Isnin, 9 November 2015

LENGLOI -Maria Kajiwa


Pengalaman membaca novel penulis yang bertajuk Puja sebelum ini membuatkan hamba tidak ragu-ragu untuk memasukkan naskhah tersebut ke dalam bakul belian. Dalam masa yang sama hamba berharap agar Lengloi dapat memberikan rentak pembacaan yang serupa sepertimana ketika hamba membaca Puja beberapa bulan yang lalu.

Maria kali ini memilih kisah misteri yang menghantui sebuah bangunan lot rumah kedai bernombor 55 apabila beberapa penyewa yang menjalankan perniagaan/usaha mengubahsuai kerap diganggu oleh entiti yang tidak diketahui. Bahkan lebih mengerikan lagi apabila ada sahaja kemalangan yang mencederakan juga kematian pada setiap individu yang menyewa. Punca utama 'puaka' berkenaan mengganggu tidak lansung diketahui oleh para penyewa ini dan hanya menyifatkannya sebagai saingan tidak sihat dalam perniagaan atau dalam ertikata lain dengki.

Walau bagaimanapun hamba dapat meneka puaka berkenaan ada kaitan dengan watak Suzy yang pada awal novel lagi telah diceritakan sebagai hilang secara tiba-tiba. Begitu juga tekaan hamba tentang siapa dalang yang melakukan kerja terkutuk ini juga tepat kerana di awal penceritaan juga penulis telah jelas melakarkan persaingan perniagaan di antara dua buah kedai makan. Cuma penulis bijak melanjutkan cerita. Walaupun kedua-dua pesaing perniagaan berkenaan mati di awal cerita namun bangunan tersebut terus lagi dihuni puaka berkenaan sekaligus menimbulkan persoalan kenapa masih berlaku gangguan.

Walaupun penulis menceritakan tentang gangguan puaka kepada beberapa pihak penyewa, perjalanan cerita tidaklah membosankan. Tidak seperti penulis lain yang kadangkala kerap mengulangi penceritaan yang sama walaupun pada tempat yang berbeza, Maria dilihat tidak berbuat demikian. Kisah gangguan cuba dipelbagaikan persembahannya membuatkan pembaca dapat melekat dengan novel ini tanpa merasa bosan. Benar, hamba tidak bosan membacanya dan inilah kali pertama hamba dapat menyelesaikan novel yang tebal ini dalam masa dua hari sahaja berbanding dengan novel tebal lain yang kadangkala mengambil masa seminggu (Kenapa tidak tamat dalam masa dua jam sahaja? Well, sebagai ketua keluarga yang berkerjaya hamba tidak boleh memperuntukkan seluruh masa untuk membaca sahaja. Kerja di pejabat dan di rumah perlu diutamakan terlebih dahulu. Hanya apabila telah selesai semuanya barulah kita menyambung pembacaan semula).

Sesuatu yang menarik mengenai novel ini juga adalah paparan perpaduan kaum yang ada di negara kita. Maria tidak memusatkan seluruh cerita pada satu kaum sahaja malah melibatkan semua kaum terbesar di Malaysia dalam penceritaan yang agak seimbang. Watak-watak utama tersebut memperlihatkan sifat tanggungjawab serta mengambil berat di antara satu sama lain. 

Novel ini walaupun dilabelkan sebagai seram tetapi bagi hamba tidaklah terasa sangat keseramannya. Namun disebabkan teknik penulisannya yang baik, penceritaan yang tidak tergesa-gesa, setiap persoalan yang timbul dapat diberikan jawapan dengan baik, menjadikan pembacaan hamba begitu lancar sekali dan tidak sabar mahu menamatkan pembacaan bagi mengetahui pengakhirannya. Cuma tertanya-tanya juga hamba apabila tiada penulis tidak memasukkan usaha menghapuskan gangguan oleh perawat Muslim (kecuali nasihat oleh Pak Imam selepas satu majlis bacaan Yaasin serta ikhtiar ringkas oleh Pak Kasim apabila ada individu yang diganggu) berbanding apabila pengkisahan watak bukan Muslim seperti apabila Muthu meminta bantuan sami dan Lim yang mendapatkan bantuan seorang sifu. Amat jelas sekali apabila kedai tersebut di sewa oleh Ain juga sewaktu Jiyad dan rakan-rakannya melakukan kerja pengubahsuaian, tiada terdetik untuk mendapatkan bantuan perawat Muslim atau ustaz untuk membantu mereka menghalau gangguan tersebut walaupun amat jelas gangguan tersebut telah mencapai tahap kritikal. Apapun hamba percaya penulis mempunyai alasan yang tersendiri untuk tidak menumpukan penceritaan kepada hal berkenaan.

Lengloi merupakan sebuah novel yang menarik dan akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Tapi jika dibandingkan dengan Puja, hamba masih merasakan novel berkenaan lebih baik berbanding dengan Lengloi, walLahuaalam!!


1 ulasan:

  1. memang best novel ini..
    Pada saya pula ia bermain dengan perasaan..

    BalasPadam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...