Sabtu, 28 Oktober 2017

DEMI DARA - Abdul Rahim Awang



Tidak sangka rupanya Abdul Rahim Awang masih lagi mempunyai karya terbaru. Para pembaca seharusnya tidak ragu untuk memilih novel sekiranya nama ini tercatat di atasnya. Ini kerana nama Abdul Rahim Awang itu sendiri umpama sebuah jenama yang mempunyai mutu yang tersendiri.

Secara ringkasnya Demi Dara adalah sebuah kisah pembalasan dendam oleh seorang gadis bernama Mazlin aka Dara terhadap empat orang lelaki yang memperkosanya sewaktu beliau berada di dalam tingkatan lima. Para penjenayah tersebut mati seorang demi seorang beberapa tahun selepas kejadian hitam tersebut yang mencetuskan kegemparan di kampung mereka. Walau bagaimanapun abang Dara yang bernama Mazlan telah ditangkap kerana disyaki membunuh. Mazlan akhirnya dijatuhkan hukuman mati dan ketika itulah Dara merasakan beliau perlu berjuang untuk membebaskan abangnya. 

Tidak ada siapa yang tahu apa yang terjadi kepada Dara apabila beliau ditemui abangnya pada suatu senja keluar dari semak dalam keadaan lemah. Dara begitu merahsiakan perkara tersebut. Apabila penulis memaparkan kejadian pembunuhan kesemua empat mangsa, para pembaca sememangnya boleh mengagak siapakah pembunuhnya berdasarkan sejarah lampau serta usaha Dara sebelum itu yang mempelajari ilmu silat serta kemahiran mekanik. Cerita seumpama boleh tamat begitu sahaja. Tetapi penulis nampaknya seperti mahu menekankan kisah utamanya bukan sahjaa apabila kesemua mangsa itu terbunuh tetapi adalah kisah perjuangan Dara bagi membenaskan abangnya. Di sini elemen imbas semula (flashback) banyak digunakan apabila pihak peguam merakam keterangan Dara. Imbas semula ini seolah memaksa pembaca untuk membaca beberapa bab awal memandangkan penceritaan Dara adalah amat terperinci seumpama penulis novel menyalin semula bab bab awal tetapi dalam bentuk penceritaan oleh Dara dan dengan dialog perbualan yang verbatim, seumpama Dara ini mempunyai memori robot atau perawi hadith.

Walaupun bersifat thriller, tetapi tidaklah mencapai tahap suspen seperti novel novel karangan Ramlee Awang Murshid. Kejadian pembunuhan empat mangsa agak ringkas, straight to the point, dan pembaca tidak perlu bersusah payah untuk membuat tekaan. Penekanan juga tidak diberi kepada perbicaraan mahkamah. Tidak ada babak pertikaman lidah yang hebat di mahkamah melainkan disentuh secara lalu sahaja.

Walaupun akhirnya Mazlan dibebaskan dan Dara juga tidak didakwa, novel ini tidak berakhir dengan happy ending. Apa yang berlaku kepada Dara selepas itu umpama satu Deja-vu, tetapi tidak diketahui kenapa tragedi itu berlaku lagi kepada beliau, siapa pelakunya dan apakah motifnya. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...