Tuesday, April 19, 2016

JANGAN BIARKAN SURAU INI ROBOH - Taufiqurrahman Al-Azizy



Sejak berpindah ke tempat kerja yang baru ini, hamba kehilangan waktu untuk membaca. Ini dapat dilihat daripada jumlah buku yang dibaca pada bulan ini dan bulan lalu yang bagi hamba di tahap yang agak mendukacitakan. Buku ini sahaja berminggu untuk hamba menyudahkannya walaupun sepatutnya ia boleh disudahkan dalam masa sehari dua sahaja. Walau apapun, persekitaran kerja dan suasana kerja yang baru sebenarnya bukanlah alasan yang bagus untuk tidak membaca. Hamba perlu menyesuaikan diri dengan segera agar hobi membaca ini dapat diteruskan seperti sediakala.

Apabila hamba membaca tajuk novel ini, hamba membayangkan ia adalah kisah perjuangan seseorang untuk membela sebuah surau yang akan dirobohkan sama ada disebabkan pembangunan ataupun perebutan tanah sesama keluarga. maka seluruh isi perbicaraan novel akan tertumpu kepada perkara tersebut. Ya, memang perkara tersebut ada terkandung di dalam novel ini. Tetapi hamba tidak melihat ia sebagai titik penumpuan penceritaan. Sebaliknya kisah perjuangan membela surau ini hanya sebagai kisah sampingan sahaja dan penceritaan pembelaannya juga tidaklah nampak agresif.

Bahkan novel ini sebenarnya adalah sebuah novel cinta, sesuatu yang membantutkan mood pembacaan hamba - mungkin ini juga faktor yang menyebabkan hamba mengambil berminggu lamanya untuk menamatkan pembacaan. Walaupun kisah cinta yang dipaparkan bukanlah jenis mengarut seperti kebanyakan novel picisan, hamba terasa seolah terpedaya dengan tajuk novel ini.

Ibrahim adalah hero novel ini, jejaka kampung yang dilukis seperti tidak mempunyai cita-cita tinggi, hanya mahu tinggal di kampung tetapi mempunyai semangat untuk belajar agama yang tinggi. Tersepit untuk mencari suri di hati, pada mulanya mencintai Partinah tetapi akhirnya terluka selepas Partinah berdua-duaan dengan abangnya sendiri - Yusof, yang digambarkan sebagai harapan keluarga serta jejaka idaman Malaya. Kemudiannya bercinta pula dengan Sarah yang akhirnya ditebuk juga oleh abangnya si Yusof.

Ketika bercinta dengan Sarah, Ibrahim satu ketika telah diusir dari kampung halaman. Di perantauan nasibnya berubah apabila pengetahuannya dalam ilmu agama dihargai masyarakat sehingga beliau menjadi penceramah yang disegani. Ketika kejayaan telah digenggami itulah beliau pulang semula ke kampung halamannya bagi mendapatkan semula Sarah. Namun apabila diketahui bahawa Sarah bukanlah seperti yang dikenalinya dahulu, Ibrahim menjadi sangat berdukacita, berkurung di dalam bilik dan hanya keluar untuk berwudhuk, tidak lagi menghiraukan makan dan minum sehingga memudaratkan dirinya.

Bagi hamba keadaan Ibrahim selepas patah hati adalah amat mengecewakan apabila berlaku kepada seorang ahli agama. Nampak lemah sangat watak Ibrahim. Seolah ilmu yang dipelajarinya tidak berjaya untuk menjadikan beliau seorang lelaki yang tabah dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Namun Ibrahim di dalam novel ini terus hanyut dalam kelukaan sehingga membawa kepada kematiannya. Walaupun sesebuah cerita itu tidak semestinya berakhir dengan  happy ending, tetapi pengakhiran Ibrahim adalah sesuatu yang amat mengecewakan. Betapa teruknya apabila ahli agama digambarkan lemah sebegitu rupa.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...