabar ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Adalah sesuatu yang amat menerujakan sekiaranya ini terjadi sekaligus melihat perubahan wajah persembahan Gila-Gila itu sendiri.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...