Tuesday, January 30, 2018

KARTUN DAN KARTUNIS DI MALAYSIA - Muliyadi Mahamood



Rasanya tidak ada penulis atau ahli akademik yang begitu serius, menulis dan mengkaji tentang kartun selain beliau. Malah rasanya beliau juga merupakan rakyat pertama yang meraih PhD dalam 'ilmu kartun'. Dan andaikata tiada insan yang membuat kajian sebegini pastinya sejarah kartun tanahair tidak akan ramai yang mengetahuinya secara berfakta dan ilmiah. Justeru pendokumentasian oleh individu seperti penulis ini secara tidak lansung memelihara satu lagi khazanah dan warisan negara. Biarpun penulis pernah juga melukis kartun dan karyanya pernah tersiar di beberapa buah penerbitan namun pencapaian beliau tidaklah seperti lain-lain kartunis. Stroke beliau hamba lihat biasa sahaja. Bahkan dalam kartun beliau yang pertama kali disiarkan di majalah URTV, 15 Disember 1977 dilihat mempunyai beberapa kelemahan terutamanya struktur anatomi. Namun kelebihan beliau ialah menulis dan mengkaji tentang kartun, dan perana ini tidak boleh dipandang sebelah mata.

Buku ini sebenarnya memuatkan 10 buah esei karangan penulis yang pernah tersiar dalam majalah atau jurnal terbitan dalam dan luar negara. Bermakna ada antaranya yang asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris dan telah diMelayukan untuk tujuan penerbitan buku ini. Dan memandangkan ia adalah gabungan esei-esei terpilih, pembaca akan membaca beberapa fakta yang diulang berkali-kali. Bahkan fakta yang berulang juga boleh pembaca temui dalam buku beliau yang pernah hamba ulas sebelum ini iaitu GILA-GILA, GAYA DAN TEMA KARTUN.

Walaupun mengandungi 10 esei, hanya tiga esei pertama sahaja yang ditulis dengan panjang, manakala yang lain-lainnya pendek-pendek belaka. Setiap esei digandingkan dengan beberapa ilustrasi kartun berkaitan sebagai rujukan dan pemahaman. Tentunya kartun yang menjadi tumpuan adalah kartun-kartun lama terutamanya yang dihasilkan dalam zaman sebelum merdeka ataupun sebelum zaman Gila-Gila.

Dalam bab 2 yang bertajuk Kesarjanaan Kartun Dan Komik Di Malaysia: Suatu Catatan Pengalaman, penulis bercerita tentang diri beliau sendiri dan pengalaman beliau dengan dunia kartun. Ini adalah suatu yang ekslusif bagi pembaca yang belum mengenali peribadi penulis. Bagi hamba penulis amat bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pusat pengajian beliau bagi menyambung pengajian tentang dunia kartun di waktu masyarakat masih lagi skeptikal tentang bidang ini. Dan hamba lihat selepas penulis ini telah lahir beberapa lagi kartunis yang menyambung pengajian mereka sehingga ke peringkat tertinggi - Leen Mafia sebagai contoh yang telahpun meraih PhD.

Selain itu ada juga bab-bab yang penulis mengkhusus tentang beberapa orang kartunis iaitu Raja Hamzah, Rejabhad, Lat dan Zunar. Pelbagai isu yang dibincangkan di dalam buku ini seperti kartun sebagai medium dakwah, alat propaganda politik juga isu kebebasan seorang kartunis untuk berkartun. Dalam hal ini bab terakhir mengenai Zunar adalah lebih hampir dengan isu-isu terkini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...