Khamis, 19 Oktober 2017

TOMBIRUO : PENUNGGU RIMBA the movie



Menonton filem ini seharusnya tidak boleh dibandingkan dengan naskhah asalnya yang berbentuk novel. Dalam novel penceritaannya lebih rencam, plotnya lebih kompleks, terlalu banyak persoalan dan penuh dengan elemen kejutan. Kesimpulannya jika inginkan kepuasan yang maksima, novel adalah jawapannya. Namun untuk memnuhi kesemua penceritaan di dalam sebuah filem adalah sesuatu yang mustahil. Kecuali jikalau Tombiruo ini dijadikan drama bersiri untuk memastikan penceritaan yang lengkap sepertimana di dalam novel.

Justeru melalui layar perak terlalu banyak perkara di dalam novel yang tidak dapat ditampilkan. Pembaca tegar tentunya tidak dapat tidak akan terasa kehilangan ini serta membuat perbandingan. Walau bagaimanapun usaha mengangkat naskhah ini ke layar perak boleh dianggap agak berjaya.

Menggunakan Seth Larney sebagai pengarah utama secara tidak lansung telah memberi kredit terhadap filem ini apatah lagi pengarah berkenaan sememangnya mashur dengan pengelibatannya dalam beberapa buah filem besar Hollywood seperti X-Men dan Star Wars atau filem-filem yang banyak menggunakan kesan khas. Kerana itu penggunaan CGI dalam Tombiruo hamba anggap cemerlang, kena pada tempatnya dan tidak melampau. 

Pujian juga harus diberikan kepada sinematografi yang cemerlang. Kehijauan dan keindahan hutan di Sabah telah berjaya dirakam dengan baik sekaligus mempromosikan pelancongan ke negeri itu sendiri. Hamba percaya sudah tentu ada yang tertarik dengan beberapa lokasi cantik yang terdapat di dalam filem ini.

Tidak banyak dialog di dalam Tombiruo. Ia dipenuhi dengan babak aksi pada kebanyakan tempat. Pergerakan kamera dan ceritanya berjalan seiring pantas. Inilah kurangnya filem. Di dalam novel kita dapat membaca isi hati watak Ejim/Tombiruo tetapi di dalam filem agak sukar apatah lagi watak berkenaan dilindungkan oleh topeng kayunya. Justeru sebarang mimik wajah yang memaparkan emosi tidak dapat dilihat. Emosi Ejim mungkin dibantu oleh CGI pada beberapa tempat seperti bumi yang bergegar apabila menangisi kematian bapanya, akar yang boleh melilit apabila beliau marah dan sebagainya. 

Dalam novel mungkin kita hanya melihat kegagahan Ejim tetapi di dalam filem Ejim bagaikan mutan X-Men yang mempunyai kuasa ajaib seperti boleh mengarahkan akar pokok untuk melilit musuh, mendatangkan gempa bumi dan angin kencang serta menumbuk tanah hingga menjadikan lubang yang dalam. Ejim juga amat power kerana dalam filem ini sekurang-kurangnya tiga kali beliau telah terkena tembakan di bahagian tubuh yang berbeza namun keadaannya seperti tiada apa-apa dan masih gagah berlawan.

Ada juga beberapa kejanggalan yang boleh hamba perhatikan. Antaranya babak Ejim semasa bayi yang dihanyutkan ke dalam sungai menggunakan kolek. Melalui beberapa jeram yang deras dapat dilihat kolek berkenaan dilmpahi air sungai, tenggelam, terbalik, namun bayi berkenaan masih selamat. Bapa Ejim (Faizal Hussein) telah ditembak dibahagian belakang sebelah kiri bahu. Namun kesan tembakan di sebelah depan kesannya adalah bawah sedikit berbanding di sebelah belakang yang agak ke atas. Ran atau pondok atas pokok Ejim sewaktu dalam babak terbakar, jika dilihat kepada maraknya api seharusnya telah menghanguskan keseluruhan pondok tersebut. Tetapi di akhir wayang kebanyakannya dindingnya masih lagi elok, bahkan lantainya juga masih utuh.

Jikalau di dalam novelnya, RAM akan memberikan hint tentang novel selanjutnya, begitu juga di dalam filem ini. Nampaknya bukan sambungan kepada Tombiruo dan hint berkenaan sekiranya benar pasti ditunggu ramai peminat RAM.

Jangan ditanya berapa bintang yang mahu hamba berikan untuk naskhah ini. Sekiranya anda mahu menikmatinya anda boleh ke panggung wayang atau kalau tidak tunggu sahaja tanyangannya pada mana-mana perayaan di kaca televisyen kelak!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...