Wednesday, October 5, 2016

GILA-GILA, GAYA DAN TEMA KARTUN - Muliyadi Mahamood



Rasanya tiada pengkaji yang begitu serius membuat kajian tentang industri kartun Malaysia setakat ini seperti penulis buku ini. Bahkan beliau telah melahirkan beberapa buah buku yang berkaitan industri serta sejarah kartun tanahair, terutamanya yang berkaitan dengan majalah Gila-Gila. Buku ini merupakan salah satu lagi kajian beliau yang dilakukan sewaktu mengambil cuti sabatikal sekitar Ogos 2009 hingga Ogos 2010. Justeru kajian terhadap majalah Gila-Gila dibataskan sehingga tahun 2008 sahaja. Walau bagaimanapun kajian ini hanya diterbitkan dalam tahun 2016 yang memungkinkan banyak lagi sebenarnya perubahan yang berlaku di dalam majalah ini dari 2008 sehingga 2016.

Walaupun hampir menyerupai gaya persembahan majalah MAD pada awal penerbitannya, gaya persembahan Gila-Gila mempunyai identiti Malaysia dan semakin bermutu dari hari ke hari. Majalah ini kelihatan begitu gagah sehinggakan banyak majalah humor sama ada yang sebelum, seangkatan ataupun juniornya telahpun menamatkan penerbitan. Cuma pada hari ini hamba rasa jualannya tidak lagi serancak dahulu. Penerbitannya daripada dua kali sebulan telahpun menjadi sekali sebulan semenjak 10 tahun yang lalu. Kalau berkunjung ke kedai buku, terlalu sukar untuk menjumpainya di rak rak pameran. Kalau adapun, kelihatan seperti tidak berusik dan berterusan ada di rak yang sama sehinggalah digantikan dengan keluaran yang akan datang.

Melalui buku ini Muliyadi memaparkan perkembangan majalah ini berdasarkan gaya dan tema kartun yang dibahagikan kepada beberapa bab mengikut dekad. Muliyadi meneliti secara terperinci tentang tenaga kartunis yang ada pada dekad berkenaan, ulasan mengenai persembahan keseluruhan majalah serta khusus terhadap kartunis tertentu serta kehebatan persembahan sesuatu cerita/kartun atau pelukisnya. Bermula dengan hanya beberapa kartunis pengasas, majalah ini terus berkembang dengan kemunculan beberapa lagi kartunis baru selepas itu. Bahkan ada antaranya yang hamba anggap berstatus killer kerana daya tarikan yang ada pada persembahan kartun merekalah yang membuatkan orang ramai berterusan memberikan sokongan terhadap majalah ini.

Gila-Gila turut memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengetengahkan bakat mereka melalui beberapa ruangan persembahan bakat seperti Mekar Di GG, Senyum Skot, Senyum Felda, Makwe Korner, Pakwe Korner dan banyak lagi ruangan. Ruangan ini selain menjadi tapak untuk mengetengahkan bakat juga merupakan satu tarikan marketing untuk beberapa golongan tertentu seperti Senyum Skot yang khas untuk pasukan bersenjata. Ruangan ini juga telah melahirkan beberapa kartunis berbakat yang akhirnya mengisi kerusi kartunis di majalah Gila-Gila itu sendiri.

Tidak lengkap bercerita mengenai majalah ini tanpa menyebut satu nama besar iaitu Ujang. Karya Ujang yang hamba ikuti semenjak pengelibatan awalnya dalam Gila-Gila telah memberikan satu impak yang besar terhadap perkembangan majalah ini. Gaya persembahan yang bersahaja dengan idea yang lucu menjadikan pelukis dari Negeri Sembilan ini menjadi aset yang berharga buat Gila-Gila. Kelahiran beberapa kartun ikon seperti Aku Budak Minang, Aca dan Atuk menguatkan kedudukan Ujang. Bahkan kartun Atuk masih terus dilukis oleh orang lain walaupun Ujang telahpun meninggalkan Gila-Gila pada pertengahan 90an. Namun bukan sahaja Ujang yang menjadi tulang belakang penguat majalah ini, kartunis lain juga tidak kurang hebatnya terutamanya kartunis-kartunis pengasasnya serta penghulu majalah ini sendiri - Rejabhad.

