Sabtu, 3 Disember 2016

INAYAH - Maria Kajiwa



Hamba rasa novel ini merupakan novel Maria yang paling ringan dan simple berbanding novel beliau yang lain yang pernah hamba baca seperti Suara Tengah MalamLengloi dan Puja. Cerita yang dibawakan juga biasa ditemui dalam file ataupun novel yang lain - kisah sebuah keluarga yang mendapat gangguan setelah berpindah ke rumah yang baru dan gangguan tersebut pula mempunyai sejarah asal usul yang lalu. Tiada debaran atau jalan cerita yang mencabar seperti tiga novel beliau yang hamba sebutkan tadi. Walau bagaimanapun Inayah masih boleh diterima, ditulis dengan baik dan dapat dihadam oleh pembaca.

Inayah adalah nama watak seorang wanita sekitar 40an yang telah mati dibunuh dan bangkit menghantui sebuah rumah yang dikatakan dibina di atas tapak rumahnya. Walau bagaimanapun watak Inayah tidaklah terlalu dominan berbanding watak lain seperti Aisha dan keluarganya. Namun nama ini dipilih sebagai tajuk novel.

Muhammad, Aisha serta anak mereka Umar dan Adam telah berpindah ke sebuah rumah setelah sekian lama menetap di New York. Walaupun ibu Muhammad lebih suka mereka tinggal dengannya tetapi Aisha memilih untuk hidup berdikari di rumah sendiri. Di sini Maria membawakan konflik antara ibu mertua dan menantu, kepercayaan karut, kebergantungan kepada bomoh serta adat yang kuat pada Suraya, ibu mertua Aisha. Ia dapat dilihat daripada tindakan Suraya yang memandai-memandai membawakan bomoh untuk menyemah rumah baru Aisha serta menghalau roh jahat yang menghuninya. Lebih menarik Maria cuba menyampaikan bahawa bomoh itu juga tahu bahawa beliau sebenarnya tidak mampu bahkan sampai kepada peringkat tidak yakin akan apa yang beliau lakukan. Ini satu tempelak kepada segelintir masyarakat kita yang mudah terpedaya dengan bomoh yang hanya mencari untung peribadi.

Aisha ingin memperbaiki kehidupannya ke arah hidup yang beragama. Rumah mereka yang berhampiran masjid menjadikan beliau lebih teruja. Berbeza dengan suami beliau yang umpama tidak kisah sahaja dan tidak terlalu menghiraukan permintaan Aisha. Bahkan aduan Aisha tentang rasa misteri yang melanda rumah itu juga tidak berapa dihiraukan oleh Muhammad. Maria juga membawakan mesej akan kepentingan hidup berjiran serta perlunya jiran mengambil tahu akan susah payah yang dihadapi oleh jiran yang lain. Dalam hal ini gangguan yang berada pada rumah Aisha berkenaan sudah dimaklumi oleh penduduk lama di situ. Walaupun bantuan mereka secara tidak lansung pada permulaannya seperti dilihat dingin (atau membuatkan Aisha salah sangka), namun semangat kejiranan inilah yang membantu keluarga ini akhirnya.

Inayah pada zamannya mempunyai dua orang anak. Suaminya seorang tentera dan telah terkorban dalam satu pertempuran. Beliau tinggal di sebuah rumah yang mempunya sebatang pokok tunjuk langit yang didirikan buaian. Kecantikan beliau telah menjadikan ramai lelaki gila bayang termasuklah ketua kampung sendiri, Pak Hazman. Beliau kemudiannya diperkosa dan kemudiannya dibunuh bersama kedua orang anaknya. Lokasi beliau dibunuh adalah di sebuah hutan yang merupakan tempat pemujaan Pak Hazman. Menurut Maria lokasi hutan itu akhirnya dimajukan dan akhirnya menjadi perumahan tempat tinggal Muhammad dan Aisha. Di sini hamba sedikit keliru kerana rumah Inayah yang sebenar yang mempunyai pokok yang dipasangkan buaian bukanlah di hutan tersebut.. Ini kerana di tapak asal rumah Inayahlah didirikan rumah Muhammad memandangkan pokok tunjuk langit itu sejak asal memang berada di situ. Ia tidak dapat ditebang oleh pemaju kerana dikatakan keras. Bahkan penunggunya telah meminta dipasangkan sebuah buaian (sama seperti keadaan ketika Inayah masih hidup di mana buaian itu menjadi tempat permainan anak-anaknya). Mungkin Maria tidak sedar akan kesilapan kecil ini atau mungkin beliau mempunyai jawapannya yang tersendiri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...