Thursday, March 3, 2016

LAGENDA WISMA PUNCA EMAS




Sekiranya orang Seremban tidak kenal dengan nama Wisma Punca Emas, rasanya dia bukanlah orang Seremban sejati. Satu ketika dahulu bangunan yang menempatkan ruang-ruang kedai ini amat meriah dengan pengunjung. Ia menjadi tumpuan lepak anak-anak muda terutamanya mat-mat rock serta mereka yang ingin menjahit pakaian mengikut rekaan yang terkini. Mat-mat rock mungkin suka mengunjungi dua kedai yang amat femes di kalangan mereka seperti Kodai Sopan dan Truwest, juga kedai-kedai game yang melata banyaknya. Siapa boleh lupa dengan kedai-kedai jahit tempat tumpuan anak muda serta pelajar sekolah untuk mendapatkan upah jahitan yang berkualiti dengan harga berpatutan terutamanya kedai jahit Johnson dan Zero One.

Bukan itu sahaja, kompleks ini dahulu juga meriah dengan banyaknya kedai game yang sentiasa dipenuhi dengan pengunjung, terutamanya remaja serta pelajar sekolah (termasuklah juga kaki ponteng). Di sinilah kebanyakan mereka menuntut ilmu bela diri yang dipelajari daripada mesin arked Street Fighter ataupun Tekken!! Lagipun harga sekali main dahulu agak murah, cuma 20 sen sahaja berbanding sekarang yang mencecah RM1.50 sekali main. Hamba teringat seorang teman yang gila bermain sehingga cedera tapak tangannya dan bernanah. Entah berapa lama agaknya tangan beliau memegang konsol sampai boleh melecet dan cedera.

Tapi hari ini bangunan perniagaan berkenaan kian sepi. Walaupun terletak di laluan jalanraya yang sibuk dilalui kenderaan, orang ramai seolah tidak lagi berminat untuk membeli belah di sini menyaksikan satu demi satu perniagaan mula gulung tikar atau berpindah. Ketika hamba outstation ke bandar ini beberapa hari yang lalu, sempat hamba singgah ke sini untuk ke sebuah kedai keset (zaman hamba dulu keset la yang paling popular sebelum adanya CD). Ternyata kedai ini merupakan satu-satunya penyewa asal yang masih lagi bertahan (termasuk kedai emas yang bersebelahan).

Sebenarnya tidak banyak barang jualan CD dan keset yang ada. Kesetnya banyak yang telah outdated, dengan warna sampul yang telah pudar. "Ambillah, RM4.00 saja" kata nyonya yang menjaga kedai. Hamba senyum kerana semua keset-keset lama berbahasa Inggeris yang ada bukanlah daripada genre yang hamba minat. Sambil melihat-lihat sekeliling kedai hamba berbual-bual dengan nyonya tersebut sambil menyebut kenangan zaman kanak-kanak hamba yang selalu berkunjung ke situ dahulu terutamanya pada hari Sabtu selepas selesai berkunjung ke perpustakaan awam yang terletak berhampiran. Dulu boleh beli kaset original dengan harga RM7.50 sahaja. Nampak murah harga itu tetapi ketika itu RM7.50 terasa amat mahal buat seorang pelajar sekolah. Nyonya itu nampak teruja tetapi sayu apabila menyebut tentang kompleks itu yang kian sepi. "Aiyaa wa sudah tua la" kata nyonya berkenaan apabila hamba mahu mengambil gambarnya. Nyonya itupun sudah 70 tahun umurnya dan dapat hamba rasakan bahawa tiada waris beliau yang berminat untuk meneruskan perniagaan.

Hamba melangkah keluar meninggalkan bangunan itu bersama sebuah kenangan lalu dengan sekeping CD XPDC terselit di tepi....




5 comments:

  1. Perlu diketahui bahawa terdirinya Wisma Punca Emas adalah di atas keruntuhan sebuah institusi pendidikan yang mungkin boleh diiktiraf sebagai Tapak Warisan Negara.Ini ialah bangunan Sekolah SPI(St.Paul's Institution )

    ReplyDelete
    Replies
    1. St pauls and convent destroyed for greed but god is great.

      Delete
    2. St pauls and convent destroyed for greed but god is great.

      Delete
    3. saya bekas pelajar SPI(Primary) 1983-88, tapi dah berpindah ke Jalan Bkt Labu, saya ingin sekali lihat gambar SPI lama di tapak Wisma Punca Emas ini kalau sdra ada simpan gambar2 lama SPI

      Delete
  2. Perlu diketahui bahawa terdirinya Wisma Punca Emas adalah di atas keruntuhan sebuah institusi pendidikan yang mungkin boleh diiktiraf sebagai Tapak Warisan Negara.Ini ialah bangunan Sekolah SPI(St.Paul's Institution )

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...