Saturday, June 4, 2016

MAT SOM - Lat



Mat Som karya Dato Lat ini pertama kali hamba membacanya adalah pada sekitar pertengahan 90an kalau tak silap. Justeru apabila melihat buku ini ada dibuat cetakan terbaharunya di kedai buku, hambapun ambil satu untuk buat bacaan. Memandangkan ketika ia dijual buku ini dibalut dengan plastik lutsinar, hamba tidak berpeluang melihat isi kandungannya. Ternyata Mat Som warna biru ini adalah edisi bahasa inggeris kerana edisi bahasa Melayu yang pernah hamba baca dahulu berwarna oren pada latar warna kulitnya.


Buku Mat Som edisi bahasa Melayu
Perasaan itu berlainan apabila membaca edisi bahasa inggeris. Ini kerana lawak sebenarnya terletak pada buku edisi bahasa Melayu. Membaca edisi bahasa inggeris terasa sedikit kaku walaupun ia cuba diterjemah mengikut konteks asalnya. Hamba suka mencadangkan agar pembaca memilih edisi bahasa Melayu dahulu sebelum menghayati edisi bahasa inggeris agar dapat menghayati lawaknya dengan lebih baik.

Kisah Mat Som bukanlah sebuah kisah yang berat. Disampaikan dalam bentuk santai dengan gaya lukisan yang simple. Peminat Dato Lat tentunya sudah biasa dengan gaya beliau yang melukis dengan garis-garis yang kasar, karekter watak seperti gaya 60an yang terdiri daripada pelbagai bangsa serta menyelitkan elemen-elemen kampung serta suasana persekitarannya. Mat Som digambarkan sebagai seorang anak kampung yang hidup di Kuala Lumpur sebagai seorang penulis bebas. Hidupnya tidak menentu, pendapatan yang tidak seberapa sehingga memaksanya menumpang di rumah Sood. Permintaan bapanya untuk beliau rapat dengan Wan Faridah membuatkan beliau dalam dilema. Dalam masa yang sama seorang gadis sebelah rumah yang bernama Yam menarik perhatiannya.

ihsan Wikipedia
Kisah Mat Som pernah difilemkan dengan Imuda serta Tiara Jacquelina memegang teraju utamanya. Membaca buku ini perlu dibuat bersekali dengan menonton filemnya. Ia amat penting terutamanya untuk menghayati bait-bait sajak yang ada di dalam buku ini. Membaca sajak T.Alias Talib yang dideklemasikan oleh Pyanhabib di dalam buku ini tentunya tidak seperti menikmati deklemasi beliau di dalam filem. Apatah lagi sajak Tak Tun oleh A. Ghafar Ibrahim yang hanya mengandungi dua perkataan - tak dan tun sahaja- tentunya lebih dihayati apabila menonton filem berkenaan. Namun babak akhir di dalam buku yang memaparkan Mat Som dan Yam di konsert Ramli Sarip diganti dengan konsert Wings dalam versi filem, namun yang rock Mat Som tetap memakai baju Melayu lengkap ketika menontonnya. Hamba tidak pasti adakah filem penuh Mat Som ada di dunia maya. Tetapi menontonnya membantu dalam memberi penghayatan yang lebih walaupun mutu lakonan imuda dalam filem ini biasa-biasa sahaja.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...