Friday, November 24, 2017

KAKAK KEMBOJA - Naim Tamdjis



Novel ini menyajikan sebuah kisah yang mudah untuk dihadam oleh pembaca. Jalan ceritanya disusun dengan baik dan tidak membosankan. Walaupun bertemakan seram, tetapi tidaklah terlalu menakutkan pembacanya sehingga takut untuk ke bilik air bersendirian.

Novel ini mengangkat tentang teman ilusi kanak-kanak, yang pada hamba selalunya kedengaran pada kanak-kanak di barat. Teman ilusi mungkin adalah satu watak rekaan kanak-kanak secara bayangan yang bisa diajak bicara, bermain dan sebagainya. Dalam novel ini teman ilusi tersebut adalah makhluk halus yang mendampingi manusia sekaligus cuba untuk menyesatkan mereka.

Kisahnya mudah, seorang ibu tunggal bernama Siti dan anak lelakinya Johari dihalau oleh ibu mertua. Lantaran itu mereka terpaksa mencari sebuah kediaman yang baru. Kerana masa yang suntuk maka hanya sebuah kediaman rumah pangsa yang lama dan usang sahaja yang dapat dicari. Tambahan pula harga sewa yang dikenakan adalah murah. Kediaman baru mereka agak sunyi dan lebih banyak dihuni oleh warga asing. Begitu juga dengan tingkat kediaman keluarga ini yang sebenarnya tidak ada lansung manusia yang tinggal. Apa yang mereka jumpa selama ini ditingkat tersebut tidak lebih adalah penampakan makhluk halus itu sendiri dalam bentuk manusia.

Perkenalan Johari dengan seorang remaja perempuan bernama Kemboja menjadikan mereka rapat. Johari tidak sedar bahawa Kemboja bukanlah manusia sepertinya. Johari kadangkala dianggap gila apabila kelihatan berbual sendirian di mata kasar manusia sedangkan ketika itu beliau sedang berbicara dengan Kemboja. Dan demikianlah sehingga ke kesudahan kisah sehingga akhirnya Johari dibantu oleh guru dan ustaz di sekolah untuk memisahkan beliau dengan pendamping tersebut.

Disamping itu beberapa watak sampingan lain turut disakat oleh hantu. Ibu mertua dan bekas abang ipar Siti juga terkena gangguan selepas sahaja mereka meninggalkan rumah arwah suaminya. namun elemen seram atau gangguan terhadap keluarga mertuanya bagi hamba bukanlah fokus utama penulis. Fokus utamanya adalah sikap kejam seorang lelaki yang begitu tega menghalau iparnya, tamak dalam memiliki harta. Dia juga seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Kejadian gangguan hanyalah sebagai penyedap cerita untuk memperlihatkan sifat kesetiaan dan ketaatan seorang isteri yang menjadi inti penceritaan.

Begitu juga dengan keluarga Zanna, sahabat Siti yang membantu mencari rumah sewa yang baru serta turut membantu keluarga tersebut berpindah. Keluarga tersebut akhirnya turut diganggu makhluk yang dikatakan mengikut dari kawasan rumah pangsa Siti. Dalam hal ini penulis cuba menyelar golongan yang menjual agama dengan menampilkan watak Ustaz Soot yang mengenakan upah yang tinggi bagi menghalau gangguan syaitan. Akhirnya Ustaz Soot sendiri kecundang dan lari meninggalkan rumah.



Nota - Bantulah untuk menghidupkan blog ini dengan mengetik iklan-iklan yang terpapar. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...