Selasa, 12 Disember 2017

TAKHTA KERAJAAN NEGERI SEMBILAN – Abdul Samad Idris



Buku yang baru selesai hamba baca ini bukanlah naskhah cetakan asalnya. Ia adalah naskhah salinan atau fotokopi. Hamba memperolehinya daripada seorang kenalan fesbuk. Terima kasih kerana sudi menjualkannya kepada hamba.Tiada tercatat tahun cetakan pada buku ini. Namun hamba percaya ia ditulis serta dicetak sekitar tahun 60an atau sekitar pemerintahan Almarhun Tuanku Munawir.

Sebagai anak jati Negeri Sembilan, pengetahuan mengenai asal usul keturunan adalah sesuatu yang amat berharga. Lebih-lebih lagi Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang unik. Satu-satunya negeri yang mengamalkan adat perpatih serta mempunyai talian yang kukuh dengan Alam Minangkabau. Perlantikan pemerintahnya juga tidak seperti negeri yang mengamalkan adat Temenggung di mana kebiasaannya Raja Muda yang akan mengambil alih takhta. Di Negeri Sembilan, YamTuan dipilih melalui kerapatan dan kebulatan Undang. Tiada siapa yang mengetahui sehinggalah perkara tersebut diumumkan oleh Dato’ Kelana, Undang Luak Sungai Ujong. Ini bermakna anak raja yang mangkat tidak semestinya akan menaiki takhta kerajaan.

Melalui bicara penulisnya, dapat hamba rasakan untuk menulis buku ini, walaupun nipis, amatlah sukar ketika itu. Ini memandangkan kurangnya bahan rujukan. Penulis tidak mencatatkan bibliografinya, tetapi dapat difahamkan melalui penulisan beliau bahawa beliau merujuk kepada kata orang-orang tua/lama, catatan istana serta buku sejarah Melayu oleh Cikgu Buyong Adil serta buku oleh R.O. Winstedt. Buku ini mengandungi begitu banyak kesalahan ejaan. Boleh difahami kerana ketika itu teknologi komputer masih belum ada dan sekiranya terdapat kesalahan satu perkataan, penulis mungkin terpaksa menyalin keseluruhan mukasurat yang telah ditulisnya. Kerana itu di akhir buku terdapat sehelai lampiran yang mencatatkan perkataan yang salah serta perkataan yang sebetulnya.

Secara ringkasnya buku ini selain mencatatkan tentang adat istiadat Raja di Negeri Sembilan turut mencatatkan asal usul nama Negeri Sembilan, asal nama Seri Menanti, sejarah kedatangan orang Minangkabau, kisah kemangkatan Tuanku Muhammad, kisah ringkas Tuanku Abdul Rahman yang juga Yang Di-Pertuan Agong yang pertama. Dalam beberapa hal penulis menyalin secara bulat-bulat (verbatim) daripada catatan asal seperti adat atau peristiwa yang berlaku ketika kemangkatan raja serta pertabalan raja yang baru. Ia seolah-olah sebuah buku aturcara majlis yang menyebut tentang giliran atau aturan mereka yang terlibat (para Datuk Datuk dan orang besar Istana) ketika mengadap YamTuan.


Terdapat juga beberapa gambar lama yang hamba rasa hampir kesemuanya belum pernah hamba lihat lagi sebelum ini. Juga terdapat beberapa pengetahuan baru buat hamba seperti barang yang tidak boleh rakyat memilikinya dan perlu diserahkan kepada raja, cara pemakaian serta binaan rumah yang tidak boleh pada orang kebanyakan, di mana pada hari ini ia tidak lagi diamalkan selaras dengan perkembangan zaman. Bayangkan dahulu contohnya orang kebanyakan tidak boleh membina rumah melebihi setingkat atau besar seperti mahligai. Sekiranya diamalkan tentunya hari ini kita tidak boleh membina rumah dua tingkat, tinggal di apartment serta orang kaya hanya boleh tinggal di rumah yang sederhana sahaja.


2 ulasan:

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...