Jumaat, 12 Januari 2018

MYDIN: DI SEBALIK TABIR (EDISI SEMAKAN) - Datin Wira Dr. Hajah Siti Hawa Mohd



Rasanya tidak ada rakyat Malaysia yang tidak kenal dengan jenama Pasaraya Mydin, melainkan mereka yang tinggal begitu lama di dalam busut atau di celah batu yang berada di lautan yang dalam. Pasaraya yang sinonim dengan tagline 'mengapa bayar lebih, belilah dengan harga borong! ini selalu dikaitkan dengan barangan yang murah.

Buku ini menceritakan jatuh bangun jenama pasaraya ini dengan menumpukan kepada dua tokoh utama iaitu pengasasnya Mydin Mohamed dan anak beliau Datuk Wira Haji Ameer Ali Mydin. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna ahli keluarga Mydin yang lain tidak dikisahkan cuma tidak sekerap dua tokoh ini.

Sebenarnya kisah tentang Mydin ini telah banyak disiarkan di dalam akhbar melalui wawancara dengan Datuk Wira sendiri. Bermula dengan sebuah kedai kecil di Kota Bharu yang hanya menjual barang permainan dan keperluan harian, ia kini muncul antara gedung perniagaan yang besar di negara kita. Walaupun begitu dikatakan bahawa pengasas jenama ini tidak mempunyai harta seperti kereta ataupun rumah. Beliau selalu menganggap bahawa harta beliau yang paling berharga adalah anak-anaknya.

Secara keseluruhan, kisah belakang tabir tentang Encik Mydin dan anak-anaj\knya tidaklah terlalu banyak berbanding tentang cerita perkembangan pasaraya ini sendiri sehingga mengembangkan kepada kedai serbaneka 24 jam (MyMart), pasaraya besar, pasar mini, pasar mini premium dan restoran premium juga termasuk perhubungan dengan kakitangan, usaha Mydin untuk mendidik masyarakat serta kerja-kerja sosial yang berkait. Walaupun penulisnya yang juga merupakan isteri Datuk Wira adalah sebahagian daripada keluarga ini, beliau tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk mengorek dengan lebih dalam lagi akan sejarah keluarga ini. Kadangkala hamba rasa kisah suami beliau lebih banyak berbanding dengan kisah pengasasnya.

Buku ini boleh menjadi pembakar semangat buat mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan. Kalau tak jumpa di kedai buku, pergi sahaja ke pasaraya Mydin, mungkin boleh jumpa apabila anda nak membayar harga barangan anda nanti di kaunter juruwang..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...