Isnin, 4 Disember 2017

MAJALAH SEMPOI #1



Beberapa bulan lalu hamba melawat sebuah pameran komik dan hobi di USJ. Melewati sebuah meja pameran, hamba disapa beberapa orang pemuda yang mempromosikan sebuah majalah humor yang baru. Walau bagaimanapun ketika itu majalah tersebut masih lagi belum wujud dalam bentuk fizikal dan dimaklumkan bahawa mereka sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan pihak KDN bagi meneribitkan majalah tersebut.

Kata mereka majalah yang bakal dinamakan Sempoi ini umpama membawa kembali nostalgia komik dan majalah humor era 80an dengan semua kartun dilukis dengan gaya Malaysia tanpa sebarang pengaruh manga atau manhwa. Mereka menawarkan tempahan awal dan akan diposkan kepada pembeli sebaik sahaja majalah tersebut siap dicetak.

Harga yang ditawarkan adalah RM12, satu harga yang tinggi bagi hamba. Hamba teringat akan majalah Boboi yang diterbitkan oleh Afdlin Shauki beberapa tahun yang lalu yang akhirnya turut menemui jalan penamat walaupun persembahan majalahnya agak mantap dengan dibarisi beberapa kartunis yang telah sedia mempunyai nama. Faktor harga mungkin menjadi penyebab. Jadi apabila Sempoi mengenakan harga RM12, hamba mengharapkan agar persembahannya lebih mantap daripada majalah humor sedia ada ataupun yang pernah terbit. Dalam hal ini hamba meletakkan majalah G3 dan Bekazon sebagai benchmark. Sebagai tanda sokongan hamba bersetuju untuk membuat tempahan majalah tersebut.

Hamba akhirnya menerima kiriman majalah tersebut dan telahpun selesai membacanya. Memang benar, mereka memang membawa pembaca ke era 80an. Tapi bukan ini gaya 80an yang hamba harapkan. Bagi hamba perkara '80an' yang hamba harapkan adalah kegemilangan pada zaman itu. Tetapi sempoi  tampil dengan kartun ala 80an, gaya persembahan/rekaletak grafik 80an bahkan idea lawaknya juga adalah dari zaman tersebut. Sewajarnya mereka mengkaji majalah-majalah yang pernah terbit dan menghasilkan produk yang lebih baik daripada majalah-majalah tersebut. 

Team Sempoi perlu memikirkan bahawa mereka bukan sahaja perlu menarik peminat generasi lama tetapi juga peminat generasi yang baru. Generasi baru yang hidup-hidup sahaja ke dunia telah dihidangkan dengan dunia teknologi pastinya mahukan persembahan majalah yang mantap daripada segi grafiknya. Pemikiran mereka yang terdedah dengan dunia internet, buku-buku indie pastinya mahukan idea kartun yang lebih segar.

Kebanyakan kartun yang ditampilkan adalah karya loose satu muka. Hanya ada beberapa sahaja kartun yang panjang. Kartun panjang adalah penting untuk sesebuah majalah. Hamba menjadi peminat Gila-Gila era 80an kerana adanya kartun panjang Ujang yang biasanya diletakkan Gila-Gila pada permulaan majalah mereka. Ini umpama killer cartoon pada persembahan sesebuah majalah. Selain itu majalah perlu ada beberapa cerpen jenaka yang bermutu. Ruangan Wassap Mai juga kelihatan umpama dikitar semula daripada ruangan Profesor Serba Tau di GG. Tidak keterlaluan hamba katakan edisi pertama ini 'diselamatkan' oleh penampilan Keladi dan Gayour.

Setakat ini tidak dimaklumkan sama ada majalah Sempoi akan menjadi majalah berkala atau sebaliknya. Ini memandangkan edisi nombor satu ini sendiripun tidak meletakkan ia keluaran untuk bulan tertentu. Tiadanya penerbitan yang tetap mungkin akan menyebabkan majalah ini kehilangan peminatnya nanti.

Sebagai pembaca majalah humor semenjak penghujung 70an lagi, hamba berharap agar majalah ini akan dapat bertahan lama. Dengan syarat barisan redaksinya perlu melakukan post mortem, mengkaji persembahan majalah lain, mengkaji pandangan khalayak dan mengetahui apa kehendak mereka. Lainlah jikalau penerbitannya hanya untuk mengisi kepuasan diri sendiri sahaja.....

Sempoi, tolong bangkit untuk kekal sempoi........


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...