Selasa, 22 Mac 2016

SEORANG BOSS BERNAMA BALACHANDRAN



Tanggal 11 Mac baru-baru ini merupakan hari terakhir bagi Pengarah Kesihatan Negeri (PKN) Selangor YBhg Dato' Dr Balachandran a/l Satiamurti berada dalam perkhidmatan kerajaan sebelum bersara selepas lebih 30 tahun menabur bakti kepada negara. Secara kebetulan tarikh berkenaan juga merupakan hari terakhir hamba berada di jabatan berkenaan sebelum bertukar ke ibu pejabat kementerian pada minggu berikutnya.  Justeru majlis perpisahan beliau yang diadakan pada sebelah malam hari yang sama hamba anggap seperti majlis hamba jua adanya.....Walaupun berlatarbelakangkan bidang perubatan lebih separuh daripada tempoh perkhidmatan beliau dihabiskan dengan kerja-kerja pengurusan. Ketika ditanya apakah yang beliau 'miss' ketika berada dalam perkhidmatan, beliau tanpa ragu-ragu menyatakan beliau rindu saat-saat memeriksa pesakit.



Apabila PKN sebelum beliau, YBhg Dato' Dr Azman, bertukar ke ibu pejabat, kami di jabatan tertanya-tanya tentang bakal pengganti beliau. Apakah kami akan mendapat pengganti yang sebaik dan berkaliber seperti Dr Azman ataupun tidak. Tidak dapat hamba lupakan apabila pada hari pertama Dato' Dr Balachandran hadir ke pejabat, beliau 'melapor diri' dengan hamba apabila pegawai kanan yang lain mempunyai komitmen di luar. Memang menggelabah puyuh hamba ketika itu kerana terperanjat sehingga tak tahu apa yang hendak dilakukan. Lalu hamba beri penerangan serba sedikit tentang jabatan sebelum membawa beliau meninjau ke sekitar pejabat. Kenangan tersebut beliau bangkitkan kembali di hadapan isterinya apabila kami berada di dalam holding room sebelum bermulanya majlis perpisahan beliau.



Mengetahui beliau seorang vegeterian sepenuh masa, hamba meminta agar jamuan yang diadakan dalam setiap mesyuarat yang beliau pengerusikan turut disediakan hidangan khas untuk beliau. Bahkan dalam jamuan hari raya jabatan yang berkonsepkan gerai makanan, hamba mengadakan sebuah gerai khas yang menyediakan juadah vegeterian. Dan hamba masih ingat lagi komen beliau, ".......tentu you all buat ini semua sebab saya kan...."

Sepanjang beliau bertugas, hamba, boss dan rakan-rakan di Bahagian Pengurusan telah sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang terbaik serta membantu beliau di dalam segala urusan jabatan. Ternyata beliau amat menghargai seluruh anggota di Bahagian Pengurusan dan menganggap bahagian ini rapat dan banyak membantu beliau. Justeru beliau sempat mengadakan satu jamuan makan khas buat anggota Bahagian Pengurusan sahaja tanpa melibatkan bahagian lain. Ini secara tak lansung merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai harganya daripada seorang ketua jabatan serta pengiktirafan di atas kerja yang telah dijalankan selama ini.

Hamba percaya kakitangan jabatan akan merindui kehadiran beliau. Amat jarang sekali beliau memanggil hamba ke bilik beliau untuk berbincang. Sebaliknya beliaulah yang sering datang sendiri ke bilik hamba untuk bertanyakan sesuatu. Tahu-tahu sahaja sudah terpacul di muka pintu. Sesungguhnya YBhg Dato' Dr Balachandran adalah merupakan salah seorang boss yang hamba selesa bertugas di bawahnya. Kepimpinan beliau yang mengutamakan suasana ceria dalam bekerja akan cuba hamba contohi dan bawa di mana sahaja tempat hamba bertugas nanti.

Selamat bersara Dato'!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...