Friday, January 6, 2017

SEBUAH HOTEL YANG GHAIB

Trivago masih lagi memaparkan nama hotel berkenaan seperti cetakan skrin yang diambil pada 6 Januari 2017. Walau bagaimanapun fungsinya dipadamkan dengan kenyataan no deals at this time.



Pada cuti sekolah bulan Disember yang lalu hamba telah pergi bercuti bersama keluarga ke Langkawi. Percutian ini dirancang pada saat akhir memandangkan kesibukan hamba dengan tugasan. Namun segala urusan penginapan telahpun hamba selesaikan menggunakan perkhidmatan laman Trivago. Sebuah hotel kecil bernama One Motel & Cafe hamba tempah untuk penginapan selama dua malam. Melihatkan lokasinya yang berada berhampiran pekan Kuah dan terdapat banyak restoran di sana maka hamba merasakan hotel ini merupakan satu pilihan yang tepat.

Walaupun tiba sekitar jam 2 di jeti Kuala Perlis, hanya pukul 3.30 baru ada perkhidmatan feri yang kami boleh naiki. Maknanya kami akan tiba lewat ke pulau. Walaupun telah menempah kenderaan, tapi hamba memperolehinya agak lewat memandangkan ketika itu jalan di Langkawi jem dengan kenderaan. Sememangnya waktu pemergian hamba itu merupakan cuti umum yang bersambung dengan hari kelepasan am. Maka untuk masa pergi mengambil kenderaan dan mendapatkan semula keluarga di jeti telah banyak terbuang.

Selesai memasukkan barang, dalam fikiran hanya terbayangkan hotel dan bilik mandi sahaja. Rasa ingin berehat serta menyegarkan diri setelah penat seharian dalam perjalanan. Berpandukan waze, hamba menyusuri jalan membawa ke destinasi tujuan. Tetapi sudah dua tiga kali hamba berlegar di akwasan seperti yang tertera di alamat yang diberikan, tetapi lansung hamba tidak nampak bayang lansung hotel yang telah ditempah. Lalu hamba ambil keputusan untuk bertanyakan sesiapa. Hamba masuk ke sebuah hotel kecil yang ada di situ dan bertanya dengan seorang pemuda yang bertugas di kaunter.

"Saya pun tak tau bang," kata beliau sambil menggelengkan kepala. Hamba jadi keliru seketika. Fikiran hamba sudah mula membayangkan yang negatif. Mustahil pekerja hotel di Langkawi tak pernah mendengar nama hotel ini apatah lagi alamat yang hamba perolehi adalah dalam kawasan yang sama dengan hotel beliau bertugas.

"Semalam pun ada sorang kakak datang bertanyakan hotel yang sama", sah, hamba dapat rasa hamba telah kena kelepet.

Hamba dan isteri berusaha pula mendail nombor hotel tersebut. Setelah agak lama mendail, panggilan akhirnya disambut oleh seorang lelaki cina. Kenyataan beliau bahawa hotel itu tidak ada sudah cukup untuk menambahkan lagi keresahan. "Dulu hotel ini memang ada tapi sudah lama tutup," jelas beliau lagi.

Apa yang memusykilkan hamba, sekiranya hotel berkenaan sudah tutup sejak sekian lama, mengapakah paparannya masih ada lagi dalam laman web pelancongan berkenaan. Hamba menghubungi nombor Expedia bagi mengadukan masalah berkenaan. Waktu itu jam sudah 6.30 petang dan hamba masih belum solat Asar. Dalam kekalutan bercakap di telefon, hamba putar stereng ke masjid yang terletak tidak jauh dari lokasi ketika itu. Operator pula asyik meminta hamba menunggu untuk beliau membuat pemeriksaan sedangkan hamba pula kalut nak solat. Akhirnya hamba minta dia hubungi semula lepas satu jam agar hamba dapat terus melakukan solat maghrib kemudiannya.

Kesudahannya malam itu hamba terpaksa mencari hotel yang lain. Walaupun di Langkawi ada banyak hotel, tetapi di waktu puncak seperti ini tentunya yang tinggal adalah hotel yang mahal. Namun hamba tahu hamba tidak ada banyak pilihan. Jikalau tinggal yang lima bintang sahaja, hotel itu akan hamba masuki juga. Menggunakan laman booking.com pula hamba berjaya mendapatkan sebuah hotel kecil yang memberikan harga berpatutan untuk sebuah bilik keluarga.

Sebenarnya tidak juga selesai masalah di hotel baru ini. Bilik keluarga yang dijanjikan telah penuh tetapi hotel menggantikan dengan dua buah bilik yang terletak sebelah menyebelah. Tv pula rosak dan air paipnya keluar sebesar kencing tikus dan ada kalanya tidak keluar. Malam itu hamba mandi di bilik air umum yang terletak di luar bilik.....arghhhhhh....

Nota - Pihak Expedia akhirnya telah memberikan refund terhadap amaun yang telah hamba keluarkan. Duit berkenaan telahpun berada dalam akaun hamba selepas dua hari. Pihak booking.com juga menghantar mel permohonan maaf kerana hamba tidak mendapat bilik seperti yang diiklankan mereka.

Walaupun telah beberapa kali sebelum ini menggunakan perkhidmatan online bagi menempah bilik, ini kali pertama hamba menghadapi sedikit kesulitan. Ia tidaklah terlalu menyusahkan tetapi tentunya banyak membuang masa. Ia satu pengajaran yang terbaik untuk percutian yang akan datang.... 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...