Friday, March 18, 2016

SERIBU WAJAH DR MAHATHIR

Dalam seminggu dua ini,  cerita  mengenai bekas Perdana Menteri ke-empat Tun  Dr Mahathir Muhammad kembali hangat. Semuanya gara-gara beliau duduk bersama tokoh pembangkang melancarkan Deklarasi Rakyat  bagi menyingkirkan Perdana Menteri yang ada sekarang. 

Akibat tindakan beliau tersebut, Tun M menerima kritikan yang hebat termasuk daripada mereka yang pernah  bekerja dengan beliau suatu masa dahulu serta mereka yang pernah dilihat sebagai penyokong kuat beliau. Ia seterusnya membawa kepada penyingkiran beliau sebagai pengerusi Petronas dan yang terbaru disingkirkan daripada penaung MUBARAK. 

Hamba bukannya mahu mengulas mengenai suasana ini. Dalam kehangatan isu ini hamba terjumpa a buku ini yang diterbitkan beberapa bulan selepas Tun M bersara. Buku Seribu Wajah Mahathir adalah merupakan himpunan 1000 keping gambar beliau yang diambil oleh pelbagai pihak, terutamanya para jurugambar akhbar-akhbar tempatan. Ia pada  mulanya dipamerkan dalam Pameran 1000 Wajah Dr Mahathir Muhammad yang diadakan di Balai Seni Lukis Negara (kini Balai Seni Visual Negara) dalam bentuk cetakan kanvas dengan saiz yang besar. 





Hamba masih ingat mengunjungi pameran tersebut bersama rakan sepejabat. Hamba ingat kerana sewaktu berada di tempat parking, rakan hamba telah diserang oleh seorang lelaki yang tidak waras sebelum kami dibantu oleh pengawal keselamatan yang bertugas. Kejadian tersebut rupanya telah dilaporkan kepada Ketua Pengarah Balai dan beliau telah datang bertemu kami untuk bertanya khabar serta meminta maaf di atas kejadian tersebut. Saya dan rakan amat berbesar hati dengan kerendahan diri beliau dan tidak menganggapnya sebagai satu kesalahan pihak Balai. 

Melihat gambar-gambar Tun dalam cetakan besar sebenarnya lebih mengujakan daripada melihatnya di dalam buku. Tambahan pula buku ini dibuat dalam 266 muka surat sahaja menyebabkan 1000 gambar yang dimuatkan terpaksa dicetak kecil dan berkongsi muka. Gambar - gambar yang dipaparkan bermula daripada hari Tun Hussein On  mengisytiharkan Tun M sebagai pengganti beliau sehinggalah pada hari persaraannya pada 2003.


Melalui buku ini tiada siapa dapat menafikan sumbangan besar yang telah dicurahkan oleh Tun kepada negara. Namun situasi hari ini telah menyebabkan segala jasa beliau seolah dilupakan. Tapi percayalah bahawa apa yang telah disumbangkan oleh beliau terlalu hebat dan masih belum lagi dapat ditandingi oleh mana-mana perdana menteri lagi. Walau apa pun, sebagai rakyat hamba mendoakan agar segala krisis yang berlaku di negara kita akan dapat diselesaikan dengan baik. Semoga Allah mengurniakan kepada kita pemimpin yang soleh yang bukan sahaja dalat memimpin rakyat dengan baik bahkan mendidik mereka  ke arah kebaikan. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...