Wednesday, December 16, 2015

PERMAINAN MAUT - Helmi Effendy, Aida Adia, Ebriza Aminuddin, Syasya Bellyna



Novel ini asalnya bukanlah pilihan hamba kerana hamba cuma pernah membaca hanya tulisan seorang daripada empat penulisnya iaitu Helmi Effendy. Justeru hamba khuatir tulisan penulis lain tidak akan dapat memenuhi 'nafsu pembacaan' hamba hingga menyebabkan hamba menjadi bosan sepanjang pembacaan. Namun apabila anak hamba telah memasukannya ke dalam bakul belian maka hamba perlu juga membacanya apabila ia telah jadi milik keluarga sendiri. Ternyata telahan hamba betul kerana dari empat orang penulis yang bergabung, hanya dua sahaja  karya yang berjaya menjadikan penumpuan hamba hingga ke tahap maksima.


Permainan Maut - Helmi Effendy

Karya penulis ini diberi penghormatan sebagai tajuk novel ini. Tiada sebarang permainan yang membawa maut di dalam kisah ini walaupun ia bertajuk begitu. Begitu juga tragedi pembunuhan yang berlaku, tidak berbentuk umpama satu permainan seperti yang dapat kita lihat dalam filem 12 Rounds. Satu reunion yang berlansung di kediaman keluarga Hakimy telah berakhir dengan berlakunya beberapa pembunuhan ke atas mereka yang hadir. Pembaca tentunya akan tertanya-tanya pada awal cerita siapa gerangan si pembunuh dan atas sebab apa pembunuhan tersebut dilakukan.

Mengetahui bahawa pembunuhnya adalah Hakimy sendiri tidaklah begitu mengejutkan hamba, tetapi sebab untuk dia membunuh rakan-rakannya pada malam itu kelihatan seperti terlalu mudah. Hakimy yang pernah membunuh seorang wanita bernama Tiara beberapa tahun yang lalu terperanjat apabila seorang yang mempunyai wajah persis wanita berkenaan muncul pada majlis reunion berkenaan. Kata Hakimy, "Aku ingat kau ialah hantu Tiara yang datang untuk beritahu tentang kesalahan aku pada semua kawan aku pada malam reunion ni. Sebab tu aku bunuh semua kawan kita. Aku takut yang kau akan beritahu mereka......."

Kalau difikir-fikir, kenapa perlu bersusah payah hendak membunuh orang lain yang belum tentu mengetahui rahsia tersebut. Lebih elok ditumpukan kepada usaha untuk membunuh Tiara aka Trisya itu sendiri. namun dalam kesemua pembunuhan itu terdapat satu pembunuhan yang memusykilkan hamba. Kematian Akma kerana terjatuh dari tingkat empat rumah berkenaanmenjadi misteri kerana tidak diketahui siapa pembunuhnya. Ini kerana Hakimy si pembunuh utama tidak berada di tempat kejadian, dia berada bersama-sama rakannya yang lain ketika itu. Walaupun mereka yang di bawah ternampak kelibat seperti Tiara/Trisya namun watak itu sendiri ke majlis berkenaan bukan untuk membunuh sesiapa bahkan tiada pengakuan di akhir cerita.

Cerita yang dibawa Helmi Effendy adalah yang biasa kita ketemui dalam filem-filem Hollywood, sama juga ketika dia menukilkan The Lost World yang mirip dengan penceritaan Jurassic Park. Satu kelebihan Helmi adalah dia pandai bermain dengan watak yang ramai dan tidak menyebabkan pembaca hilang punca kerana terlalu ramai watak yang muncul. Setiap watak utama mempunyai kesudahannya serta persoalan yang terjawab. Secara keseluruhannya cerita ini tidak mengecewakan hamba tetapi penulis perlu juga berhati-hati dengan typing error seperti perkataan antispetic dan anspectic di mukasurat 40 yang sepatutnya ditulis anti septic.


Nenek, Tolong Keluar - Aida Adia


Cerita ini mudah sahaja, berkenaan saka. Terbahagi kepada dua zaman, zaman dahulu dan masa kini. Epised masa lalu menumpukan kepada kehidupan Andika sebagai seorang pemuda. Bagaimana dia kahwin lari dengan Embun Murni, hidup berkeluarga sehinggalah kepada kisah beliau mendapatkan saka bagi hidup mewah. Dalam episod masa lalu ini hati hamba bagai sudah ditambat dan bersedia untuk mengikuti kisah selanjutnya. Tetapi tiba-tiba sahaja ia berakhir dan disambung dengan kehidupan masa kini tentang keluarga Raudhah yang juga merupakan keturunan Andika serta usaha beliau untuk melepaskan diri daripada saka tersebut.

Entahlah, hamba rasa macam potong stim sahaja. Maaflah ya wahai penulis, hamba rasa macam penulis nak cepat habis menulis je. Sudahlah Andika sendiri nampak begitu mudah untuk menerima pelawaan seorang nenek untuk menerima seorang pendamping tanpa berfikir panjang, tiba -tiba terus beralih latar masanya. Hamba lebih suka sekiranya penulis menumpukan pada zaman Andika sahaja kerana hamba yakin banyak yang penulis boleh explore, contohnya tentang adat perpatih yang ada diselitkan sedikit sebanyak.

