Monday, March 7, 2016

PERCUTIAN KE DESTINASI PALING MACET DI DUNIA



Kerajaan kita amat menggalakkan rakyat untuk bercuti di dalam negara. Dan hamba rasa ramai yang menyahut seruan itu terutamanya pada musim cuti sekolah atau mana-mana cuti umum yang bersambung dengan hari kelepasan mingguan. Begitu ramainya rakyat kita yang keluar bercuti, seringkali menyebabkan berlakunya kesesakan di jalan raya. Walaupun jalan raya di tanah air kita boleh dianggap luas, namun pertambahan kenderaan dapat dilihat meningkat dari hari ke hari. Anak-anak kita yang telah menamatkan pengajian akan menjadikan pembelian kenderaan sebagai target utama mereka apabila telah mendapat pekerjaan. Kemudahan pembiayaan, pilihan kenderaan yang bersesuaian dengan bajet, kenderaan terpakai yang agak murah menjadi faktor penting peningkatan pembelian kenderaan menjadikan kemudahan awam seolah terpinggir dalam diam walaupun kualiti perkhidmatan mereka agak baik juga.

Sebenarnya suasana ini telah menjadikan percutian bukan lagi perkara yang menyeronokkan. Kesesakan yang berlaku telah menyebabkan kita lebih banyak menghabiskan masa di atas jalan raya berbanding bergembira melawat tempat-tempat yang telah dirancang. Kesudahannya masa lawatan di sesuatu tempat terpaksa dipendekkan akibat daripada masa yang telah banyak dibazirkan di atas jalan ataupun tidak banyak tempat yang boleh dikunjungi dalam sehari selain menyebabkan kepenatan yang bersangatan terutamanya kepada pemandu kenderaan.


Cameron Highland tidak terkecuali menjadi salah satu tarikan pelancongan yang terkenal di negara kita. Walaupun suhunya tidaklah sesejuk mana berbanding berpuluh tahun yang lalu - akibat faktor manusia juga yang rakus menjarah bumi untuk keuntungan - ia tetap menjadi tempat yang menarik untuk dilawati serta berehat seketika darkepenatan bekerja. Namun melawat Cameron Highland kadangkala boleh menjadi sesuatu yang amat menjengkelkan. Kesesakan yang berlaku lebih hebat daripada bandaraya Kuala Lumpur lagi.

Dalam satu lawatan pada penghujung tahun lalu, hamba yang berhenti di sebuah masjid di Kampung Raja mula bergerak dari sana menuju ke Tanah Rata yang jaraknya hanya 12 km pada jam 6.30 petang. Ya, 12 km bukanlah satu jarak yang jauh, tetapi kesesakan yang berlaku telah menyebabkan hamba sampai ke destinasi hampir jam 10.30 malam! Amatlah azab berada di dalam kereta yang gearnya berfungsi secara manual, bergerak sedikit demi sedikit umpama siput menuju ke destinasi. Pada mulanya hamba menjangkakan tentulah ada berlaku kemalangan yang besar, namun ia cuma berpunca daripada sebuah pasar malam di tengah pekan.


Hamba percaya masalah kesesakan ini telah sedia dimaklumi oleh pihak berwajib di sana. Tetapi hamba tidak melihat sebarang anggota polis  bertugas cuba menyuraikan kenderaan walaupun punca kesesakan itu betul-betul berlaku di hadapan kuarters mereka. Sudahlah kita kepenatan beratur, ada pula pemandu yang tidak bersivik memotong barisan dengan sewenangnya tanpa mempedulikan bahaya kepada kenderaan yang lain. Yang memotong pun boleh tahan besar dan mahal keretanya tetapi sayang kecil otaknya. Perjalanan jarak pendek tetapi mengambil masa hampir 4 jam yang telah hamba lalui memberikan gambaran bahawa CH kini menjadi destinasi pelancongan paling macet di dunia. Tiada lagi keseronokan untuk berkunjung ke tempat-tempat yang menarik. Yang ada hanyalah kepenatan yang begitu melelahkan.

Pihak berkenaan........tolonglah lakukan sesuatu!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...