Tuesday, January 19, 2016

MARIA - Emine Syenlikogiu



Novel ini boleh hamba golongkan dalam kumpulan novel-novel dakwah. Walaupun ada unsur cinta cuba diselitkan namun ia tidak begitu terasa, justeru tiada adegan berkasih-kasihan yang diselitkan di dalam penceritaan apatah lagi perasaan rindu dendam serta asyik mahsyuk. Novel tulisan Emine Syenlikogiu ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Mohd Rofizi Dollah.

Jalan ceritanya mudah. Seorang gadis Katholik bernama Maria yang hidup dengan bapa dan abang yamg menganut ateis serta seorang ibu yang menjadi pengikut gereja yang taat. Perkenalan dengan seorang pemuda Mesir yang sedang menuntut di Jerman mengubah kehidupannya. Walaupun cuba untuk menundukkan Abdul Wahab termasuk dengan membawa beliau berdebat dengan paderi, tetapi Abdul Wahab kelihatan begitu ampuh, bahkan paderi yang berdebat dengan beliau akhirnya kembali kepada Islam. Begitu juga ketika Maria dihantar bapanya ke Turki untuk berusaha menyelewengkan umat Islam, kembara itu menyaksikan beliau beralih kepada Islam yang diungkap oeh beliau dengan kata-kata 'saya kembali dari Istanbul sebagai sahabat  sedangkan saya diutuskan ke sini sebagai musuh yang sepatutnya menghancurkan Istanbul...'

Latar peristiwa adalah di sekitar tahun 30an di mana ketika itu menyaksikan Ataturk baru mengambil alih kuasa, rakyat Turki mula beralih kepada kebaratan, pemudinya tidak lagi malu untuk mendedahkan aurat termasuk menyertai pertandingan ratu cantik, arak dijual secara berleluasa, sesetengah orang mengaku Islam dimulutnya tetapi berkelakuan sebaliknya dan lain-lain lagi perubahan yang telah diciptakan barat untuk memusnahkan umat Islam di Turki. Watak bapa Maria yang digambarkan sebagai seorang penting dalam gerakan ateis serta usaha mereka mengingatkan hamba kepada gerakan freemason dan illuminati. Betapa mereka ini bergerak bukan sahaja mahu menghapuskan agama Islam, bahkan semua agama yang ada di dunia ini. Satu usaha mereka ketika itu untuk menghilangkan perasaan malu di kalangan umat Islam adalah dengan memperbanyakkan iklan-iklan yang memaparkan wanita seksi di dalam akhbar supaya masyarakat akan terbiasa dengan pemandangan tersebut. Apabila masyarakat sudah terbiasa maka hal berkenaan tidak akan menjadi apa-apa lagi sehingga masyarakat kemudiannya juga tidak lagi malu untuk berpakaian mendedahkan aurat kerana ia adalah suatu kebiasaan. Hal ini mengingatkan hamba kepada adegan bercium di dalam siaran televisyen kita. Ia adalah perbuatan yang telah dibiasakan di dalam siaran televisyen sehingga apabila ia timbul di kaca tv sekarang, maka orang akan melihatnya sebagai biasa sahaja. Mungkin kerana ada unsur seperti ini juga maka segelintir orang bodoh dalam masyarakat kita berani mengambil gambar mereka bercium (bahkan terdapat yang lebih daripada itu lagi) dan memaparkannya pula di internet. Lihatlah saudara sekelian, sekiranya hal ini berterusan dan menjadi kebiasaan dalam masyarakat, satu hari nanti anak cucu anda tidak akan ke mana kecuali menjadi jahanam perangainya. Dan ketika inilah akan ada manusia di sebelah sana yang akan ketawa kegembiraan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...