Apapun, layan jugalah.....



Pena - Ebriza Aminuddin

Cerita ini kadang-kadang buat hamba gelak dalam hati. Banyak sangat unsur mistiknya. Macam cerita Harry Potter pun ada rasanya. Penumpuan cerita adalah kepada watak Farra Fauzana yang pada permulaan cerita nampak begitu naif. Bila bermimpi buruk, nampak takut sangat sampai menangis-nangis. Begitu juga apabila ada akar-akar 'puaka' yang memenuhi rumah beliau hingga beliau sendiri dibelit akar berkenaan dan sukar untuk melepaskan diri sehingga dibantu oleh suaminya. Tetapi tiba-tiba dia menjadi hebat apabila kembali semula ke villanya untuk mendapatkan jawapan terhadap gangguan tersebut. Dia berani menghadapi serangan akar-akar berkenaan, pandai pula membacakan ayat-ayat ruqyah serta tidak lansung gentar. Suaminyapun beliau tak ajak sama, pehhh ajaib sungguh.

Bila ada penceritaan roh orang yang sudah mati diseru semula kembali ke dunia untuk diseksa kerana membalas dendam, hamba merasakan tidak sewajarnya orang Islam menulis sebegitu. Yang mati tetapkan mati, berada di alam yang lain dan tidak mungkin kembali semula ke dunia. Tidak ada roh yang boleh diseru untuk kembali ke dunia, kalau ada dah lama orang bertanyakan pengalaman mereka menghadapi malaikat Munkar dan Nakir atau kubur mereka sempit atau luas. Walaupun hanya sekadar cerita tetapi menulislah selaku orang Islam yang berilmu, jangan terikut dengan mereka yang lain akidahnya. 

Bagi melawan puaka berkenaan Farra perlu mendapatkan sebatang pen yang mempunyai kuasa merealisasikan apa yang dicatat. Pen itu pula tersembunyi di sebuah perpustakaan ghaib. Sekali lagi hamba tergelak di dalam hati membaca kegilaan ini. Apabila penulis menggambarkan pen berkenaan mempunyai semangat tertentu, bagi hamba dah tentu ini satu unsur syirik. Takkan ada malaikat duduk dalam pen, dah tentu makhluk lain. Jadi menggunakan unsur syirik untuk melawan sesuatu yang syirik tentunya tidak boleh diterima akal. Bila ustaz itu sendiri tidak mampu melawan dan bersetuju farra menggunakan pen berkenaan, ustaz itu bukanlah seorang ustaz. Bila ustaz itu boleh pula membuka hijab sebuah perpustakaan ghaib, hamba merasakan umpama penulis telah mewujudkan watak Albus Dumbledore dan bukannya seorang ahli agama. Banyak sangat dah mengarutnya. Dan hamba lebih rasa nak tergelak apabila membaca dialog, "....Rumah ustaz ni tak macam sayang bayangkan. Cantik dan besar pulak tu. Sudah pasti ilmu yang dimilikinya sangat tinggi kan bang?......" Nampaknya kalau ustaz itu rumahnya cantik dan besar mesti ilmunya tinggi. Maaflah dik, tinggi ilmu ahli agama bukan dinilai pada rupa rumahnya, juga bukan tinggi ilmunya kalau dia boleh menghalau jin syaitan. Kalau pandai menghalau pun tapi menghurai hadith tak pandai, hurai tafsir tak tau, kitab ulama' besar pun tak pernah singkap, berguru bertalaqqi dengan ulama pun tak pernah, maka tak ada besar manalah ilmunya.

Ustaz tu pula boleh membantu dari jauh menggunakan angin....pehh memang setaraf Harry Potter dan cerita ini. Membaca siri-siri Mata Tak Berhijab dari seorang yang benar-benar boleh melihat alam ghaib pun tak rasa 'fantastic' sebegini....



Malam Ogos - Syasya Bellyna

Komen hamba - Syasya Bellyna pandai menulis!!

Kisah Malam Ogos boleh hamba kategorikan berunsur thriller. Walaupun hamba tidak pernah membaca mana-mana tulisan beliau sebelum ini, Malam Ogos antara tulisan yang berbaloi untuk dibaca. Jalinan antara watak-wataknya dibuat dengan cantik serta tidak mengusutkan penceritaan. 

Kisah Farhan yang menyewa sebuah taman tema selama satu malam bagi meraikan hari lahir Nayang, yang turut disertai oleh Khairul dan Ganesan. Hamba terfikir mesti Farhan ini melampau kayanya sehingga mampu menyewa sebuah taman tema untuk kegunaan khas mereka sahaja. Selepas itu berlakulah beberapa peristiwa yang berjaya digarap dengan baik oleh penulis. 

Hamba tak mahu komen lanjut tentang tulisan Syasya ini, nanti spoil mood anda. Layan saja......



4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas reviewnya saudara dari kami team seramlicious. Terima kasih tuk review # malam ogos :) buat bekal semangat untuk karya saya seterusnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Karya berkenaan memang menarik dan hamba memberikan komen setulus mungkin tanpa prejudis....

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...