Friday, January 26, 2018

PERMATA DI PINTU KAABAH - Munir Ramli



Kisah-kisah yang penulis paparkan di dalam bukunya ini bukanlah kisah perjalanan atau pengalaman yang baru sahaja berlaku. Tetapi adalah pengalaman beliau sekitar akhir 70an sehingga 80an di mana ketika itu seistem pengurusan haji masih lagi menggunakan sistem sheikh-sheikh haji sebelum beralih kepada sistem muassasah. Tetapi menarik juga untuk mengetahui tentang konflik jiwa yang melanda para sheikh haji kerana dengan perlaksanaan sistem tersebut menandakan berakhirnya 'penguasaan' mereka terhadap para jamaah yang mana turut menjejaskan pendapatan mereka dengan teruk sekali.

Ini kali pertama hamba membaca tulisan daripada penulis Munir Ramli. Apa yang boleh hamba katakan beliau mempunyai kemampuan untuk menulis dengan baik, tidak tergesa-gesa dan teratur penulisannya. Paparan kisah lampau beliau menarik untuk dibaca serta dijadikan teladan.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang pengembara, seorang yang asalnya mahu berkelana ke Eropah akhirnya terdampar di bumi Syria di mana beliau mula mendapat permata-permata yang berharga. Di situlah beliau menyifatkan hidayah itu menjadi miliknya apabila dapat mendalami ilmu agama dan bahasa Arab. Rentetan dari situ kemudiannya membawa kelana beliau ke Mesir dan Arab Saudi dan kisah di dua tempat terakhir itulah yang banyak menghiasi ruang buku ini. kita maklum bahawa ketika itu era teknologi maklumat masih belum ada. Lantaran itu berbekalkan maklumat yang ala kadar, penulis mara ke Mesir bagi meneruskan misi menuntut ilmu. Di sini keyakinan penulis amat mengagumkan. Beliau tidak merasa takut dengan cabaran apatah lagi soal kekurangan wang belanja. Perlu disebutkan di sini bahawa penulis lansung tidak membayangkan bahawa beliau menerima sebarang pembiayaan sama ada daripada pemerintah mahupun keluarga sendiri. Penulis menggunakan wang titik peluhnya secara berdikit-dikit terutamanya wang upah beliau bertugas dengan sheikh haji di Makkah.

Hamba kagum dengan penulis kerana dalam usahanya menuntut ilmu beliau tidak ghairah untuk pergi ke peringkat yang tinggi tapi bermula dengan kelas yang bawah. Begitu juga di Makkah beliau pergi berguru dengan para sheikh dan menjadi pelajar pendengar (mustami') di universiti walaupun hamba rasa beliau boleh sahaja mendaftar. Niat beliau memang untuk mendapatkan ilmu sahaja dan bukannya sebarang sijil atau ijazah.

Part paling menarik rasanya adalah kehidupan beliau di Makkah itu sendiri. selain kisah beliau pergi belajar, kisah survival beliau dan keluarga amat menarik untuk dibaca. Pelbagai kerja yang beliau buat untuk mencari kehidupan. Dan hamba boleh katakan ada kerja-kerja itu amat berat untuk dilakukan dan bukan semua orang boleh melakukannya. Bahkan mendapat kepercayaan orang Arab secara penuh untuk menguruskan sesuatu amatlah berharga kerana apabila mereka telah mula mempercayai bermakna mereka lihat kita sebagai amanah dan mampu untuk bertugas. Bayangkanlah penulis yang tidak mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan pernah menjadi pengurus projek pembinaan sebuah bangunan. Inilah kepercayaan yang tidak disia-siakan oleh penulis bahkan beliau gembira kerana dapat memperkayakan lagi perbendaharaan kata bahasa Arab khususnya istilah yang melibatkan pembinaan. Satu lagi kisah menarik ialah apabila penulis diminta untuk mencari sebuah rumah penginapan di Mina. Sejumlah wang telahpun dibayar sevagai cengkeram namun pihak yang menempah akhirnya tidak dapat memberikan komitmen. Penulis boleh sahaja membatalkan tempahan tersebut dengan cengkeram menjadi hangus, tetapi beliau tetap bertekad untuk membayar penuh walaupun tahu orang yang asalnya menempah memang tidak akan dapat menggunakannya. Menggunakan kebijaksanaan, beliau bukan sahaja dapat membayar harga penuh bahkan dapat menjana keuntungan berpuluh riyal Saudi lagi. Bagaimana beliau melakukannya - sila baca sendiri!!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...