Friday, January 1, 2016

LAWAN - Khairul Nizam Khairani


Andai kata novel ini merupakan sebuah filem, pasti ianya dikategorikan sebagai 18SG. Penuh dengan aksi ganas - pembunuhan - tembak di kepala, batang tubuh manusia dicabut sewenangnya, pertarungan sehingga merobohkan bangunan dan sebagainya. 

Apabila melihat nama penulis ini hamba seperti biasa tidak perlu untuk membaca sinopsis bukunya. Ambil sahaja ia dari rak pameran dan terus dimasukkan ke dalam bakul belian. Tidak ramai penulis novel yang hamba 'yakini' penulisan mereka dan penulis ini adalah salah seorang yang hamba yakin tidak akan mengecewakan pembaca. Membaca karya-karya beliau yang telah lalu, hamba pasti novel yang ini akan memberikan kepuasan pembacaan yang sama.

Jalan ceritanya mudah - sebuah organisasi rahsia di bawah polis yang digelar Luk 7 mempunyai tanggungjawab untuk mengawasi/mengintip aktiviti sebuah organisasi lain yang digelar ADAM atau Adiwira Malaysia. Namun rupanya segelintir individu di belakang Luk 7 mempunyai agenda yang tersendiri, mereka mengintip ADAM bukan bagi tujuan kebaikan sebaliknya mahu memastikan agar kegiatan mereka tidak akan diganggu oleh mana-mana superhero ADAM. 

Membaca keseluruhan cerita, sebagai pembaca yang turut mengikuti perkembangan semasa tanahair, kita tidak dapat tidak akan mengaitkan beberapa penceritaan di dalam novel ini dengan beberapa peristiwa yang benar-benar berlaku. Ia seperti demonstrasi oleh GANTI yang mahu PM meletakkan jawatan, Key El Ninjaz yang melakukan huru hara di dalam bandar dan sebagainya. Penulis mengambil inspirasi daripada peristiwa berkenaan dan berjaya menggarapnya menjadi sebuah penulisan yang baik. Terdapat juga beberapa unsur penceritaan yang mungkin juga diinspirasikan daripada beberapa buah filem Hollywood seperti Kapten Utama dan Teja yang mendapat kuasa adiwira mereka selepas terkena ribut kosmik - sama seperti yang dialami oleh Fantastic 4, kuasa yang dimilki oleh Ghost dan Man Pukau mungkin diinspirasikan daripada filem X-Men ataupun Heroes, Adiwira ini mempunyai markas sendiri sama seperti Fantastic 4 yang tinggal di bangunan Baxter, sifat tamak pemimpin yang mahu membina 'tentera masa depan' melalui penggunaan sut khas yang biasa ditemui dalam kebanyakan filem dan lain-lain lagi. 

Seperti yang dimaklumi, penerbitan FIXI membenarkan penggunaan bahasa slanga dan celupar. Nampaknya perkara ini telah digunakan oleh penulis untuk memasukkan unsur-unsur berkenaan sehingga ke tahap mencarut. Dan ini adalah kali pertama hamba membaca karya penulis ini yang terlalu banyak penggunaan bahasa sedemikian. Kita mungkin mengakui bahawa dalam realiti seharian, bahasa carutan banyak digunakan. Tetapi menggunakannya secara meluas di dalam penulisan, ia akan kekal di dalamnya dan akan menjadi tatapan ramai yang kita sendiri tidak tahu berapa ramai jumlahnya. Walaupun mungkin segelintir orang menyatakan bahawa masyarakat kita hari ini sudah pandai menilai mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi itu bukan alasannya untuk menghalalkan perbuatan berkenaan. Kalau yang membaca itu memang tahu membezakan antara yang baik dan buruk mungkin tidak menjadi masalah, tetapi bagaimana pula kalau yang membaca itu memang jenis bukan mumaiyiz - dan hamba rasa golongan ini ramai juga. Hari ini penulis mungkin tidak merasa apa-apa, namun apabila telah tua nanti dan cucu beliau membaca carutan ini adakah kita selesa mendengar mereka berkata, 'ah..atuk aku dulupun kuat juga mencarut...'

Karya ini masih lagi antara yang terbaik yang dihasilkan oleh Khairul Nizam Khairani.....kecuali bahasa kasar dan mencarut itu....


1 comment:

  1. Bahasa kasar dan mencarut itu memang tidak saya gemari untuk diletakkan didalam buku.. walau buku apapun.. sebab pada saya bahasa kita dah cukup indah..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...