Sekiranya diteliti, kartunis besar ini mempunyai identiti yang tersendiri dalam lukisan mereka. Mereka menghasilkan gaya lukisan mereka sendiri mengikut acuan Malaysia tanpa terpengaruh dengan gaya lukisan orang lain seperti gaya manga atau manhwa. GG telah memberikan penghormatan yang tertinggi kepada kartunis Rejabhad, seorang kartunis veteran yang telah bersama menerajui majalah ini semenjak awal penerbitannya. Hamba sewaktu melawat pejabat GG pada awal 90an melihat Rejabhad diberikan sebuah ruang seperti bilik kecil untuk beliau berkarya. Ia kelihatan bersepah serta penuh dengan pelbagai barangan, majalah, keratan kartun yang mana beliau sifatkan tempat itu umpama sebuah arkib kartun. Keunikan Rejabhad adalah pada penceritaannya yang kelihatan seperti hikayat Melayu dahulukala dengan gaya bahasa Melayu yang baik dan tersusun.

Apabila kartunis Ujang melahirkan sebuah majalah yang menggunakan namanya sendiri, hamba lihat senario kartun tanah air sedikit berubah. Gaya persembahan yang baharu dengan penampilan kartunis-kartunis mantap telah berjaya mencuri sebahagian besar peminat majalah GG ke majalah baharu ini. Biasanya dahulu kita ini tak banyak duit, jadi apabila telah membeli sebuah majalah, maka majalah yang lain tidak akan dibeli. Itu turut menyumbang kepada penurunan edaran GG. Apa yang penting di sini ialah majalah baharu tersebut telah menampilkan kelainan dan kelainan itu berjaya menarik minat orang ramai. Kartunisnya diberikan nama baharu yang menyerupai nama sayuran, watak ikon Din Beramboi yang amat lucu, kartunis berbilang bangsa di mana pada permulaannya Ujang mempunyai beberapa orang kartunis bukan Melayu yang agak mantap juga persembahan mereka.

Dalam buku ini Muliyadi turut mengulas mengenai masa depan dan hala tuju majalah ini dalam bab Kartun Gila-Gila Tahun 200-2008 yang ketika itu mendapat saingan yang cukup kuat daripada pesaingnya. Hamba merasakan bab ini Muliyadi seumpama memberikan peringatan (dibaca amaran) bahawa sekiranya GG tidak membuat sebarang perubahan maka ia akan terus ditinggalkan. Hamba berpandangan GG tidak mengambil iktibar akan hal ini. Kengganan mereka untuk berubah serta masih kekal dengan gaya persembahan lama tidak bebarapa berjaya menarik pembaca yang baru, sementara pembaca yang lama mungkin sudah meninggalkan majalah ini mungkin kerana faktor usia. Hamba rasa pengurusan GG maklum akan hal ini dan tahu akan puncanya. Tetapi apabila mereka masih lagi tampil dengan idea dan gaya yang sama hamba merasakan bahawa mereka tidak mahu berubah. Cubalah beli senaskhah majalah GG pada tahun 2016 ini dan hamba percaya gaya persembahan mereka masih seperti itu juga dan tidak banyak berubah dari yang dulu. 

Dekad permulaan sehingga pertengahan 90an merupakan zaman emas majalah ini. Selepas itu ia mula susut sehingga kini. Ketika bertemu salah seorang bekas kartunis GG beberapa bulan yang lalu, beliau menyatakan pada zaman kegemilangan mereka, mereka itu umpama seorang arits terkenal dan begitu dikenali. Apabila berpeluang membuat promosi di sesuatu tempat yang jauh, mereka diberi kemudahan penerbangan dan hotel penginapan. Para peminat menyambut mereka dengan meriah di lokasi. Hari ini beliau terpaksa berusaha keras untuk kelansungan hidup dengan menjadi pelukis karikatur jalanan.

GG boleh menjadi fenomena semula seandainya mereka berani untuk berubah!!!!

1 comment:

  1. Pada awal 90an saya adalah peminat majalah Gila-Gila. Tidak ketinggalan mendapatkan setiap naskhah keluaran setiap kali berada dipasaran. Namun ia berubah apabila majalah Ujang diterbitkan. Langsung saya lupakan Gila-Gila. Setahun dua kebelakangan ini saya cuba merapati kembali Gila-Gila, saya akui Gila-Gila sudah tidak macam dulu seperti pada zaman gemilangnya. Isi kandungan yang agak hambar seperti banyak kekurangannya. Namun saya tetap mengikutinya dengan membelinya semula pada setiap bulan. Saya cuba menyokong semula majalah ini walaupun saya tidak berpuas hati dengan kekurangan isi kandungannya. Dalam pada itu berharap akan ada perubahannya. Jelas sebulan dua ini Gila-Gila nampak ada perubahannya. Mungkin kerana ada pihak yang ingin meneruskan kelangsungan majalah ini dalam keadaan atau suasana yang semakin lesu. Tahniah kepada mereka ini. Kepada anda yang masih sangsi sila dapatkan semula Gila-Gila terbaru kerana ada sesuatu yang sedikit lain. Harap ia berterusan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...