Monday, September 25, 2017

DARI GEYLANG SERAI KE UTUSAN MELAYU - ABI (Ahmad bin Idris)



Nama Ahmad bin Idris ataupun ABI mungkin sebaris dengan wartawan legenda Utusan Melayu yang lain. Memoir ini sempat beliau tulis sebelum beliau meninggal dunia. Namun hamba berasa tidak puas kerana berasakan isi kandungannya ringkas. Hamba percaya banyak lagi kisah menarik beliau yang tidak sempat dicatat dan kini tersimpan abadi buat selama-lamanya.

Membaca memoir orang-orang lama seronoknya adalah apabila dapat berimaginasi tenatang keadaan Tanah Melayu pada masa lalu. Melalui memoir ini pembaca akan dibawa melihat keadaan kampung halaman ABI di Melaka. Ia turut memperlihatkan kesusahan, penderitaan serta kemiskinan masyarakat kampung. Namun kesemua mereka tetap rajin berusaha demi mencari sesuap nasi. ABI sendiri mempunyai pengalaman berjualan kuih muih sewaktu zaman persekolahannya. Beliau harus memastikan tiba awal ke sekolah untuk menjual agar orang akan membeli kuih daripa beliau terlebih dahulu. Ini memandangkan terdapat beberapa orang lagi yang turut berjualan. Bukan sahaja berjualan kuih malah ABI turut mahir menggunting rambut. Berpakaian lusuh, berseluar pendek, mungkin menjadi satu kebiasaan buat budak kampung tersebut. Kegilaan beliau kepada P.Ramlee sejak zaman kanak-kanak juga membuatkan beliau cuba-cuba untuk mengikut stail lagenda negara tersebut.

Keadaan di Singapura khususnya Geylang Serai mengambil tempat sebahagian besar memoir ini. Ia digambarkan dengan baik oleh ABI. Kawasan yang kotor, kupu-kupu malam, pergaduhan yang kadangkala berlaku dan pelbagai lagi. ABI turut meyentuh mengenai kesedaran beragama yang masih rendah lagi di kalangan masyarakat Singapura ketika itu seperti orang ramai yang masih sibuk dengan berjual belia di waktu Maghrib walaupun terdapat dua buah masjid berdekatan di Geylang Serai. Begitu juga tabiat meminum arak yang dilihat agak terbuka tanpa segan silu. Bahkan sebuah lagu lama yang dipopularkan oleh R.Azmi iaitu Pak Itam Kaki Melaram menggambarkan keadaan seorang peminum arak yang mungkin mendapat inspirasi daripada keadaan ketika itu.

Bahagian paling penting dalam buku ini tentulah akan kehidupan beliau bersama isterinya Bahyah Mahmood. Menyoroti kisah penrcintaan pasangan ini ternyata ia berlansung dalam suasana yang terkawal, tiada keluar berdua-duaan serta diiringi surat-surat cinta. ABI juga hampir putus asa apabila Bahyah telah bertunang dengan orang lain. Namun jodoh mereka kuat. Mereka akhirnya bersatu dan kekal menjadi pasangan paling romantis sehingga ke akhir hayat.

Buku ini diakhiri dengan catatan Tan Sri Zainuddin Maidin (ZAM) yang amat menarik khususnya tentang kisah geng teh tarik di Gerai haji Ajmal Khan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...