Wednesday, December 2, 2015

TOWN MALL - Hasrudi Jawawi



Hasrudi Jawawi mengambil inspirasi sebuah bangunan pusat perniagaan yang pernah terbengkalai untuk menghasilkan novel ini. Bangunan yang terletak di Seremban itu dikatakan mempunyai misteri yang tersendiri sehingga kisahnya pernah tercatat di akhbar serta di ruang-ruang blog. Walaupun Hasrudi menggunakan nama Town Mall sebagai gelaran untuk nama bangunan ini, berkemungkinan mengelakkan berlakunya isu tuntutan dan sebagainya di kemudian hari, namun beliau secara nyata memaklumkan nama sebenar bangunan tersebut di dalam ulasannya. Dalam penceritaan novel ini juga dengan jelas penulis melakarkan duduk letak bangunan ini termasuk penceritaan bangunan yang ada berhampiran dengan mall tersebut.Bahkan beliau juga turut memberikan 'iklan' percuma kepada beberapa buah perniagaan yang ada di dalam bangunan berkenaan yang dikatakan turut menjadi penyewa di dalam town mall. 

Novel ini terlalu tebal bagi hamba. Hamba bermula dengan lancar membaca novel ini namun di pertengahan rasa bosan mula menghinggapi. Terasa seperti cerita ini sengaja dipanjang-panjangkan dengan meletakkan banyak 'bunga-bunga penceritaan' di dalamnya. Secara ringkas, telah terjadi satu pembunuhan di bangunan tersebut di mana mayat seorang wanita telah ditanam di dalam sebuah dinding bangunan. Semenjak itu beberapa kejadian misteri telah berlaku seperti kematian serta banyak aral yang menyebabkan pembinaan bangunan tersebut tertangguh. Selepas 10 tahun pembinaan disambung semula dan menyaksikan berlakunya kembali beberapa gangguan. Gangguan telah terjadi kepada beberapa individu yang dikatakan pernah melihat pembunuhan tersebut tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan wanita berkenaan.

Kesian juga dengan mereka yang menjadi mangsa hanya kerana mereka pernah menjadi saksi peristiwa tersebut. Sedangkan individu yang bertanggungjawab membunuh serta menyimen mayat ke dalam dinding tidak menerima apa-apa gangguan. Tidak tercatat di mana-mana dalam novel ini individu yang menjadi culprit menerima sebarang gangguan bahkan siapa mereka turut menjadi misteri sehingga ke akhir cerita walaupun nama ketua mereka ada disebut pada akhir cerita. Maknanya 'hantu' berkenaan membalas dendam bukan pada orang sepatutnya walaupun tiga orang yang menganiaya beliau berada di dalam kedudukan dekat dengannya. Sedangkan mangsa-mangsa yang lain berada boleh dikatakan agak jauh dari tempat kejadian, kecuali watak Rusdi yang pada asalnya salah seorang daripada culprit bertiga tetapi menarik diri pada saat akhir, terutamanya watak Ariani yang hanya berada di luar bangunan tersebut semasa kejadian.

Kadang-kadang melihat perhubungan watak dalam novel ini keadaannya seperti Keluarga 69. Ada empat beradik iaitu Akma, Rezuan, Zairul dan Marini. Kesemuanya merupakan adik kepada wanita yang dibunuh. Zairul mempunyai kekasih bernama Ariani. Ariani merupakan orang atasan kepada Redzuan. Akma merupakan watak misteri pada awal cerita yang penulis lakarkan sekejap macam hantu dan sekejap tidak yang kerap 'mengganggu' watak Rusdi yang juga dikenali oleh Ariani sebagai rakan kerjasama dalam pembangunan Town Mall. Zairul mengenali watak Yusof apabila kerap menemani Mawar ke kedai buku dan Yusof merupakan rakan baik Marini. Redzuan juga kerap ke gym yang menjadi tempat bekerja Adha yang juga rakan baik Marini. Walaupun dihubungkan sedemikian rupa, watak ini tidak mengenal antara satu sama lain. Andainya Hasrudi tidak buat hubungan sedemikianpun rasanya jalan cerita tidak akan rosak sebab kaitan sedemikian tidak membawa apa-apa kepada hamba. Ini kerana hamba lebih ingin melihat pengakhiran yang berlaku epada para pembunuh bukannya mereka yang tidak sengaja berada pada waktu yang salah.

Sampai satu tahap hamba rasa bosan dengan cara hantu ini mengganggu mangsa-mangsanya. Almaklumlah wataknya ramai dan hantunya sekor tu sahaja. Sebab semua gangguan yang berlaku lebih kurang sama sahaja. Hantu boleh menyamar dan muncul walaupun di siang hari, Orang yang telahpun mati dilihat masih hidup (seperti yang berlaku kepada watak Rusdi dan Ariani), Kalau seram mesti ada ayat air liur terasa kesat bla bla bla, selepas ada gangguan biasanya ada ayat lebih kurang ... dan tanpa mereka sedari ada kelibat seperti pocong merenung dengan muka marah yada yada yada..., dua tiga watak yang ke tandas town mall yang pada mulanya ingatkan ada orang bersama rupanya tiada siapa, tandas kosong lepas tu tandas hujung terbuka sendiri, ada bunyi keriut dan keluarlah apa benda pun yada yada yada.... atau secara ringkasnya perkara yang lebih kurang sama berulang-ulang. Macam dah tak kreatif lansung hantu tu mengganggu manusia. Ini satu cabaran buat penulis yang suka menulis novel yang benar-benar tebal (novel ini melebihi 700 muka surat) agar tidak terlalu kerap mengulangi ayat atau peristiwa juga gangguan yang lebih kurang sama sehingga pembaca sudah boleh mengagak apa yang akan berlaku seterusnya.


1 comment:

  1. Sy pon rasa novel ni boring.. Boleh d kata kn bnyk cerita yg d tulis adalah hasil carian google cuma d olah sedikit dari cerita asal.. Kdng2 penulis spt syok sdn, bkn novel ni sj boleh d katakn smua novel beliau begitu.. Pada sy 1/5 bintang.. Dan bukan novel yg akn d baca buat kali ke 2

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...